Jul 16

Hadapi Dengan Tenang

Category: Motivasi, Peribadi, Sikap

This is some text prior to the author information. You can change this text from the admin section of WP-Gravatar Final year student, General Studies Faculty of Arabic Language, Al-Azhar Asy-Syarif University, Cairo, Egypt.


Aku menerima kabar dari beberapa orang teman tentang keputusan peperiksaan mereka. Namanya hasil peperiksaan tentunya pelbagai. Tak semua dapat tersenyum melihat hasil mereka. Ada  yang dapat mengagak bagaimana hasil mereka. Ada pula yang langsung tak menyangka hasil mereka begitu.

Hasil yang diterima tentu sesuai dengan apa yang diusahakan. Sama seperti amal ibadah kita yang semuanya bakal menjadi bekalan buat kita di hari kemudian. Sebelum ujian, kita belajar, mengumpul maklumat dan ilmu sebagai bekalan yang akan kita manfaatkan tatkala berada di ruang ujian. Makin kemas simpanan ilmu ditata pada rak memori semakin mudah jemari bergerak mengalirkannya ke atas kertas jawapan. Keterbatasan dan kelemahan manusiawi membuatkan manusia tidak mampu menjawap dengan sempurna. Adakalanya kita akan lupa dan adakalanya mungkin kita akan tersilap. Itu biasa. Adapun orang yang telah benar-benar bersedia dan sabar, yang rela berulang kali memeriksa jawapan yang telah dia tulis mungkin dapat menyediakan jawapan yang menghampiri kesempurnaan. Mereka adalah pelajar yang cemerlang.

Peperiksaan yang kita hadapi sebagai pelajar jauh lebih mudah dibanding peperiksaan yang kita hadapi sebagai hamba Allah atau manusia. Ujian yang Allah berikan kepada kita tidak dapat diminta ulangan. Berbeza dengan peperiksaan akademik yang jika kita gagal kemungkinan untuk mengulang masih ada. Peperiksaan akademik juga telah ditentukan masa dan waktunya sehingga kita mampu memperuntukkan masa dan tenaga agar mampu menghadapinya dengan kesediaan yang baik. Berbeza dengan ujian Allah yang tidak tentu bila tibanya. Atau bahkan ujianNya berlangsung sepanjang masa. Ada baiknya kita tinggalkan bicara tentang ujian Allah disini.

Ingin aku ingatkan diriku sendiri akan sikap yang perlu diambil bila mana hasil peperiksaan nanti diperoleh. Tentunya aku bukanlah golongan pelajar cemerlang yang menduduki peperiksaan dengan baik. Bahkan, aku perlu mengakui usahaku selama ini sebenar-benarnya belum sehabis baik atau belum allout kata orang putih. Tidak perlu mencari alasan bagi menyedapkan hati atas kerugian yang telah berlalu. Itu adalah kenyataan. Namun, dalam masa-masa yang telah digunakan untuk fokus menghadap ilmu dan buku aku sedaya upaya berusaha memberikan yang terbaik. Terbaik dari sudut perhatian dan fokus, dari sudut semangat dan istiqamah dan juga dari sudut mujahadah. Maka, adalah selayaknya untuk aku pasrah dan berpuas hati dengan apa yang bakal dicapai. Jangan pernah mimpikan kecemerlangan jika memang tidak pernah membuat persiapan jauh sebelum hari peperiksaan. Sebuah pepatah arab ada yang berbunyi, “In anta lam tazra’ wa abshorta hasidan, nadimta alattafriti fi zamanil bazri” yang maknanya, “Jika anda tidak bercucuk tanam lalu anda melihat mereka memetik hasil, anda akan sedih atas kesia-siaan ketika waktu bercucuk tanam”. Bulan memang tak akan jatuh ke riba!

Sikap bagaimana yang perlu ada bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi?

Aku mendengar berita kegagalan kesemua pelajar perempuan yang berasal dari Selangor yang sefakulti denganku. Memang ia sebuah kemungkinan yang menjadi kenyataan. Jika anda atau aku sendiri mengalami kemungkinan seperti mana yang mereka alami. Apakah sikap anda dan apa sikap aku?

Di saat seperti ini, suka aku ceritakan pesan guru lamaku di sekolah. Sekolah menengahku tidak sama dengan sekolah-sekolah yang lain. Jika purata markah awal tahun dan akhir tahun tidak melebihi 5.5 (markah terendah untuk lulus) maka siswa tersebut tidak layak untuk naik ke tingkat berikutnya. Guru selalu mengingatkan kami bahawa yang penting bukan hasil yang kita peroleh akan tetapi apa dan bagaimana sikap kita setelah memperoleh hasil tersebut. Jika anda cemerlang, bukan kecemerlangan anda yang menjadi titik perhatian akan tetapi bagaimana sikap anda dengan kecemerlangan anda itu. Adakah anda semakin rajin dan semakin gigih membantu yang lain ataukah anda menjadi sombong dan mula meremehkan? Adakah kecemerlangan kita itu diamalkan dalam kehidupan seharian ataukah kecemerlangan itu hanya kecemerlangan di atas sijil sahaja. Al’ilmu bila ‘amalin kasy-syajari bila samarin, ilmu yang tidak diamalkan umpama pohon yang tidak berbuah.

Seorang pelajar yang gagal tidak perlu menangisi kegagalannya kerana kegagalan bukanlah segala-galanya. Bukan berarti bumi ini bukan lagi milik kita jika kita gagal. Tidak juga akan tercabut nyawa kita bila kita gagal. Bahkan kegagalan adalah hal biasa yang dialami oleh semua orang. Namun, dalam banyak-banyak orang yang gagal tidak semua dari mereka yang mahu bangkit dan belajar dari kegagalan. Tidak semua mahu melihat kembali cara kehidupan dan cara pembelajaran yang telah lampau lalu mencari titik lemah dan mengubahnya. Sikaplah yang menentukan adakah  kegagalan kita merupakan kejayaan yang tertunda ataukah kegagalan itu yang memang kerana kita adalah si gagal yang tiada harapan. Ya, sikap yang berperan!

Kita selalu mendengar pepatah yang berbunyi, “Bukanlah suatu yang mengagumkan bila seseorang gagal, tapi yang mengagumkan itu adalah kejayaan setelah kegagalan.”

Keputusan pelajar-pelajar tahun tiga Fakulti Bahasa Arab akan ditampalkan bila-bila masa. Semoga Allah SWT memberikan rahmat kepadaku dan teman-teman semua. Jika keputusan hanya bergantung kepada usaha kami nescaya kegagalanlah yang layak kami terima, namun andai Allah SWT merenjiskan barang sedikit rahmat dan inayah sungguh kejayaan itu bukan anganan semata. Allahumma amin. Ya musahhil ya rabb.

Semoga aku dapat tenang menerima keputusan yang bakal muncul bila-bila masa. Tenang dan bersyukur atas ketentuan dan meneruskan langkah walau dalam apa juga keadaan. Ketenangan membantu kita untuk mengorak langkah untuk terus maju terus dan pantang mundur.

1 Comment so far

  1. GhOsT_MaRNo Gravatar August 1st, 2008 1:35 pm

    semoga aku juga begitu … tenang dalam segalanya … pasrah dengan ketentuanNYA … redho dengan qado’ & qadarNYA … rasa macam ko tulis tentang diri aku … heheh … aku senang hati baca entry nih … serius sekali rumahmu kali nih … x rasa cam tuh ker … mungkin usia yang meningkat membuatkan dirimu lebih matang dalam menentukan segalanya … (^_^)

Leave a comment

 is using WP-Gravatar