Gembira dalam sedih

Posted on August 7th, 2007 in Uncategorized

“Ayyuwa elli nazil musytasufa hussein..” kata si kondukter bus memberi isyarat telah sampainya bus yang kami naiki di perhentian Hospital Hussein. Bas 65 kuning yang aku naiki akan berhenti di jalan besar (main road) yang menuju ke Sayyidah Aisyah. Ini bermakna kami terpaksa berjalan kaki dari jalan utama sebelum nantinya sampai ke Musytasyfa Hussein dan seterusnya tiba di Kampus Darrasah Universiti Al Azhar.

Suasana pagi yang belum panas ini membuatkan kami selesa dan ceria, adalah sebuah kenikmatan yang tak terhingga untuk sekadar mendapat tempat duduk di dalam bas tersebut. Aku melangkahkan kaki cepat menjauhi bas yang masih berhenti. Aku mengeluarkan handphone Nokia 3100ku yang menjadi multifungsi sebagai menunjuk waktu. 7.38 pagi. Aku mempercepat langkah. Jam 8.00 Aku sudah harus ada di Abbasiah untuk Kolukium Sehari Anjuran MSD Cairo.

Hospital Hussein masih lagi sepi. Aku baru saja melewati gerbang utama Hospital Hessien ketika hatiku memerintahkanku untuk berpatah balik dan mengambil jalan belakang. Bangunan Fakulti Bahasa Arab memang berada di sebuah sudut yang menghubungkan kampus Darrasah dengan Hospital Hessein. Jika kita melalui pintu utama untuk menuju ke Bangunan Fakulti Bahasa Arab berarti kita telah membuat sebuah pusingan yang lumayan besar. Namun, sikap pak guard yang tidak mesra apalagi ramah itu selalu membuatkan pelajar-pelajar rela berpusing-pusing kelelahan dari bertengkar lidah dengan mereka.

Aku melalui kedua-dua pos jaga tanpa berhenti sesaat pun tanpa memperdulikan mata pak guard yang ku sedari masih melekat di wajahku. Dari pagar pemisah kawasan Hospital Hussein yang agak tinggi membuatkan aku dapat melihat kertas-kertas yang telah tertempel dipapan-papan pengumuman tersebut. Seketika hatiku berdebar.

Sebagai universiti yang paling tidak sistematik, aku terpaksa mencari maklumat mengenai bahan yang ditempelkan di papan pengumuman yang pertama itu. Tanpa kaca mataku yang berkuasa +175 membuatkan aku harus mendekatkan wajahku ke papan tersebut. “Keputusan pelajar tahun dua jurusan siaranTV (iza’ah telefiziun)” tulisan kecil disalah satu kertas. Oh namaku tidak ada disini.

Aku berpindah ke papan yang kedua, ketiga dan keempat. Tidak juga kutemukan namaku. “Sobahul full !!! ya asal.. ma raqmuk?” tanya seorang pembantu yang selalu membuat minum kepada para pegawai tadbir kuliah. Wajah yang tak asing. “Arba’atu alaf khomsumiyyah tis’ah wa arba’in.. ” jawabku. Di kemudian berputar mencari-cari nombor ujianku itu. Dia tampak mengetahui posisi dimana ianya berada, mungkin dia yang membantu menampal keputusan-keputusan ini. Ada lebih dari 10 buah papan pengumuman disitu. Tanpa maklumat umum disetiap papan membuatkan pencarian semakin sulit.

“Ta’al ya gada’, Alfu mabruk !!!” dia lalu menunjukkan namaku yang tertulis disebuah lembaran dipapan yang paling hujung. “Ayyuah di raqmi, syakirin awi ya fandem..” ucapku sopan tanda terima kasih. Dia masih lagi berada disitu tanpa beranjak sedikit pun. Aku lalu melihat ke arahnya lalu dia berkata, “Alfu mabruk, halawiyyat..” katanya lagi. Bingung. “Halawiyyat eih.. ana musyfahim..” kataku jujur. “Ayyuwah halawiyyat ya’ni fulus.. ” katanya sepontan. Oh aku baru mengerti, dia meminta aku memberi halawiyyat (manisan) tanda kesyukuran atas kelulusanku. Aku menghulurkan dua helai wang bernilai satu pound Mesir. Aku hanya mampu tersenyum dengan keadaan itu. Ini pengalaman pertamaku melihat keputusanku sendiri. Tahun yang lalu keputusan dikirim melalui SMS kerana aku sedang bercuti di tanah air. Memang orang Mesir tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan baqsyish (wang sagu hati) dan mereka juga tidak malu untuk memintanya. Bahkan untuk minta tambah dari apa yang telah diberikan.

“Alhamdulillah..” ucapku syukur. Aku merasa lega namun, masih terasa beban di dada. Aku gagal mempertahankan prestasi yang lalu. Tahun lalu aku berjaya meraih JAYYID, namun tahun ini aku hanya perlu berpuas hati dengan MAQBUL.

Hatiku terus tidak dapat berhenti menyalahkan diri. Aku tahu aku mampu. Aku tahu aku punyai peluang. Aku tahu aku gagal mensyukuri semua itu. Aku tahu inilah yang sesuai dengan usahaku. Bahkan ianya rahmat Allah yang tak sebanding dengan usahaku.

Mempertahankan pencapaian lalu adalah lebih susah daripada meraih prestasi yang baru. Sedih. Aku hanya memperoleh nilai keseluruhan sebanyak 823 berbanding tahun lalu sekitar sembilan ratusan lebih. Namun aku amat bersyukur kerana paling tidak aku tidak membawa apa-apa subjek pada semester akan datang.

Aku berjaya meraih Mumtaz untuk pelajaran bahasa Inggeris, Jayyid Jiddan untuk pelajaran Tafsir, Jayyid untuk pelajaran Al-Quran, Tarikh adab al-’arabi, Auzanus syi’ri, Qo’atul bahas dan Balaghah, Maqbul untuk pelajaran Ma’ajim, Fiqh Mu’amalat, Nahu, Saraf dan Tarikh ‘Alam Al Islamiy.

Setelah mencatat semuanya, aku bergegas menuju ke Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah dan terus melaksanakan sujud syukur dan solat duha setibanya di bilik temanku Anas dan Nazir.

Aku gembira dan sedih. Menyesal dalam syukur.

Terima Kasih mama dan abah, yang menjadi penyebab utama kejayaan ini. Terima Kasih pensyarah-pensyarah yang sabar dan ikhlas. Terima Kasih hausemateku yang pengertian. Terima Kasih classmate yang baik hati menyampaikan maklumat. Terima Kasih ikhwah-ikhwah usrah ABIM dan ISMA. Terima Kasih semua teman-teman yang tidak putus memberi semangat dan doa. Terima Kasih semua. Terima Kasih.

Tanpa Kalian apalah erti kejayaan ini..

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share