Hantarkanlah Ketaqwaan..

Posted on June 25th, 2010 in Uncategorized

“Salam, saya tertarik dengan penerangan tentang ‘kad yang salah’, cuma saya nak tanya bagaimana pula tentang hantaran. Adakah saudara setuju trend sekarang yang berlumba-lumba dengan jumlah Rm ribu2?”

Tulisan di atas saya temukan di dalam sebuah mesej di peti masuk akaun FB saya. Seorang sahabat yang mengirimkannya.

Sekali lagi perlu saya tegaskan saya bukanlah orang yang pakar dalam bidang fikih. Namun, apa yang bakal saya berikan hanyalah sebagai pendapat peribadi yang saya pegang sesuai dengan sudut pandang yang saya fahami dari pembacaan dan pembelajaran saya. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua yang membacanya.

‘Hantaran’ yang saya faham adalah sejumlah wang dan sejumlah hadiah yang diserahkan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan juga sebaliknya. Biasanya, hantaran ini menjadi kesepakatan antara pihak keluarga kedua-dua belah pihak. Keadaan status sosial keluarga, kawasan tempat tinggal, keturunan dan budi bicara turut memainkan peranan dalam penetapan kadar hantaran.

Hantaran berbentuk wang biasanya digunakan untuk walimah dan juga untuk keperluan pengantin. Tetapi kadang-kadang ada juga anak yang baik hati menyerahkan wang hantaran itu sebagai hadiah atau sagu hati untuk ibu bapa mereka.

Hantara berbentuk hadiah pula biasanya dibawa oleh pengantin ketika akad nikah. Biasanya setiap pihak akan menyediakan hantaran untuk pasangan mereka. Sang pengantin lelaki menyediakan beberapa jumlah hadiah maka sang pengantin perempuan pula menyediakan beberapa buah hadiah sebagai balasan.

Hantaran di sini tidak bercanggah. Bila ia bersifat hadiah ia suatu yang dianjurkan oleh agama. Sebuah hadis ada yang berbunyi, “Saling menghadiahkanlah sesungguhnya ia akan membuatkan kalian saling mencintai” (atau seperti yang dikatakan). Bila wang diserahkan untuk membuat walimah. Itu juga satu yang mulia. Memberi makan kepada orang-orang terdekat, jiran tetangga, fakir-miskin dan sebagainya sangat dianjurkan oleh agama.

Namun, perlu diperhatikan disini, hadiah hanya dapat diberikan jika seseorang itu memiliki. Saya memiliki kereta ini maka barulah saya mampu untuk menghadiahkan kepada seseorang. Kerana sememangnya kereta itu milik saya. Jika kereta itu bukan milik saya, adakah boleh saya hadiahkan? Tentu sahaja tidak!

Lalu, bagaimanakah agaknya keadaan seseorang yang dipaksa untuk memberikan hadiah?

“Eh! Mana ada kami paksa!?” Kami cuma kata, “kalau nak nikah dengan anak kami, kami nak letak hantarannya RM 10,000 memandangkan anak kami ini pun seorang doktor. Jika tak sanggup kita boleh bincang. Pihak lelaki sanggup bayar berapa?”

“Ha, macam mana Mamat!” Ayah kepada calon pengantin lelaki melemparkan soalan kepada anaknya.

Segera Mamat mencongak. Gaji aku sebulan RM 1200. Dalam akaun ada RM 5000. Kalau simpan RM 500 sebulan insyaAllah 10 bulan dapatlah RM 5000.

“Ayah! Ayah bagi tahulah pihak perempuan insyaAllah kita sanggup bayar jumlah tu. Tapi akad nikahnya tahun depanlah. Kita tunang sajalah dulu.” Mamat berbisik ke telinga ayahnya sambil menyeka keringat walau ruang tamu itu berhawa dingin.

“Beginilah. Kami setuju, tapi akad nikahnya tahun depan.”

“Alhamdulillah..” Keluarga perempuan bersorak.

Semua gembira, semua tersenyum tetapi hanya Mamat yang resah hatinya. 12 bulan diperlukan untuk menyimpan wang. “Ah! Tak apa demi cinta..” Pujuk hatinya.

Syukurlah si Mamat seorang yang mampu. Paling tidak dia mempunyai kerja tetap. Masih mungkin baginya untuk mengumpul wang. Keperluan peribadinya juga tidaklah banyak kerana dia masih tinggal bersama keluarga. Lalu bagaimana pula dengan mereka yang tidak seberuntung Mamat?

Tahukah kita kisah mereka yang tidak pernah terdetik di benak mereka soal rumah tangga. Bukan kerana tidak ada keinginan. Cuma kerana tidak sanggup menerima kenyataan bahawa diri tidak mampu.

Ramai yang tidak sedar akan hal ini. Saya sendiri baru perasan bila melihatnya sendiri. Pada mulanya, budaya hantar menghantar ini menjadi amalan golongan yang berada  sahaja. Lama kelamaan ia semakin merebak. Apa lagi jika suasananya di kampung. Masing-masing suka bersaing. Siapa yang anaknya kerja di Kuala Lumpur dengan pekerjaan yang terpandang, tentulah akan mengisi senarai hantaran termahal. Tanpa sedar masing-masing mula bersaing walau tiada yang menyuruh tidak juga menganjurkan.

Pernah suatu ketika saya mendengar kisah yang berlaku di sekitar kampung saya. Seorang teman ibu masuk rumah dengan keadaan agak pucat dan tidak lalu makan. Segera dia berkata, “jiran awak pun meletak hantaran sedemikian tinggi! Lalu anak kita ni nanti nak kawin dengan siapa??” Seakan-akan dia tidak dapat menerima kenyataan mereka yang faham Islam turut membudayakan amalan ini. Jika orang yang memahami Islam sahaja belum mampu meninggalkan budaya ini bayangkanlah bagaimana penerimaan orang yang tidak memiliki idea Islam di dalam minda mereka.

Mungkin inilah rahsia mengapa Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat yang kaya raya untuk melaksanakan walimah hanya dengan kambing sahaja. Walhal, mereka sanggup sekali untuk laksanakan dengan penuh kemewahan. Unta mereka bukan satu dua tetapi ratusan. Bayangkan apa yang terjadi kepada umat Islam bilamana budaya ini menjadi kebiasaan. Seluruh sahabat yang kaya melaksanakan walimah yang hebat dan mewah. Tiba giliran orang miskin, sudah pasti mereka akan rasa begitu rendah diri. Hendak menjemput jiran yang kaya pun akan terasa segan. Terpecahlah umat Islam kepada golongan-golongan yang dahulu telah dihapuskan sejak awal penyebaran Islam.

Orang-orang kaya yang mampu untuk memberi hantaran yang tinggi melaksanakan majlis yang mewah perlu untuk berfikir kembali kesannya kepada diri dan masyarakat. Orang-orang kayalah yang harus mendidik masyarakat cara hidup sederhana. Barulah orang yang sememangnya tidak terlalu kaya, selesa dengan apa adanya mereka. Sungguh tidak ada manusia yang mahu dinilai lebih rendah dari manusia-manusia lain.

Saya selalu bertanya kepada diri. Seandainya seorang wanita meletakkan hantaran untuk dirinya sebanyak RM 10,000. Dia kemudian dinikahi oleh seseorang yang mampu. Selesai. Namun, beberapa tahun setelah itu gilirin adiknya pula untuk menikah. Akankah seorang yang tidak mampu menyediakan RM 10,000 mahu masuk meminang? Jika berani sekali pun dia tentulah seorang yang nekad! Nasib malang untuk si adik seandainya dia terpaksa menjawat gelar ‘andartu’ sebagai kesan dari ‘kebaikan di tempat yang salah’ yang dilakukan oleh keluarganya kepada kakaknya.

Lalu jika 7 dari 10 buah rumah mengamalkan budaya hantaran yang tinggi ini di sebuah kampung. Orang dari kampung seberang pasti tidak akan berani memilih gadis-gadis dari kampung itu. “Jangan!! Penduduk kampung itu hantarannya tinggi!!” Nasihat penduduk sesama mereka.

Maka, apa yang terjadi hari ini tidak lagi menghairankan. Kita tidak perlu hairan mengapa ramai lelaki bahkan wanita dalam usia mereka yang hampir menceceh kepala empat pun masih tidak berkeluarga. Jawapan yang sering akan kita dengar, “Aku kahwin nantilah. Nak kumpul duit dulu!!”

Kita perlu faham bahawa perkahwinan ini suatu yang suci. Ia adalah ikatan iman. Mahar pula sebagai tanda pengikat. Jika hantaran dibebankan pula ia bukan lagi menjadi simbol kesucian. Bahkan tidak berlebihan jika kita katakan bahawa ia merupakan pencemar yang merosakkan kesucian nikah.

Lebih menyedihkan lagi, wang yang banyak itu, bukan digunakan dengan sebaiknya. Ia dibazirkan dalam pembaziran yang tentunya tiada nilai di sisi Allah. Bukan sekedar membazir, segala sen yang dibayar itu seakan menempah tiket ke neraka. Bagaimana tidak segalanya sarat dengan dosa!

Saya masih ingat kisah yang berlaku kepada seorang teman serumah saya dahulu. Ceritanya dia ditugaskan untuk membawa seorang tokoh Universiti Al-Azhar Mesir. Nama beliau, Mustafa Dusuki. Ketika dalam perjalanan menuju tempat tujuan dia meminta sahabat saya selaku sopir itu untuk singgah sebentar di walimah temannya. Itu juga diputuskan memandangkan, kewajipan menghadiri jemputan dan keluangan masa yang ada. Tiba di walimah itu, beliau sangat terkejut dengan walimah yang disambut dengan meruntuhkan segala prinsip-prinsip Islam. Melihat suasana itu, beliau berkata, “Jangan kalian minum atau makan apa-apa dari tempat ini. Sungguh tiada keberkatan di majlis ini. Jika tidak kerana hubungan kami (beliau dan pihak yang menjemput) tidak baik sungguh aku akan meninggalkan majlis ini serta merta.” Setelah sebentar, beliau pun meninggalkan tempat itu.

Beliau memberikan contoh kepada kami betapa isu keberkatan itu menjadi satu hal yang sangat penting. Berkat itu dinilai dari sudut yang sangat luas. Beliau tidak mengatakan makanan itu haram kerana sememangnya makanan-makanan itu tidak haram. Namun, suatu yang halal sekalipun tidak semestinya penuh berkah. Sebuah apel yang diberikan seorang yang bertaqwa jauh berbeza dengan apel yang diberikan oleh seorang yang fasik. Keberkatan berbeza disitu walau status halalnya sama.

Isu sebegini perlu dilihat dari sudut yang bukan bersifat direct tetapi perlu dilihat dari sudut kesan-kesan perubahan yang bakal berlaku kepada sesebuah masyarakat. Budaya zina hari ini sebenarnya bukan berlaku tiba-tiba di masyarakat kita. Ia menjelma dari sumbangan seluruh mereka yang memberikan beban kepada lelaki untuk berkahwin. Menjelma kerana kita sendiri yang mempersusah perkahwinan. Betul, mereka yang berzina adalah yang lemah iman. Tapi kita yang kuat iman ini hanya mempertahankan diri lalu menghambakan diri kepada adat sehingga menyebabkan adat diterimapakai lalu mereka yang lemah iman pula menjadi mangsa!

Saya sangat yakin, naluri lelaki, sangat-sangat ingin untuk memberi. Bahkan, lelaki secara semulajadinya tidak risau untuk berkongsi miliknya dengan orang lain apalagi sang isterinya sendiri. Tetapi hati-hati, berkongsi tak sama dengan membeli. Lelaki akan menjadi ‘lain’ jika pendekatan yang digunakan adalah jual beli.

Saya pernah mendengar perbincangan dengan teman-teman kaum hawa mengenai hal ini. Menurut mereka mahar yang tinggi dan hantaran ini boleh dijadikan ‘insuren’ jika nanti tiba-tiba berlaku perceraian dan sebagainya. Para artis yang memenuhi dada akhbar bersama berita perceraian mereka di mahkamah itu tidak terlepas dari isu mahar dan hantaran ini. “Kita dah tak ada cinta so i nak hak i!”

Menurut saya, bukan itu sebagai jaminan. Apa yang boleh menjamin adalah keimana dan ketaqwaan. Jika anda seorang yang beriman dan bertaqwa, Allah pasti akan menjodohkan dengan orang yang beriman dan bertaqwa juga. Orang yang bertaqwa memberi jaminan bukan seperti jaminan mahar dan hantaran itu. Orang yang beriman ketika menceraikan isterinya, dia pasti akan takut kepada Allah dan menjalankan tugasnya selaku bekas suami kepada bekas isteri dan anak-anak sebagaiman yang Allah perintahkan. Mereka tidak akan menceraikan dan sudah. Titik. Tidak begitu. Tanggungjawab yang mereka emban ketika akad bukan sekedar kepada isteri tetapi juga kepada Allah.

Jika boleh saya cadangkan, ayuh sama-sama kita kembali kepada sunnah. Tidak salah menceriakan suasana dengan penyerahan hadiah di hari penuh sejarah tetapi biarlah sekedarnya. Biarlah ia benar-benar hadiah yang bukan diberikan kerana terpaksa. Pihak perempuan jika mahu menerima dari pihak lelaki silakan terima. Tapi tidak perlulah meminta apa yang tidak sepatutnya dipinta.

Lalu bagaimana nak buat kenduri? Buatlah dengan apa yang ada. Sahabat dulu, walimah mereka hanya dengan susu. Ada juga yang hanya dengan tamar. Bahkan saya sendiri pernah menghadiri sebuah walimah pada tahun lepas di sebuah kampung berdekatan kota Iskandariah Mesir yang hanya menjamu air kotak untuk masyarakat yang hadir. Tidak pun ada yang mencemuh. Tidak pula pihak keluarga pengantin perempuan dan lelaki rendah diri. Sungguh yang demikian lebih baik. Sama-samalah kita hantarkan ketaqwaan pada hari bahagia ini.

Published by taqeyyabella

One Response to “Hantarkanlah Ketaqwaan..”

  1. anasxz Says:

    cantik shahid.

    hantaran tu biasa2 sudah lah. sebagai tanda cinta sahaja.

    hang fahamkan org nak buat program/event macam mana? mesti jugak hang tau perkara apa yg hanya rugi sahaja dimasukkan dalam bajet. sudahnya duit habis, tapi tak dak apa…

Leave a Comment

Feel free to share you opinion with me
  • Calendar

    September 2010
    M T W T F S S
    « Jul    
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  
  • Tentang Penulis

    Graduan dari Fakulti Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Asy-Syarif Mesir (2005-2009). Pernah mengabdi sebagai guru di Darussalam Gontor selama setahaun (2004). Mendapatkan pendidikan menengah di Kulliyyatul Mu'allimin Al-Islamiyyah, Darussalam Gontor Ponorogo Indonesia (1998-2003). Pendidikan rendah di Sekolah Islam Al-Amin Serdang dan Bangi (1991-1997). Pelajar Tadika An-Nur Serdang (1990). Kini bergiat dalam usaha pertanian fertigasi dan berusaha menulis buku. Bercadang untuk meneruskan pengajian di Bidang Bahasa Al-Quran. Semoga segalanya dipermudahkan. Amin.
  • Taqeyyabella’s heartbeat

    Berjalan menuju ABADI berbekalkan TAQWA, menciptakan TAKUT pada yang MAHA KUASA, menimbulkan MALU sesama MANUSIA, menghadirkan KASIH pada ALAM SEMESTA.
  • Sapaan Mesra

  • Archives