Pesta konvokesyen merupakan sebuah pesta yang sering ditunggu. Ia tidak hanya ditunggu oleh mahasiswa atau keluarga mahasiswa bahkan ia menjadi tumpuan oleh segenap masyarakat sekitar universiti tersebut. Sebuah keberuntungan bagi seluruh penduduk Serdang kerana setiap tahun Serdang akan di meriahkan dengan Pesta Konvokesyen Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenal sabagai Universiti Putra Malaysia. Pesta Konvokesyen Universiti Pertanian Malaysia ketika itu merupakan diantara pesta konvo yang paling menarik apalagi bagi anak-anak kecil. Setiap tahun Bukit Expo akan mempamerkan seribu satu hasil penemuan baru dibidang pertanian. Bermula dari pelbagai spesis binatang ternak, ikan-ikan, bunga-bunga, pepohonan hinggalah ke anekan makanan, minuman, seni kraf tangan dan pelbagai lagi hal istimewa yang menjadi tarikan.
Petang itu setelah abah kembali dari kerja kami berlima diajak untuk memeriahkan pesta konvo. Susah diungkapkan bagaimana gembiranya seorang taqeyyabella kecil ketika itu. Dengan riang dan gembira bersama abang dan adik-adik si taqeyyabella berlari-lari ke sana kemari. Seperti tidak mengenal rasa letih, kami semua tertawa gembira melihat gelagat binatang-binatang ternak yang tidak lagi mudah dilihat. Tidaklah salah jika ada yang mengatakan jakun kepada kami berlima yang begitu  bersemangat mengelilingi dan memperhatikan setiap satu pameran yang dipamerkan.
Bahagian binatang ternak telah pun selesai di kelilingi, tanpa ada komando kami terus berlari ke taman Orkid yang menjual pelbagai Orkid yang begitu cantik. Kolam ikan ditengah-tengah taman orkid membuatkan taman itu semakin menarik. Abah yang mula keletihan nampak tidak lagi tertarik dengan bunga-bunga lalu dia mengajak kita keluar dari taman itu dan menuju ke tengah padang dimana terletaknya beberapa kereta kebal milik Angkatan Tentera Darat di Raja Malaysia.
Sebagaimana layaknya anak lelaki yang sukakan hal-hal yang lasak. Kami berempat dengan segera melaksanakan tugas masing-masing. Ada yang panjat naik ke atas kereta kebal, ada yang menjadi pemandu salah satu kenderaan tentera, dua juga yang sibuk menaiki rumah pohon dengan tangga terbuat dari tali dan papan. Yang tertinggal hanyalah sang adik putri kami yang kelima bingung melihat abang-abangnya begitu agresif.
Hari semakin senja, orang pun semakin ramai. Azan maghrib pula berkumandang, yang membuatkan abah semakin ingin bergegas meninggalkan tempat itu dengan segera. Dalam usaha bergesak-gesak ditengah ke rumunan yang semakin lama semakin ramai kerana malam itu akan ada persembahan band dan pelbagai acara menarik di padang utama bukit expo itu, si taqeyyabella kecil masih lagi sibuk dengan mata dan telinganya sendiri.
Betapa terkejutnya si taqeyyabella kecil ketika sedar bahawa dirinya berada ditengah-tengah lautan manusia. Menoleh ke kanan dan ke kiri tidak ada satu wajah pun yang dikenalnya. “Aik mana abang, mana adik-adik semua?” keluhnya dalam hati. Gerak kakinya semakin laju dan laju sehingga tanpa sedar dia telah pun berlari. Sebentar ke arah utara lalu berhenti dan kembali ke arah selatan. Keresahan begitu cepat menyelubungi jiwa si taqeyyabella kecil. Ketakutan yang mula dia alami mendorongnya untuk menangis. Kini dia tidak lagi peduli. “Abah.. Abah.. Mana Abah ni??? Abaaaahhhhhhhhh !!!!!” dia meraung. Dunia yang sudah gelap bertambah-tambah gelap kerana keresahan hatinya. Langkahnya lunglai.. Dia keletihan dan kemudian terduduk menangis. Menangis dan terus menangis.
Datanglah seorang hamba Allah SWT yang baik hati menghantarkan si taqeyyabella kecil ke pondok bomba yang terdapat di situ. Petugas itu pun menenangkan si taqeyyabella kecil dengan air kotak, lalu dengan lembut dia menanyakan nama, nama abah tempat tinggal. Namun si taqeyyabella kecil gagal menjawab semua soalan lazim tentang dirinya itu, mungkin kerana resah dan takut yang mendalam. “Barang siapa yang telah kehilangan seorang anak memakai t-shirt biru dan seluar hitam, yang berumur sekitar 6-8 tahun, kini berada di pondok bomba” umum petugas itu.
Tanpa mengucapkan sepatahkan pun si taqeyyabella kecil menanti kehadiran abah. Akhirnya abah hadir dengan wajah yang pucat. Terpancar kerisauan di wajah.
Pengalaman ngeri ini tidak mudah dilupakan. Padahal ianya berlaku tidak lebih dari sejam. Akan tetapi ianya seakan-akan berlaku berjam-jam bahkan kesannya masih terbayang hingga kini. Berpisah dengan orang tersayang bagi seorang anak kecil adalah umpama kehilangan segala-galanya. Walaupun ianya hanya seketika.
Tidak dapat aku bayangkan bagaimana takut dan menderitanya jiwa nurin yang dengan zalimnya telah dipisahkan dari ibunda dan ayahanda tersayang dalam tempoh yang tidak sekejap. Tidak cukup dengan itu, Nurin dizalimi, disiksa batin dan zahir. Alangkah kejinya binatang bernama manusia itu yang telah melampiaskan kebinatangannya kepada seorang yang begitu mulia. Seorang gadis suci tanpa dosa. Aku bahkan terfikir apakah dia puas melakukan apa yang dia lakukan dengan seorang gadis selemah dan sekecil Nurin. Memang dia tidak layak dikatakan manusia. Bahkan binatang pun beribu kali lebih mulia darinya.
Sungguh kelakukannya ini adalah penghinaan kepada makhluk bernama manusia. Dia tidak lagi layak digelar manusia. Sangatlah benar firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, kemudian kami kembalikannya (turunkan derajatnya) hingga serendah-rendah derajat”
Atas nama manusia perbuatan bintang-binatang itu haruslah kita kutuk setegas-tegasnya. Keadilan atas mereka perlu ditegakkan seadil-adilnya. Hingga perkara ini tidak selamanya menjadi kemaluan dan kehinaan bagi makhluk bernama manusia.
Sebagai seorang abang, sebangsa, seagama, aku berduka cita dan menyatakan bela sungkawa. Ucapan takziah diiringi doa sajalah yang mampu kusampaikan buat Nurin sekeluarga. Dalam kita bersedih dengan tragedi ini, yakinlah Nurin sedang tersenyum disana, kembali ke pangkuan yang Maha Esa.






