Demam Kenduri
Posted on June 14th, 2010 in Agama
Hari ini, 12 Jun 2010, di sekitar rumahku ada dua kenduri kahwin, satu pertunangan dan dua keluarga lelaki yang menuju rumah pengantin perempuan untuk melaksanakan akad nikah. Beberapa minggu lepas juga ada dari kalangan jiran terdekatku melaksanakan kenduri. Kemudian yang masih menunggu giliran juga banyak termasuklah rumah yang aku tempati saat ini. Jika dibuat statistik perkahwinan untuk kawasan rumah kami, aku yakin tahun ini bakal menjadi tahun yang paling banyak berlangsungnya kenduri.
Bicara soal kenduri banyaklah persoalan yang timbul. Bahkan, aku sendiri jarang sekali mampu menyelamatkan diri dari diserang soalan-soalan ‘ganas’ mengenai kenduri dan akad nikahnya. Biasanya ramai yang ingin mendengar pendapatku mengenai adat dan syariat. Aku sendiri sedar bahawa aku bukanlah orang yang tepat untuk membahas perkara ini kerana aku sendiri tidak pernah mengenal adat dengan sungguh-sungguh. Pada sisi syariat pula, pengetahuanku amat terbatas walau pun mungkin masih dalam kadar memadai sebagai seorang individu muslim.
Kerana ramai yang berkahwin di sekitar kawasan rumahku maka banyaklah juga cerita yang sampai ke telinga ini. Ada kisah mengenai keluarga bakal pengantin perempuan yang menyatakan bahawa majlis merisik tidak perlu dilaksanakan memandangkan anak masing-masing sudah saling kenal. Maka majlis merisik itu secara automatik berubah menjadi majlis lamaran atau pertunangan. Ada pula kisah mengenai majlis kenduri kahwin yang sangat superb! Bagaimana tidak, singgahsana megah menjadi tempat persandingan berlatar belakangkan tasik Shah Alam yang cantik di suasana petang yang ceria.
Ada hal yang menghairankan mengenai perkahwinan bagi masyarakat muslim Malaysia khususnya dan muslim serata dunia umumnya. Masyarakat muslim kelihatannya lebih mudah menerima untuk tidak mengamalkan hal-hal yang bersifat khurafat walaupun ia (khurafat) merupakan warisan turun-temurun. Mereka ketika sudah dihidangkan dengan pelbagai dalil mereka mampu menerima dan menolak amalan tidak berasas itu. Ini contoh untuk hal yang berkait dengan akidah. Dalam syariat pula tidak jauh beza. Solat sebagai contoh, umat Islam mudah diajar untuk mengikuti sunnah. Dalam hal yang harus tidak terkecuali. Kita selesa untuk makan dengan tangan kanan dan melangkah masuk bilik air dengan kaki kiri. Sunnah mudah diutamakan. Kehairanan hadir bila menyangkut bab perkahwinan. Mengapa ketika membahas bab yang satu ini, kehendak sunnah mula diketepikan. Alasan yang diberi, “jika adat tidak menyalahi syariat maka ia dibolehkan?”
Adat adalah perkara yang diwariskan dari turun-temurun oleh satu kelompok atau bangsa.
Segala perkara pada asal-usulnya adalah ‘harus’ atau ‘dibolehkan’ selagi tidak ada perintah untuk ditinggalkan. Ini kaedah asas yang boleh diaplikasikan kepada segala aspek dalam kehidupan.
“Pertunangan itu tidak salah. Siapa nak tunang dulu apa salahnya. Kalau nak terus kahwin pun apa salahnya? Perkara kecil saja ini tidak perlu diperdebatkan!” Jelas seorang agawaman.
Secara sekali imbas pernyataan ini tidak menonjolkan apa-apa masalah. Tidak bercanggah dengan syarak. Tetapi apabila kita keluar ke dunia nyata adakah apa yang berlaku di masyarakat sama seperti yang difahami dari penyataan di atas?
Masyarakat sudah mula keliru dengan istilah. Jika dulu kita kenal dengan istilah ‘merisik’ iaitu usaha mengenal pasti si calon dan keluarganya dengan lebih mendalam. Biasanya yang dibawa dalam majlis ini adalah orang tua-tua agar kita dapat memastikan hubungan mereka tiada halangan seperti kerabat atau sebagainya. Mungkin saja kita menyangka si calon itu orang luar tetapi hakikatnya dia masih bau-bau bacang yang belum pernah kita kenal. Itulah pentingnya membawa orang tua-tua bersama.
Setelah dipastikan bahawa perkahwinan antara kedua calon boleh diteruskan. Juga setelah kedua calon bertekad untuk saling menjadi pasangan untuk masing-masing pihak. Maka ikatan perjanjian untuk menikah pun dilakukan. Ikatan ini bermula ketika kedua-dua calon dan keluarga masing-masing bersetuju untuk menyatukan mereka dengan ikatan suami isteri dan ia akan terus terikat sehinggalah hari akad nikah dilaksanakan. Ikatan ini kita kenal dengan istilah pertunangan.
Merisik dalam syariat dikenal juga dengan istilah taarruf (berkenalan). Pertunangan pula dalam syariat dikenal dengan istilah khitbah (lamaran).
Islam begitu teliti dalam menjaga umatnya. Maka, ulama membahas keadaan perkenalan atau majlis merisik itu dilakukan. Pertemuan hendaklah tidak hanya berdua-duaan. Hanya wajah dan tapak tangan yang diperbolehkan untuk dilihat dan lain sebagainya.
Pertunangan pula memberi aplikasi yang besar setelah ikatan itu dijalin. Perempuan yang dikhitbah (yang sudah dilamar atau ditunang) tidak lagi boleh ditunang oleh orang lain walaupun ikatan perkahwinan belum dijalankan. Maka siapa yang lebih cepat dialah yang lebih layak walaupun jika orang yang melamar setelah orang pertama itu lebih baik dari beberapa segi. Seandainya ikatan pertunangan itu terputus dan pernikahan yang dijanjikan tidak akan dilaksanakan maka perempuan itu menjadi tidak terikat lagi dan boleh menentukan apa yang terbaik bagi dirinya.
Perlu diperhatikan di sini bahawa, pertunangan belum menghalalkan seseorang untuk pasangannya. Maka pergaulan antara kedua masih perlu dipelihara. Jika, pertunangan tidak mengubah apa-apa. Masing-masing masih dalam keadaan sama seperti sebelumnya. Hanya saja, pertunangan mendorong masing-masing untuk bersedia menunggu kehadiran hari yang dinanti.
Jika demikian halnya dengan pertunangan, maka kita akan faham mengapa tiada anjuran untuk mengumumkan pertunangan. Tiada keperluan untuk mengumumkan maka tiada anjuran untuk diumumkan. Para agamawan perlu memahamkan bahawa pertunangan sememangnya dianjurkan sebagai ikatan tanda kesediaan mempersuamiisterikan pasangan dalam masa yang terdekat. Agamawan juga perlu memahamkan bahawa pertunangan tidak perlu diistiharkan. Agamawan juga perlu menegaskan bahawa pertunangan tidak sepatutnya dilaksanakan bagi mereka yang belum pun memikirkan untuk berkahwin. Sangat lucu jika kita dengar, “Saya dah bertunang tapi kahwin tak tahu lagi bila? Tengok la dua taun lagi atau lepas belajar ke?” Lalu apakah fungsi pertunangan jika demikian?
Setelah masing-masing mengikat janji dan menyediakan diri untuk menuju gerbang perkahwinan. Dokumen-dokumen disediakan. Hari yang ditunggu pun tiba. Akad nikah dilaksanakan. Satu pasangan rasmi menjadi suami isteri yang sah. Ketika itu, masyarakat sekeliling perlu diberitahu sesegera mungkin. Jangan sampai ada yang menyangka bahawa si fulan ini melakukan maksiat kerana bersama seorang wanita asing. Itu akan melukakan imej dan menjatuhkan maruah seseorang. Seandainya si fulan merupakan imam di masjid sebagai contoh, masyarakat akan mula berfikir dua kali untuk menjadikan seorang yang fasik sebagai imam. Fikiran itu muncul kerana perkahwinan yang tidak diistiharkan. Maka, demi memelihara maruah individu muslim Islam mencurahkan perhatiannya dengan menganjurkan penganutnya mengistiharkan perkahwinan.
Keutamaan di sini adalah menyegerakan pengistiharan. Sangat tidak wajar untuk menangguhkan pengistiharan kerana setelah satu hubungan dihalalkan, maka mereka sangat mungkin mendapat karuniaan terbesar setelah itu. Seandainya pengistiharan dilambatkan maka dikhawatiri bakal menimbulkan salah faham dan fitnah.
Pengistiharan dilakukan dengan menjemput masyarakat, kaum kerabat, sahabat handai dan yang memerlukan untuk hadir meraikan pertalian suci itu. Majlis sebegini kita kenal dengan istilah kenduri atau walimah.
Gambaran ini sudah cukup bagi kita untuk membandingkan antara keadaan yang sebenarnya digalakkan dan keadaan yang sebenarnya berlaku di masyarakat kita. Merisik hilang fungsi kerana sememangnya mereka sudah saling kenal. Pertunangan sudah mengambil peran pernikahan kerana diistiharkan dan diraikan secara besar-besaran lalu kehidupan mereka sudah umpama suami isteri hanya saja belum tinggal sebumbung. Kenduri pula menjadi upacara memperlihatkan kekayaan. Pesta dilaksana secara mewah dan megah. Wang yang dikumpul bertahun-tahun dihabiskan demi memuaskan diri sebagai raja walau untuk hanya sehari.
Ada yang bertanya, “Bolehkah kita bersuka-ria dan bergembira?”
Mungkin soalan sebegini muncul bila beberapa agamawan menegur majlis walimah yang over dalam meraikan perkahwinan. Sepatutnya sambutan itu dilaksanakan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran bukan di sambut dengan kemaksiatan dan kelalaian.
Bergembira dan berbahagian adalah fitrah. Tapi ia masih perlu berada di dalam kerangka yang disetujui Allah dan ditetapkan ciri-cirinya melalui agamaNya islam. Lebih menarik lagi bila kita renungkan sebuah ayat yang terjemahannya berbunyi, “Katakanlah, dengan fadhilat yang Allah turunkan dan rahmat maka bergembiralah sungguh yang demikian lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” Surah Yunus : 58.
Ayat ini cukup jelas dan lunak namun mengandung renungan yang dalam jika diperhatikan. Kegembiraan dikaitkan dengan fadhilat dan rahmat dari Allah. Tiada fadhilat yang lebih besar dan rahmat yang lebih berharga selain dari fadhilat Al-Quran dan rahmat Islam sebagai agama. Kegembiraan diexpresikan ke dalam memenuhi kehendak al-quran dan tuntutan agama. Bahkan jika kita renung lebih dalam lagi kita akan fahami bahawa walau kegembiraan tidak semeriah kegembiraan mereka, namun kegembiraan dengan apa yang diturunkan dalam al-Quran dan agama Islam jauh lebih bernilai dan berharga dari segala apa yang mereka kumpulkan.
Ayat ini perlu dijadikan prinsip oleh semua orang muslim. Menggunakan ayat ini kita akan bertanya kepada diri kita adakah majlis kita menepati kehendak ayat ini? Jika kita memperuntukkan wang yang banyak tanyakan adakah ia sesuai dengan kehendak Islam yang menganjurkan agar sederhana dalam segala suatu. Jika di majlis kita akan persandingan dan segala adat-adat yang lain tanyakan kepada diri kita adakah ia selamat dari larangan tabarruj, larangan membazir, larangan menggantungkan diri kecuali hanya kepada Allah dan larangan yang lain sebagainya.
Semoga Allah SWT pelihara kita dan relakan hati kita untuk tetap mengutamakan kehendak Islam dalam segala urusan. Amin.

June 14th, 2010 at 7:05 pm
Assalamu’alaikum WBT. Artikel yang menarik perbahasannya. Terima kasih atas perkongsian ilmu Tuan. Moga saya juga akan lebih matang membahaskan isu ini.
Tambahan: Sering diajukan soalan berkaitan (soalan seputar) musim cuti sekolah.
June 16th, 2010 at 2:56 am
semoga kite semua sama-sama dapat menjalankan seperti apa yang syariat mahukan,ameen..
June 16th, 2010 at 6:54 am
Sengaja dilampirkan di sini, moga peroleh manfaat :
Dr. Mohd Asri
Minggu depan adalah minggu terakhir saya sebagai Mufti Negeri Perlis. Tulisan hari ini adalah yang kedua sebelum yang terakhir pada minggu hadapan. Banyak perkara yang ingin saya kongsikan sepanjang tempoh dua tahun menjadi mufti.
Namun, nampaknya saya terpaksa tangguhkan terlebih dahulu hasrat itu kerana buat penghabisan kali di atas jawatan ini saya ingin menyentuh kerenah perkahwinan dalam negara ini. Hal ini penting terutama menjelang musim cuti sekolah kerana ramai yang akan berkahwin.
Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegak yang makruf dan mencegah yang munkar.
Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.
Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi dan seterusnya pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.
Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya.
Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan.
Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:
“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; “kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.
Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf.
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.
Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.
Malangnya, kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakut dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.
Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.
Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut “saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.
Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:
“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab Iza Qala al-Khatib li al-Wali Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au Qabilta, maksudnya: Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”.
Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Apa yang penting proses ijab dan qabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.
Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut:
“Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).
Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.
Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa.
Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu Iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah al-Baqarah, ayat 231).
Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi mahkamah yang bernama syariah.
Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan. Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:
“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).
Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.
Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:
“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).
Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahagiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah biorokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.
Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.
June 25th, 2010 at 2:10 pm
letih la nak makan..
pi bersilaturahmi saja la shahid.. banyak sgt kenduri tu..
July 28th, 2010 at 10:24 pm
salam..akhi sudah berpunya ke?
August 1st, 2010 at 5:26 pm
Alhamdulillah..