Gontor

Posted on April 21st, 2010 in Gontori

Seorang pengunjung blog ini meminta saya untuk bercerita mengenai Gontor. Kadang-kadang agar sukar bagi saya menulis mengenai Gontor. Ini kerana, seorang suami tidak dapat menggambarkan hal sebenar mengenai isterinya. Cinta sang suami itu akan membuatkan kentut busuk isteri menjadi harum bahkan seharum kasturi. Cinta telah membutakan mata penilaian sang suami. Saya telah jatuh cinta kepada Gontor. Cinta yang sangat mendalam. Cinta yang amat sukar digambarkan. Namun demi memenuhi permintaan Puan Zarifah, saya akan cuba menceritakan beberapa perkara yang berjaya menawan hati saya, atau mungkin hati ibu bapa saya untuk menghantar saya ke sana satu ketika dahulu.

Gontor adalah nama glamor bagi sebuah institusi pendidikan yang nama penuhnya adalah Balai Pendidikan Pondok Modern Darussalam Gontor Ponorogo. Institusi ini menawarkan pendidikan 24 jam sehari. Urusan akademik di Insitusi ini diurus oleh sekolah yang diberi nama Kulliyyatul Muallimin Al-Islamiyyah.

Balai pendidikan ini menggunakan sistem pendidikan ‘secara langsung’ atau dalam bahasa arab diistilahkan sebagai, ‘attariqah almubasyarah’. Pelajar baru akan mendapat pendidikan bahasa arab ‘secara langsung’ sehingga dalam masa 3 bulan sudah diwajibkan untuk mampu berbahasa arab. Pelajar diajar untuk mampu mandiri (berdikari) secara langsung. Pelajar dididik untuk mampu memimpin secara langsung. Semua yang dilakukan disekolah ini adalah secara langsung. Apa yang dimaksudkan dengan ‘secara langsung’ adalah bila pihak sekolah mahukan pelajar-pelajarnya mampu berbahasa arab maka mereka secara langsung bercakap bahasa arab dengan mereka. Segala pengumuman dan taklimat disampaikan dalam bahasa arab.  Sekolah ini tidak berpegang pada prinsip, belajar dulu nanti kalau sudah pandai baru kita praktikan. Bahkan, begitu banyak hal disekolah ini didahulukan dengan praktikal barulah kemudian disusul dengan teori. Sehingga ketika teori diajarkan di kelas, ia sudah menjadi gabungan antara pengalaman dan maklumat. Suasana ini menjadikan proses pembelajaran sangat menarik. Contoh lain dalam penerapan sistem secara langsung dapat kita lihat dalam hal ibadah. Kita tidak hanya membicarakan bahawa umat islam perlu solat berjemaah untuk kesatuan ummat, tetapi kita terus melaksanakan teori itu. Pelajar yang belajar di Gontor selama enam tahun sepatutnya -insyaAllah- akan solat berjemaah 5 kali sehari setiap hari dalam setiap tahun.

Methedologi yang diguna pakai Gontor ini berpijak diatas falsafah pendidikan mereka yang berbunyi, “Semua yang didengar, dilihat, dirasakan, dialami, dilakukan adalah pendidikan. Mendidik dengan pembiasaan, mendidik dengan pemaksaan, mendidik dengan tauladan.”

Kesungguhan Gontor semakin terserlah dalam usaha melahirkan individu muslim berkualiti apabila sekolah ini meletakan perihal akhlak sebagai keutamaan. Jika kita melihat report card yang dikeluarkan Gontor kita akan menemukan penilaian 3 perkara selain mata pelajaran iaitu suluk atau keperibadian (akhlak), muwazobah atau kerajinan, dan nazofah atau kebersihan. Ketiga-tiga penilaian ini sangat penting kerana ia akan memberi kesan kepada kelulusan. Di Gontor, jika pelajar gagal dalam peperiksaan maka pelajar tersebut tidak dibenarkan untuk naik ke tingkat yang berikutnya. Maknanya, jika seorang pelajar itu mendapat purata keseluruhan markah melampaui batas lulus, pelajar itu belum tentu akan disahkan lulus. Mengapa? Kerana kelulusan di Gontor 100% ditentukan oleh penilaian tiga hal tadi yang merupakan sikap. Apa guna ilmu jika seorang pelajar itu biadap. Lalu apa gunanya memberi kelulusan kepada seorang yang genius tetapi malasnya tuhan saja yang tahun. Apa juga gunanya kelulusan kepada seorang yang hanya sibuk dengan pelajarannya tanpa memperhatikan diri sendiri apatah lagi lingkungan. Penilaian ini akan dilakukan terus menerus pada setiap semester.

Sistem sebegini sudah digunapakai sejak dahulu kala lagi. Alhamdulillah, tidak ada kes ibu bapa mengamuk minta anaknya diluluskan. Kerana jika ibu bapa berani berbuat demikian, bukan hanya anak itu akan dibuang sekolah, ibu bapa itu juga turut diusir dari sekolah. Kewibawaan inilah yang diperlukan oleh sebuah institusi pendidikan. Meletakan nilai (value) pada tempat yang paling tinggi di dalam pendidikan.

Gontor selain menjadikan Islam sebagai matlamat utama, Gontor juga bercita-cita untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang berdedikasi, berjiwa besar, gigih, tabah dan gagah untuk membawa syiar Islam keseluruh dunia. Alhamdulillah hari ini ia bukan sekedar cita-cita tetapi telah pun menjadi kenyataan. Tokoh seperti KH Hidayat Nur Wahid (Mantan Ketua MPR IND dan Mantan Presedin PKS), Din Syamsuddin (Pemimpin Muhammadiah), KH Hasyim Muzadi (Pemimpin Nahdatul Ulama), KH Abu Bakar Baasyir (Pemimpin Majlis Mujahideen Indonesia) dan ramai lagi tokoh-tokoh yang bersaing untuk menyumbang bakti kepada masyarakat.

Demi mencetak pemimpin. Latihan kepimpinan perlu diberikan. Ia keras seperti besi. Kejam seperti petir. Lembut seperti air. Hidup dengan disiplin. Menanggung beban, tanggung jawab sambil perlu men-survive-kan diri.

Gontor mempunyai satu falsafah yang sangat hebat dan sentiasa dipegang dan dipelihara iaitu, “Gontor di atas dan untuk semua golongan”.

Walaupun ia mudah dibaca dan mungkin mudah juga difahami secara verbal tetapi sesungguhnya implikasi dari falsafah ini ternyata begitu besar. Itulah rahsia mengapa alumni Gontor yang mula mewarnai masyarakat begitu pelbagai. Dikalangan Gontor ada yang memfokuskan dakwah dengan manhaj salafi, ada juga yang menjadikan khalaf sebagai dasar dakwah mereka, ada pula yang menjadikan jihad sebagai keutamaan, ada pula yang memimpin pemikiran barat (liberal) dan lain sebagainya.

Ini bukan bererti Gontor tidak berjaya menghasilkan alumni yang berpendirian. Tetapi ini menunjukan kefahaman jelas Gontor terhadap kepelbagaian. Gontor hanya menyediakan asas dan landasan. Asas ini dapat digunakan untuk membina bangunan megah, landasan ini dapat dituju seluruh arah. Keharmonian tercipta antara seluruh aliran dan pendekatan dakwah menjadikan ia sebuah perkembangan yang sihat. Menciptakan fikrah, win-win situasion sebegini memerlukan tempoh juang, tenaga, kesabaran yang tidak sedikit.

Gontor diatas dan untuk semua golongan. Gontor menerima salaf. Gontor menerima Khalaf. Gontor menerima harakah munazzamah. Gontor menerima harakah jihadiyyah. Tetapi Gontor tidak menerima segala yang telah jelas dan disepakati kesesatannya seperti mu’tazilah, irhabiyyah dan liberal sebagai contoh.

Hingga hari ini kita dapat rasakan betapa kesan pendidikan Gontor kepada masyarakat. Gontor berjaya mendidik para pelajarnya untuk sudi menyumbang walau dalam kesederhanaan. Gontor berjaya mendidik santrinya untuk bangga  walau hanya menjadi guru Al-Quran di sebuah desa yang terpencil untuk seorang pelajar yang tua bangka. Gontor berjaya mendidik agar para pelajarnya yang menjadi menteri tidak angkuh dan bongkak, tidak korupsi, dan tidak zalim terhadap rakyat.

Bagaimana Gontor mampu berjaya sebegini? Jika boleh saya menjawap bagi pihak Gontor, jawapannya hanya satu iaitu Keikhlasan pendirinya.

Keikhlasan para pendirinya telah meresap dan merebak kepada seluruh penerus perjuangan Gontor, turut merebak kepada seluruh santri-santri Gontor, wali-wali kepada para santri. Keikhlasan itu terpancar sehingga kesannya terasa hingga sekarang.

Pada akhirnya, kita perlu mengakui bahawa Gontor adalah sebuah usaha dan ikhtira’ manusia sahaja. Maka sama seperti zat manusia yang lemah dan penuh kekurangan, Gontor masih banyak kekurangan untuk diperbaiki dan ditingkatkan. Semoga Gontor sentiasa meningkatkan potensi, memperbaiki dan muhasabah diri. Ya Allah peliharalah Gontor ini dalam rahmat dan redhaMu ya Allah..

Published by taqeyyabella

5 Responses to “Gontor”

  1. Helly Sardi Says:

    Amien ya Rabb..semoga keikhlasan para pengasasnya akan terus tertanam dalam sanubari terdalam setiap insan yang terus ikut memperjuangkan kejayaan gontor, skrang dan dimasa yg akan datang…amien……………..

  2. jaya Says:

    Itulah keajaiban yang dimiliki oleh Gontor, sebuah institusi yang bermoto Intansurullaha yansurkum wayusabits aqdamakum, telahh membuktikan keberhasilan sebuah pendidikan tidak hanya tergantung pada fasilitas yang mencukupi, namun serba keterbatasan yang ada mampu membawa santrinya. memandang luasnya dunia dengan kacamata and filter nilai-nilai keislaman.
    “Mari kita doakan demi terwujudnya 1000 Gontor di Indonesia..”

    Bila ada film Garuda di dadaku,..bagi saya Gontor di dadaku…
    Gontor perlu dibela dan diperjuangkan…

  3. ahyatul ihsan Says:

    kita doakan semoga cita-cita trimurti dikabulkan Allah, 1000 bahkan 1000.000 gontor di indonesia dan dunia. gontor laksana ibu kandungku…semoga Allah meridhai

  4. Fidiyar Says:

    Amin ya Allah ya Rabbal alamin…
    Kita smua beraharap smga Gontor akan tatap exis selamanya dalam mencetak pemimpin & perekat umat dimasa depan..
    teringat salah satu motto yg berbunyi “Pondok (Gontor) perlu dibantu, dibela & diperjuangkan… sdh selayaknya qita sebagai bagian dari alumnix juga ikut berkiprah mengharumkan nama pondok kita tercinta ini…
    Allahumma sahhil umuurana wa umuura ma’hadina haadza Darussalam (Gontor)...”

  5. Akhiika Owie Says:

    Oh Pondokku…
    Tempat naung kita…
    Dari kecil Sehingga Dewasa…
    Rasa Batin Damai dan Sentosa…
    Dilindungi Allah Ta’ala…

    Oh Pondokku,
    aku sungguh rindu…

Leave a Comment

Share