Indah Al-Quran

Posted on March 8th, 2011 in Agama, Bahasa dan Sastera

Indah! Orang terpana dan terpesona. Tiada kata yang mampu diucap. Lenggokkan mencuri minat. Semua orang berpaling mencari, umpama tersihir. Mereka yang berjalan tiba-tiba berhenti. Terpaku kaki. Ia mengangkat semakin tinggi. Tinggi dan tinggi lagi. Kemerahan mula mewarnai wajah yang suci. Seketika semua yang menonton menelan air liur. Sebuah babak selesai lalu dimulakan lagi. Mula dari bawah sekali dan dengan sangat mendatar ia mula memainkan lagi. Terasa umpama dibelai lembut udara sepoi-sepoi. Sejuk di luar dingin di dalam. Sungguh mendamaikan.

Itulah antara pesona Al-Quran. Sebuah mukjizat yang datang dari tuhan. Menakjubkan. Hebat pada susunan, indah pada lantunan, tepat kata yang dipilih, dalam maksud yang tersimpan.

Karen Amstrong dalam sebuah temu bual untuk sebuah filem dokumentari mengatakan bahawa Al-Quran begitu mempesona. Ada orang yang memeluk Islam hanya kerana mendengarkan lantunannya. Pengiktirafan dan pengakuan yang begitu adil bagi Al-Quran olehnya yang bukan seorang muslimah.

Anda tidak dapat membayangkan betapa kehadiran Al-Quran menjadi sebuah fenomena hebat ketika itu, jika anda tidak cuba melihat dengan lebih mendalam. Jika mahu diambil permisalan yang ada pada saat ini, bolehlah kita gambarkan seperti industri muzik yang mendapat perhatian masyarakat. Setiap penyanyi memiliki genre mereka sendiri. Setiap genre ada peminat dan penyokong mereka sendiri. Bila mana artis pujaan mereka muncul mereka akan hadir memberikan sokongan. Memuji dan menyorak. Mereka berusaha menyokong dengan pelbagai cara. Menghadiri konsert, membeli album, menyertai kelab peminat dan sebagainya. Demikian juga suasana masyarakat arab ketika itu. Penyair mendapat tempat yang sangat tinggi dalam masyarakat. Ia menjadi pusat perhatian dan tumpuan. Mereka sentiasa menghabiskan masa untuk membuat bait-bait syair yang hebat. Syair itu kemudian dipertarungkan di sebuah gelenggang terkenal seperti Suq ‘ukaz. Penyair tidak perlu risau mengenai kehidupan kerana profesi mereka menjanjikan kemewahan. Jika mereka menciptakan syair yang dapat mengangkat suku atau keluarga mereka, atau orang besar dikalangan mereka maka tentunya dia akan mendapatkan habuan bagi usahanya itu.

Setiap suku, kaum dan orang yang berpengaruh memiliki penyair mereka sendiri. Kegemaran mereka bergaduh dan bersaing tidak hanya pada fisik tetapi juga pada gelanggang pertaruhan syair. Tidak menghairankan jika hanya disebabkan sebait syair peperangan yang memusnahkan dan merugikan boleh terjadi. Semakin hebat penyair yang suatu suku, kaum, keluarga bahkan individu miliki maka akan semakin besar pengaruh dan semakin hebat suku, kaum, keluarga atau individu tersebut.

Syair yang hebat akan dihafal oleh semua orang. Menghafal syair akan menjadi sebuah amalan, bahkan pendidikan formal mereka adalah pada menghafal bait-bait syair. Syair akan menjadi gudang yang menyimpan nasab mereka. Peristiwa-peristiwa hebat akan mereka rakamkan dengan terperinci dalam bait-bait syair agar ia menjadi peringatan penting dan warisan berharga. Tidak terkecuali kata-kata hikmah dari kepahitan dan kemanisan pengalaman hidup turut mereka simpan dalam bait-bait syair. Maka adalah suatu yang tidak mustahil bagi masyarakat itu untuk menghafal ratusan bait atau bahkan ribuan kerana sememangnya begitulah cara mereka hidup.

Suasana ini tentunya memberi kesan kepada mereka. Tahap bahasa mereka menjadi sangat tinggi. Bahkan jati diri mereka dinilai dari kemampuan mereka berbahasa. Kata-kata mereka sentiasa teratur, tepat dan padat. Kiasan dan perumpamaan mereka sangat mendalam. Mudahnya, mereka adalah masyarakat yang sangat berbudi bahasa.

Dalam suasana itu hadir seorang yatim, miskin, tidak berpengaruh namun terkenal dengan keluhuran budi dan kredibilitinya, mengungkapkan ayat-ayat yang bukan merupakan syair. Walau ia bukan merupakan syair tetapi nilai ketinggian bahasa, ketajaman maksud, keindahan bunyi seakan-akan menenggelamkan dan mengalahkan kehebatan para penyair yang sedia ada. Tidak cukup sekedar itu, ia kemudian didakwa oleh pemiliknya merupakan wahyu dari tuhan sebagai kabar gembira dan peringatan untuk umat manusia.

Alif, lam, mim, kaf, ha, ya ain, shad. Huruf-huruf itu adalah huruf-huruf yang sama yang telah masyarakat arab pergunakan untuk mencipta syair. Huruf-huruf itu juga yang mereka guna dalam pertuturan mereka seharian. Adakah sukar bagi mereka untuk membuat ayat yang dapat menandingi apa yang disampaikan oleh sang yatim itu! Tentunya hal ini menjadi suatu yang amat memalukan. Puas mereka berusaha memang mereka tidak mampu untuk menghadirkan sesuatu yang seperti Al-Quran. Allah SWT malah memberikan mereka tekanan dengan mencabar mereka untuk mendatangkan sesuatu yang sama seperti Al-Quran. Mereka tidak mampu lalu Allah SWT turunkan lagi menjadi satu suruh. Tidak mampu juga maka Allah SWT hanya meminta satu ayat. Maha suci Allah SWT menciptakan Al-Quran dari bahasa mereka sendiri namun gagal bagi mereka mendatangkan yang sepertinya. Ketidakmampuan mereka itu akhirnya menyebabkan mereka cuba mengatakan bahawa wahyu itu merupakan sihir, mantera, jampi bahkan mengatakan bahawa sang yatim itu gila.

Apapun yang mereka usahakan, hasilnya tetap sama. Al-Quran terus memukau dengan keindahan bunyinya sebelum memukau dengan ketajaman dan keluasan kandungannya. Ia masih berperan menjadi penyebab manusia mendapat hidayah. Ia masih menjadi bahan yang paling banyak penghafalnya. Ia masih menjadi penawar bagi jiwa dan raga.

Dulu, pemimpin Quraisy menasihatkan para pengunjung kota Mekah agar tidak mendengarkan ayat-ayat itu. Ada dikalangan pengunjung yang menutup telinga mereka dengan kapas kerana termakan hasutan itu. Betul! Hanya dengan tidak mendengarkan ayat-ayat Al-Quran-lah yang dapat menyelamatkan seseorang dari terjangkit cahaya keimanan. Namun, pada akhirnya mereka gagal kerana suara lantunan ayat-ayat itu terdengar di mana-mana. Maka berubahlah manusia menjadi taat kepada tuhan mereka. Sungguh berjasa para sahabat yang mempertaruhkan nyawa hanya demi memperdengarkan Al-Quran pada manusia. Mereka dibelasah dengan sangat kejam hanya kerana berani memperdengarkan Al-Quran. Itu usaha mereka dan telah kita lihat hasilnya.

Hari ini, manusia mula melupakan Al-Quran setelah “Islam” mereka warisi dari datuk nenek mereka. Tidak mereka mendengarnya, tidak pula membacanya apatah lagi merenungkan kandungannya. Akibatnya juga tetap sama, jadilah mereka golongan yang semakin jauh dari cahaya. Tersesat dari kebenaran yang nyata.

Betapa seronoknya jika kita mula mengadakan majlis dimana seorang qari dijemput lalu sama-sama kita nikmati lantunan ayat-ayat Al-Quran. Semoga lantunan tersebut menggetarkan hati kita dan menambahkan iman kita. Bertambah menarik jika diiring oleh bacaan terjemaah bagi ayat yang dibaca. Ia pasti akan sungguh menarik. Idea ini mungkin telah hadir dalam bentuk cd seperti yang diterbitkan oleh Pelima Media, iaitu sebuah buku bertajuk Sumbu Jiwa yang memuatkan beberapa surah penting bersama terjemahan yang disertakan dengan bacaan Quran oleh Syeikh Masyari Rashid Al-Afasi dan bacaan terjemahan oleh Tuan Nasran Hassan.

Perlu kita renungkan betapa Al-Quran diturunkan untuk kita dengar, untuk kita baca, untuk kita fahami dan akhir sekali untuk kita amalkan. Seperti yang telah Allah SWT firmankan,

Maksudnya, “Thaahaa. (1) Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; (2) tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), (3)yaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (4) (Yaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah. Yang bersemayam di atas ‘Arsy. (5)Kepunyaan-Nya-lah semua yang ada di langit, semua yang di bumi, semua yang di antara keduanya dan semua yang di bawah tanah. (6) Dan jika kamu mengeraskan ucapanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui rahasia dan yang lebih tersembunyi. (7) Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang baik),” Surah Taha 1-7

Semoga Allah menumbuhkan kecintaan kepada Al-Quran yang membuatkan kita suka mendengarnya, suka membacanya dan suka merenung akan kandungannya. Semoga video bacaan saudari berikut ini dapat kita nikmati bersama..

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share