Jalan Itu Semakin Mudah
Posted on February 10th, 2010 in Bahasa dan Sastera
Dulu, alasan yang sering diutarakan adalah kurangnya ‘tools’ yang dapat membantu seseorang mempelajari Bahasa Arab. Tiada pengajarlah. Terlalu banyak yang perlu dihafallah. Tiada bukulah. Seribu satu alasan dikeluarkan demi membuktikan betapa sukarnya mempelajari bahasa yang satu ini. Hal ini memang tak dapat kita nafikan. Namun, apabila kita meletakan keutamaan untuk sesuatu hal, pasti kita akan menemukan jalan untuk mengatasi masalah tersebut. Bagaimana tidak padahal kita sangat terdesak untuk meraih kepentingan dari sesuatu yang utama itu.
Syukur Alhamdulillah ada di antara manusia yang telah memilih untuk menjadikan khidmat kepada Bahasa Arab sebagai suatu yang utama. Maka mereka bersungguh-sungguh menyediakan solusi kepada masalah-masalah yang sering kita lontarkan itu. Kali ini saya ingin memperkenal kepada sidang pembaca mereka yang telah bertungkus lumus merealisasikan cita-cita mereka ini. Mereka adalah para pelajar yang bergiat dalam kelompok studi bahasa (Language Research Group) di University Of Leeds. Hasil karya yang sangat baik dan saya yakin sangat bermanfaat telah dipersembahkan oleh seorang pelajar bernama Kais Dukes. Beliau telah bertungkus lumus membuat sebuah laman web yang menyediakan khidmat i’rab bagi ayat-ayat Al-Quran. Laman yang saya maksudkan adalah : http://corpus.quran.com/ Bukan hanya itu, laman ini juga memberi banyak kemudahan lain seperti terjemahan per kata, kamus Al-Quran. Pendedahan secara ringkas mengenai ilmu-ilmu penting yang menonjol dalam sejarah manusia seperti nama kaum yang terkenal. Atau mungkin juga yang berkaitan dengan sains dan sebagainya.
Laman ini jelas memberi banyak ruang dan peluang bagi kita yang ingin mendalami ilmu Allah SWT. Bahkan laman ini dapat menjadi ‘guru’ yang membantu kita merangsa otak kita berfikir. Jelaslah semakin mudah bagi kita untuk mendekatkan diri dengan kitab Allah.
Kita doakan semoga usaha yang sangat baik ini mendapat restu dari Allah SWT. Semoga makin ramai yang mendapat faedah darinya. Maka saya sangat berterima kasih kepada sahabat saya yang memperkenalkan laman ini kepada kami. Pada mulanya beliau hanya ingin bertanyakan mengenai tamyiz. Namun, ketika beliau memberikan link laman ini, saya seketika itu juga terkesima dengan usaha yang telah di lakukan Dukes dan teman-temannya. Apa yang ada di laman ini bukanlah berbeza dengan apa yang tersimpan rapi di dalam kitab-kitab turats. Namun, apa bila ia disajikan dalam bentuk perisian komputer yang mana penggunaannya sangat efisien dan mudah maka ia menjadi sebuah usaha yang layak dipuji.
Jika kita membuka laman corpus.quran ini kita dapat menggunakan kemudahan ‘irabul quran yang disediakan Dukes. Beliau menggunakan istilah ‘syntactic treebank’. Mari kita lihat contoh berikut.
inna merupakan harfunnashbi yang tugasnya membuatkan apa setelahnya menjadi manshub atau berbaris atas. Nashiatallaili merupakan dua kata yang menjadi satu kerana berlaku idafah pada kedua kalimat itu. Nasyiatallaili disini menjadi mubtada’ sedangkan khabar bagi mubtada’ ini adalah jumlah “hiya asyaddu watan wa aqwamu qilan“. Kewujudan Inna menjadikan mubtada’ berubah keadaan dari marfu’ menjadi manshub. Setiap mubtada’ berbaris dhommah pada hukum asalnya. Khabar kepada mubtada’ itu pula menjadi khabarul inna. Apa yang menarik pada khabar di sini adalah, ia mengandung tamyiz.
Apakah itu tamyiz?
Tamyiz adalah suatu kata atau ayat yang menerangkan apa yang ada pada sebelumnya atau apa yang diketahui dari zatnya atau nisbahnya.
Contoh bagi sesuatu yang digunakan untuk mengetahui zat, “saya membeli seguni beras.” Pada contoh ini seguni menjadi suatu yang tidak cukup maklumatnya jika tidak disertakan dengan beras sesudahnya. Keberadaan ‘beras’ pada contoh tadi memberikan kita maklumat mengenai zat bagi seguni tadi. Beras di
Contoh bagi sesuatu yang digunakan untuk menjelaskan nisbah, “dia lebih besar dari kami dosa.” Besar di sini menunjukan kepada nisbah yang tidak diketahui. Setelah ia dipertemukan dengan ‘dosa’ maka kita mengetahui bahawa yang besar padanya adalah dosa.
Dosa dan beras pada kedua contoh ini adalah contoh mudah bagi tamyiz. Maka, semua yang dikatakan bagi menjelaskan apa yang ada pada sebelumnya dan menghilangkan ketidakjelasan pada yang sebelumnya adalah tamyiz.
‘Asyadduwat an’ pada contoh di atas menerangkan keadaan ‘nasyiatallaili‘. Maka dia berada di posisi tamyiz yang menjelaskan dan menghilangkan ketidakpastian mengenai hal bangun malam. ‘Wa aqwamu qila‘ pula hadir setelah itu. Wa merupakan kata sendi yang menghubungkan apa yang ada selepasnya dengan apa yang ada sebelumnya. Maka wa di sini menyambungkan aqwamu qila dengan asyaddu wath an. Secara posisi, ‘aqwamu qila’ menumpang ‘asyaddu wath an’ maka ia turun menjadi tamyiz di sini.
Tamyiz banyak digunakan di dalam Al-Quran. Jika di bahas lebih teliti, kita akan menemukan bagaimana tamyiz memainkan peranannya menerangkan keadaan fail, maf’ul bihi atau mubtada’. Keterangan yang hadir pula mungkin berupa satu kalimah, atau sebuah jumlah.
Demikianlah sedikit perkongsian ringkas mengenai tamyiz. Saya sangat bersukacita untuk mempromosikan laman corpus.quran.com ini. Saya yakin ia akan memberikan banyak faedah kepada ramai orang. Semoga usaha yang sangat bernas ini menambahkan lagi kegigihan kita dalam mencari segala yang tersirat disebalik yang tersirat yang terungkai indah dalam sulaman kalam-kalam Allah. Allahummaj’alna min ahlil quran.. Amien..


Leave a Comment