Hidyah adalah anugerah yang tak dapat ditolak jika Allah SWT sudah berkehendak. Seseorang perlu memohon dan meminta agar dapat diberikan kepadanya hidayah. Tanpa hidayah manusia langsung tak bernilai dan tak berguna. Walaupun anda dilahirkan sebagai seorang muslim dan berkad pengenalan yang jelas menyatakan agama Islam sebagai agama anutan anda namun hidayah belum tentu terjamin penerimaannya. Maknyanya, itu bukan jaminan anda mendapatkan hidayah. Orang yang merasa dirinya sentiasa mendapat hidayah juga perlu segera koreksi dan muhasabah, adakah benar keadaan dirinya sepatutnya begitu ataupun tidak.
Allah SWT mengajarkan kepada kita supaya kita selalu memohon dan meminta agar sentiasa diberikan hidayah. Hidayah yang mengeluarkan kita dari lembah yang begitu hina. Hidayah yang mengawas kita dari terlencong ke sana sini. Hidayah yang mempermantap langkah kita ke arah yang kita yakini.
Setiap hari kita diwajibkan merayu dan memohon untuk mendapatkan hidayah sebanyak 5 kali. Itu paling sedikit. Sepertimana kita membacakan “ihdinasshirotol mustaqim..” dalam setiap bacaan Fatihah kita.
Pertanyaan yang timbul adakah ucapan atau bacaan kita itu dalam setiap solat yang kita laksanaakan merupakan sesuatu yang lahir dan hadir dari hati. Ataukah ia hanya umpama kak tua yang bising namun tidak sedikit pun mengetahui apa yang dibisingkannya. Atau mungkin kita tahu makna ucapan tersebut namun tidak pun berfikir dan berharap sepenuh hati ketika membacanya.
Semakan seperti ini sangat perlu selalu dilaksanakan agar kita benar-benar berada dalam landasan yang sepatutnya. Kita perlu yakin bahawa hidayah itu diberikan dari Allah SWT yang jika Dia SWT menariknya maka nescaya kecelakaanlah akibat dan padah yang bakal diterima. Hilangnya kesedaran hati ketika membacanya adalah awal bencana yang mungkin bakal menimpa. Maka hati-hatilah!
Bicara tentang hidayah, hari ini aku mendengarkan pengakuan seorang teman. Seorang anak bungsu dari tiga bersaudara. Berwarganegara Czech. Ya, seorang wanita. (Menjawab soalan yang bermain diminda anda). Aku memintanya agar bercerita hal yang menyebabkan dia memeluk islam.
Kisahnya bermula ketika dia berkunjung ke Mesir dan melihat kelompok umat Islam yang mengerjakan solat. Perlakuan solat itu sangat terkesan dihatinya. Ada nyaman ketika melihat manusia solat. Setelah itu dia bermimpi dirinya memegang Al-Quran dan menuju ke masjid. Mimpi itu memberinya semangat untuk mencari tahu tentang Islam. Lembaran-lembaran buku mula diselak. Kemudian mula mengetahui bahawa di negaranya juga terdapat sebuah masjid. Ya, hanya sebuah. Teman-teman islamnya mulai ramai dan akhirnya syahadah itu dilafazkan.
Aku berfikir dan merenungi kejadian ini. Dia menyedari kehadiran hidayah tersebut dan mendorong dia untuk berubah. Setelah dia berubah (masuk islam) dia sendiri yang merasakan perbezaan sebelum dan setelah menjadi muslim. Betapa beruntungnya dia mendapatkan bentuk hidayah yang demikian yang dengan begitu jelas menjadi sebuah penyebab berubahnya sikap, berubahnya sisi pandang, bertambahnya usaha, kokohnya tekad. Semuanya berpunca dari sebuah hidayah yang seakan-akan bergolek kepadanya.
Pertanyaannya adakah hidayah yang bergolek itu pernah kita alami? Pernahkah kita menyedari kehadiran hidayah yang seharusnya menjadi penyebab berubahnya diri kita. Aku yakin akan kehadirannya akan tetapi aku ragu akan kepekaan diri kita untuk menyedari dan meraikan kehadirannya.







August 15th, 2008 at 8:36 am
salam…
Sebuah article yg bagus…mhn di ijinkan utk ana masukkan ke dlm blog ana utk pengisian bersama…
Hidayah ibarat mutiara berharga, tidak datang bergoleh tapi perlu diminta dpd ALLAH S.WT dgn hati yg bersih.moga ALLAH S.W.T berkenan utk memasukkan Taufiq & Hidayah-NYA ke dalam hati2 kita.
saling mendoakan ya
wassalam