Aku masih lagi tekun membaca buku teks yang benar-benar membuat mataku lelah tepat didepan pejabat imam. Sebentar lagi azan akan berkumandang, aku mengalihkan pandangan dari buku melihat ke seliling mencari sosok bilal yang akan menlaksanakan tugas agung itu. Ternyata sang bilal yang merupakan orang utama dalam penubuhan klinik milik masjid belum muncul. Aku melihat seorang yang sebaya dengan ayahku sedang melihat ke jam di pergelangan tangannya. Memang dia yang biasa akan mengambil tempat bilal dan imam jika kedua mereka berhalangan hadir.
Aku kembali meneliti baris demi baris dan cuba mencerna apa yang dimaksudkan oleh penulis buku ini. Perbincangan tentang asal usul bahasa sepertinya tidak akan ada ujungnya. Siapakah yang menjadikan dan menentukan bahasa? Adakah ianya suatu yang diturunkan sekaligus? ataukah ia merupakan kesepakatan masyarakat? Adakah nabi Adam AS yang mengajarkan seluruh bahasa-bahasa ini? Bingung aku mentelaah kesemua pendapat yang hanya akan berhujung kepada seribu satu persoalan. Untunglah As Shohibi karangan ibnu faris dan khasais karya ibn jinni telah diringkaskan di dalam buku ini. Tak dapat dibayangkan kalau ringkasan ini perlu dilakukan sendiri.
Allahu akbar… Allahu akbar…
Azan berkumandang. Aku menghentikan bacaan dan menutup buku. Kadang ada orang yang tak senang melihat kita membaca ketika azan berkumandang. Bagi mereka saat azan berkumandang perlulah dihormati dan segala aktiviti lain perlu diberhentikan apalagi jika anda berada di dalam masjid. Tiba-tiba datang seorang perempuan yang comel duduk di hadapan pintu pejabat imam itu. Kalau dia seorang yang berbangsa melayu sangatlah layak dia berada di kelas tahun 4 atau 5 sekolah rendah, namun kerana dia berbangsa arab tidak menutup kemungkinan dia baru di tahun satu atau dua.
Kerana dia berada tepat dihadapanku dan aku juga tidak melakukan apa-apa melainkan mendengar azan, maka tanpa aku sadari dia menjadi objek yang aku perhatikan untuk beberapa ketika sehinggalah dia seakan-akan salah tingkah dan tersenyum kepadaku. Aku kembali melontarkan senyum mencuba untuk memberi respon yang ramah agar dapat mengetahui apa yang sebenarnya anak kecil ini fikirkan.
Dia melirik ke arah pakcik yang sedang melaungkan azan lalu berpaling kepadaku dan memekarkan senyuman yang sangat manis. Tangan kecilnya diangkat dan telunjuk mungilnya diletakkan tepat diatas bibirnya memberi isyarat kepadaku untuk merahsiakan apa yang dilakukannya. Anak kecil itu lalu mengambil kasut kulit berwarna hitam yang ada disitu dan sambil tersenyum dengan mata yang bersinar girang dia berlari.
Aku hanya mampu tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala. Iri. Betapa kegembiraan terpancar di wajah anak kecil tadi. Aku juga ingin bergurau dan bermesra bersama ayah dan ibu. Tak tertahan hampir air mata menitis. Segera aku berdiri mengadu kepada Yang Maha Esa.
Aku masih tetap berada di tempat dudukku setalah solat selesai. Seperti yang dijangkakan ayah sang anak kecil tadi terkejut melihat kasutnya yang tidak lagi berada di tempat yang diletakkan tadi. Inginku sampaikan apa yang terjadi, namun niat itu pendam tatkala teringat gelagat anak itu yang ingin bercanda dengan ayah kesayangannya.
Teringat lirik lagu yang dinyanyikan kumpulan nasyid Rabbani, “bilakah kali yang terakhir kau ucapkan sayang pada…”






