
Cinta tidak menerima apalagi meminta,
Cinta memberi tanpa dipaksa,
Cinta hadir tanpa sengaja,
Cinta ada bukan kerana siapa atau apa,
Cinta tidak dicipta atau direka,
Cinta berputik dengan sendirinya,
Cinta iman dan taqwa,
Cinta syukur pada yang Esa,
Itulah sebenarnya C I N T A . . .
###
Sungguh menarik jika kita teliti sekian banyak ayat-ayat dan hadis-hadis yang sebenarnya mengajarkan erti cinta tanpa kita sedari. Walaupun ianya tidak berbicara secara jelas tentang cinta namun agak mustahil hendak dijalankan tanpa cinta. Sepertimana misi rahmatanlilalamin tidak pernah akan tercapai kecuali dengan cinta. Sedih ketika kita melihat fenomena hilangnya cinta yang sepatutnya menjadi ramuan terpenting dalam kehidupan. Hilangnya cinta melahirkan kerosakan, perpecahan dan kesengsaraan kepada manusia dan alam semesta.
Cinta adalah manusiawi dan kemanusiaan
Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang pemuda yang kehausan di tengah-tengah perjalanan, kemudian pemuda itu terjumpa sebuah telaga lalu turun ke dalamnya untuk mendapatkan air. Ketika dia berada di permukaan tanah dia melihat seekor anjing yang kehausan mengjilat-jilat pasir kerana tidak dapat menahan haus yang melanda. Pemuda itupun berkata, “anjing ini sedang mengalami apa yang baru saja aku alami.” Pemuda itu bergegas turun mengambilkan air yang di isi di dalam kasutnya. Kasut tersebut terpaksalah dipegang menggunakan mulutnya untuk dapat memanjat dinding telaga hingga ke permukaan tanah. Anjing itu pun mendapatkan air dari usaha pemuda itu, lalu Allah SWT bersyukur (berterima kasih) kepadanya. Mereka (yang mendengarkan kisah ini) bertanya, “Apakah kami mendapatkan ganjaran dari haiwan?” lalu Rasulullah SAW menjawab, “Di setiap perut ratbah (haiwan) ada ganjaran!”
Kadang kita sebagai manusia hanya selalu melihat kepada apa yang diri mereka dapatkan. Jarang manusia mahu melihat dan berfikir lebih dari apa yang mereka dapat. Andai saja manusia lebih sering melihat kepada kesan apabila banyaknya jumlah manusia yang prihatin terhadap binatang, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Pernah satu ketika seorang ayah berkata pada anaknya ” Abah bukannya nak cari untung sangat dari tanam pokok-pokok ni, hanya saja teringin berbakti pada tanah.” Ungkapan sang ayah ini penuh dengan kerendahan diri dan perasaan cinta. Allah SWT meinginkan khalifah yang dapat menjaga muka bumi ini maka di-targhib-kanlah dengan ganjaran yang pada hakikatnya ia merupakan sebuah didikan bagi kita untuk belajar mencintai binatang dan alam sekitar.
Cinta adalah toleransi dan persaudaraan
Islam begitu indah mengajarkan kita untuk saling memaafkan. Islam mendidik kita untuk mengerti bukan dimengerti. Islam menghilangkan ego manusia yang hina dan menggantikannya dengan rendah diri yang mulia.
“Ah.. lantaklah, bukan aku yang salah. Dia yang cari pasal dulu!!! Kalau dia tak nak tegur aku, aku tak kisah. Ramai lagi orang lain yang nak jadi kawan aku.”
Islam tidak mengajarkan kita untuk mengatakan kebenaran kita lalu berdiam, kerana fitrah manusia adalah melakukan kesalahan. Selamatkah kita dari berbuat salah. Islam mengajarkan erti cinta dengan menyuruh kita untuk memaafkan.
Hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya berbunyi, “Tidaklah halal bagi seorang muslim mendiamkan saudaranya lebih dari tiga hari, mereka saling bertemu seorang berpaling ke sini dan seorang lagi ke sana, dan sebaik-baik mereka adalah yang mula memberi salam”.
Begitu juga dengan hadis yang telah kita semua hafal, la yadkhulul jannata qoti’un yang bermaksud “tidak akan masuk jannah seorang pemutus (pemutus silaturrahim atau persaudaraan)”
Orang yang paling beriman adalah mereka yang paling memperhatikan hubungan mereka sesama manusia. “La yu’minu ahadukum hatta yuhibba li akhihi ma yuhibbu linafsihi” “Tidaklah beriman seseorang diantara kamu sebelum dia menyukai sesuatu yang baik bagi saudaranya sepertimana yang dia sukai bagi dirinya”. Sungguh besar nilai keimanan dan ia sangat terkait dengan cinta. Bagaimana mungkin seseorang memberikan apa yang dia suka kepada orang lain melainkan orang tersebut merupakan seseorang yang istimewa. Bagi kita umat Islam, setiap saudara seIslam kita adalah istimewa dan tentunya ianya akan terlaksana hanya dengan perasaan cinta. Perhatikanlah bagaimana kaum anshar memberikan segala yang mereka miliki, sehingga mereka dapat memberikan isteri mereka kepada kaum muhajirin. Alangkah tinggi dan murninya cinta mereka. Kadang kita pun berfikir, bagaimana agaknya keadaan si isteri yang sudi diceraikan kemudian dikahwinkan dengan orang lain. Umat Islam pada zaman itu mendapat didikan direct oleh Rasulullah SAW. Keimanan dan ketaqwaan telah mewarnai hidup, nyawa dan jiwa mereka. Cinta mereka bukan lagi suatu yang diukur dengan siapa, bagaimana dan lain-lain akan tetapi cinta mereka adalah pada berbakti, berjuang dan pada Islam yang membuatkan mereka ikhlas menikahi kaum muhajirin.
Cinta adalah kasih sayang, gembira dan sedih bersama-sama
Antara pendidikan cinta yang diajarkan oleh Islam adalah kasih sayang. Cinta yang melahirkan perasaan kasih dan sayang tidak akan rela melihat keadaan sekitarnya sengsara sedang dia dalam keenakan dan kemewahan. Kasih sayang dalam Islam menuntut kita untuk melirik kepada jiran-jiran kita. Bagaimanakah keadaan mereka? Kosong atau penuhkah perut mereka malam ini? Sendu atau sendawakah mereka?
Islam mendidik kita untuk saling mengasihani disetiap saat apalagi di waktu-waktu gembira. Perayaan kita adalah satu-satunya perayaan yang kegembiraannya dirasakan oleh seluruh semesta. Si Miskin mendapatkan fitrah dihari raya. Si Papa kenal nikmatnya daging di aidil adha.
Pernah terbaca tentang keadaan mereka yang homeless di barat ketika perayaan krismas. Waktu-waktu yang menggembirakan sebahagian mereka itu ternyata menjadi waktu yang sangat menyedihkan golongan yang lain. Sehingga kes bunuh diri pada pagi perayaan-perayaan besar adalah hal yang biasa. Bagaimana tidak, ketika orang lain bergembira golongan homeless terpaksa merasakan kesejukan salji tanpa makanan dan tempat perlindungan sedangkan golongan yang lain bergembira dengan berlebih-lebihan.

Lihatlah betapa tinggi dan agungnya didikan cinta yang tersembunyi di dalam syariat dan ajaran Islam.
Ya Allah karuniakanlah kepada kami cinta yang hakiki ini. Ya Allah karunikanlah kepada kami cinta hambaMu yang mencintaiMu dan yang akan menuntunku untuk lebih mencintai Mu ya Allah….






