Berkenalan Dengan Politik
Posted on July 14th, 2008 in Fikir, Kritik, Peribadi
Semalam dan dua hari sebelumnya aku telah mengikuti pertemuan dengan Prof. Dr. Muhammad Redzuan Othman yang merupakan penganalisis politik Malaysia dan Timur Tengah. Beliau juga merupakan pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Seorang mantan naib presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) suatu ketika dulu.
Aku mungkin agak malas mempelajari politik apalagi terlibat secara langsung kerana muak dengan penampilan politikus-politikus secara garis besarnya tanpa mengurangi rasa hormat ke beberapa peribadi yang dilindungi Allah dari kebusukan politik walaupun berada di dalamnya. Bila aku melihat mereka yang terjun dalam bidang politik walaupun mereka bergelar agamawan ternyata, politik yang mereka cebur banyak merubah sikap dan akhlak mereka. Benar mereka bersungguh dalam perjuangan namun nilai yang pudar itu sedikit merisaukan. Ia membuatkan aku semakin risau bilamana politikus muslim yang bergelar agamawan terjebak dalam fitnah memfitnah, caci mencaci, membuka aib, dan lebih dahsyat lagi bermusuhan. Aku tidak melihat Islam membolehkan hal itu akan tetapi realitinya memang begitu. Apa lagi di Malaysia. Sisi lain aku juga faham situasi dan keadaan yang mendesak sehingga emosi politikus sering terganggu lalu atas kelemahan manusiawi mereka gagal mempertahankan nilai-nilai tersebut. Maka, adalah tidak adil jika aku menolak politik secara mutlak.
Pengalaman bertemu dengan Beliau dan rekannya Prof Md Nor Othman banyak membuka mindaku. Melihat politik dari kaca mata yang lebih besar. Memahami apa yang sebelum ini tidak mahu aku pahami. Aku sangat kagum dengan fakta-fakta yang beliau bentangkan. Kajian yang dibuat memang sepatutnya dipersebarkan kepada golongan cerdik pandai untuk memahami dengan lebih dalam.
Aku sangat setuju jika ketuanan Melayu perlu kita perhatikan. Mengapa? Kerana tanah di Semenanjung Malaysia itu memang milik Melayu. Kita adalah kaum penduduk asal tanah itu. Sepertimana kaum-kaum lain yang masih Bumiputera. Cuma anehnya bila kita mengucap tentang ketuanan Melayu begitu banyak yang kaitkan dengan UMNO. Lebih parah lagi ada golongan yang bila mana kita bicarakan tentang ketuanan Melayu mereka langsung mengkaitkan bahawa perbicaraan itu adalah usaha meng-UMNO-kan pendengar. Agak keliru saya memahami segolongan mereka ini dalam cara mereka berfikir. Sedihnya lagi mereka tidak pun hadir dalam program tersebut. Kita hargai dan akui sumbangan-sumbangan yang telah UMNO lakukan sepertimana kita hargai dan akui sumbangan pejuang-pejuang yang bergelar agamawan namun tersingkirkan dek kelicikan British. Bahkan, Prof Redzuan pernah membentangkan bahawa golongan Azharlah yang banyak menyumbang dalam meniup semangat kemerdekaan suatu ketika dulu. Tentunya British lebih rela menyerahkan Malaysia ke tangan yang tidak memiliki semangat Islam dibanding dengan mereka yang memiliki semangat Islam. Saya sangat tidak setuju jika kita selamanya mengkongkong pemikiran dan sentiasa mengkaitkan politik Melayu dengan UMNO seakan-akan tidak ada cara lain memperjuangkan Melayu melainkan bersama UMNO. Ada pula golongan lain yang langsung tidak membenarkan kita untuk memperjuangkan Melayu. Hanya perlu perjuangakan Islam. Wah, semakin keliru!
Prof Dr Redzuan banyak membuka rahsia disebalik PRU 12. Bagaimana kekalahan parti pemerintah dan kemenangan Barisan Alternatif dari sudut kajian ilmiah. Fakta dan data yang bicara. Sangat menarik sekali. Aku bahkan semakin kagum dengan kematangan masyarakat Kelantan dalam berpolitik. Semakin bertambah besar keinginan untuk menziarahi dan menghirup udara Kelantan. Menurut Beliau lagi parti pemerintah memang tidak menyedari keadaan mereka yang lemah bahkan antara mereka ada yang mentargetkan untuk meng-KO-kan pembangkan dengan kosong undi. Beliau juga menyatakan banyak bukti yang menunjukkan Barisan Alternatif lebih bersedia dalam menghadapi PRU-12. Sisi lain, beliau sempat menjelaskan bagaimana parti yang mewakili kaum selain Melayu mengubah sikap dan mengundi secara taktikal demi untuk memastikan tuntutan mereka terpenuhi. Satu lagi hal yang membuka minda dan mataku. Tidak untuk menyalahkan siapa-siapa tapi untuk melihat dan menyedari betapa politik memang merupakan suatu seni.
Di akhir pertemuan aku semakin sedar bahawa aku masih perlu lebih banyak belajar untuk memahami politik. Keterbukaan sangat diperlukan demi mencapai matlamat tersebut. Dengarlah dari kawan dan lawan agar kita mendapat maklumat yang benar dan bukan sekedar andaian. Itulah yang paling penting bagi masyarakat dan golongan cerdik pandai dalam melihat politik. Bukan dengan emosi, perasaan, semangat tanpa haluan, dan andaian-andaian.
Ada yang berusaha menghalang seseorang dari mendengar kerana takut terpengaruh. Hem~ Mungkin betul tapi sangat sukar untuk diterima. Kita layak digolongkan di dalam kumpulan cerdik pandai kerana kita mampu belajar di menara gading. Toh kalau kita tidak belajar di menara gading sekali pun kita yang mampu membaca dan berfikir seharusnya tergolong dalam golongan ini. Akal yang Allah SWT cukup. Teringat mantan biarawati yang kini menjadi ulama dalam bidang kristologi iaitu Ibu Irene Handoko pernah berkata, “Bacalah bible anda tidak pernah akan terpengaruh!”. Beliau berkata dengan yakin kerana memang bible cacat dalam pelbagai sisi dan manusia mampu membezakannya. Maka, seharusnya tidak ada alasan terpengaruh melainkan memang tidak mendapat hidayah. Itu menguatkan keyakinan aku bahawa kita harus akui dimana kita perlu mendengar dari semua orang lalu membuat penilaian sendiri. Abu Jahal dan teman-temannya mengatakan bahawa wahyu yang disampaikan Muhammad (SAW) adalah dusta akan tetapi pada malam harinya mereka malah berkumpul demi mendengarkan bacaan baginda (SAW). Mengapa? Kerana yang mendustakan adalah keangkuhan dan hawa nafsu mereka akan tetapi akal fikiran mereka tidak dapat tidak untuk mendustakan yang haq dari Allah SWT. Lalu apa bezanya dengan cabang ilmu yang lain. Politik tidak terkecuali. Dengarlah, lihatlah, bacalah, hadirlah, perbincangkanlah anda yang menentukan hala tuju anda dan keyakinan anda. Wama ba’dal haqqi illa batila..



October 30th, 2008 at 9:43 am
Sebuah artikel yang sangat menarik, betul-betul terkesan selepas membacanya.. Harap suatu hari nanti boleh tulis macam ni jugak
..