Cinta itu..
Posted on February 3rd, 2010 in Bahasa dan Sastera
Natasya menggenggam jeruji besi yang rapat meutup pintu. Matanya sayu. Wajahnya pucat. Mungkin dia masih hiba ditinggal sang ibu. Natasya tidak sendirian dalam hal ini. Hampir dua puluh lima orang yang mengalami nasib serupa. Ditinggalkan oleh kedua ibu bapa kerana mereka harus bekerja. Sebuah rumah yang dijaga oleh beberapa orang dewasa dan dipenuhi puluhan budak tidak terlalu berbeza dengan kandang haiwan ternak. Sesak dan sumpek.
Tidak kesemua budak merasa tersiksa berada di tempat yang dinamakan taska ini. Ada juga dikalangan mereka yang lebih ceria berada di sini bersama-sama ramai kenalan. Paling tidak dia dapat merasakan interaksi yang memanusiakan dia. Jika tidak dia mungkin hanya menjadi makhluk yang tidak berperasaan kerana dilayan sekedar keperluan sahaja. Makan, cuci lampin, susu dan pemaksaan untuk tidur adalah layanan wajib yang pasti diterima. Maka bagi golongan ini taska adalah syurga mereka tapi tidak bagi Natasya.
“Baiklah, pagi ini kita akan bermain di luar. Sila beratur dan ambil selipar masing-masing. Jangan berlari.” Cik Afifah memberi arahan. Semua kanak-kanak kecuali bayi sudah bertempiaran lari keluar sebaik saja kunci jejuri besi di pintu itu dibuka.
Kanak-kanak pantang melihat hamparan yang luas. Meraka pasti berlari. Mungkin kebebasan yang tiada sempadan adalah ketika mereka berlari di keluasan tapak yang terbentang. Padang dan masjid adalah tempat yang paling banyak menyaksikan keriangan kanak-kanak menikmati kebebasan mereka. Semua kawan-kawan Natasya sudah menyibukan diri dengan pelbagai kegiatan di luar. Ada yang main buaian, gelongsor dan ada juga yang bermain bola. Halaman rumah yang luas itu kelihatan sempit kerana di penuhi mereka di setiap sudutnya.
“Natasya, jom kita main di luar!” Cik Afifah cuba menceriakan anak kecil yang kesepian itu. Natasya tidak memberikan apa-apa reaksi. Hanya sorot mata yang layu menatap wajah Cik Afifah. Tatapan kosong seakan tidak paham apa yang dikata kepadanya.
“Ok, kalau tak mahu main tak apa. Natasya duduk sini baik-baik ye. Cikgu harus keluar untuk mengawas kawan-kawan kamu.” Tangan lembut Cik Afifah membelai kepala Natasya sambil melangkah pergi.
Setelah sejam bermain, kanak-kanak diarahkan masuk ke rumah. Seperti biasa, Cik Afifah yang bertanggung jawap untuk menjaga kanak-kanak usia 3 hingga 4 tahun akan memastikan setiap kanak-kanak berada di rumah. Satu demi satu nama di dalam senarai di tangannya di sebut dalam hati. Jika dia melihat pemilik nama dia akan memberi tanda tik di ruang yang tersedia atas lembaran itu. Semua ada kecuali satu. Natasya.
“Cik Lina, perasan tak kemana Natasya pergi?” Cik Lina penanggung jawap kanak-kanak 6 hingga 24 bulan terpinga mendengar soalan Cik Afifah. Tangannya masih sibuk membersihkan botol susu. “Emm.. Tak perasan pula.”
“Ada sesiapa yang melihat Natasya?”
“Cikgu, mungkin dia ada di belakang pintu itu. Semalam pun dia menyorok di situ.” Tunjuk seorang kanak-kanak berusia empat setengah tahun ke arah daun pintu yang rapat menutup dinding.
Resah Cik Afifah mendengar kata-kata itu. Bila kata-kata terucap dari kanak-kanak ia sangat hampir kepada kebenaran. Kanak-kanak tidak pandai berbohong. Jika mereka mengatakan sesuatu yang tidak benar, itu kerana imajinasi mereka mengatakan begitu.
“Natasya ada kat situ ke?” Ucap Cik Afifah perlahan.
“Natasya!” Cik Afifah hampir terpekik melihat anak kecil yang cantik itu berada di balik pintu itu. Cik Afifah segera memeluk Natasya. Jiwa keibuan Cik Afifah dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena mengenai anak kecil itu. Teringat kata-kata rakan sejawatnya yang mengisahkan perihal seorang ibu yang berpesan agar tidak membiarkan anaknya diambil oleh orang lain. Mungkin anak yang dimaksudkan itu adalah Natasya. Tidak ada pelajar lain yang mempunyai emosi serumit dia.
“Assalamualaikum..” Ucap seorang lelaki dari luar rumah.
“Walaikumussalam..” Cik Afifah melepaskan Natasya dari pelukannya. Dia segera membuka pintu.
“Cik, maaf, boleh saya bertanya? Ada tak pelajar bernama Natasya di sini. Saya ayah kandungnya..” Belum sempat lelaki itu menyudahkan kata-katanya, laungan kuat dari dalam rumah terdengar. “Abi…..” Natasya yang pendiam itu berlari tergopoh-gapah sehingga hampir melanggar daun pintu. Natasya merempuh lelaki itu dan melilitkan kedua tangannya di sekeliling tengkok lelaki itu.
” Abbbii… Aaabbbbii…” Terisak-isak Natasya menahan gelora di jiwanya.
Semua guru-guru tergamam tak terkecuali Cik Afifah. Guru-guru yang di dapur pun keluar. Begitu juga pembantu yang sedang memasak. Semua mereka tahu betapa Natasya sangat pendiam dan tidak langsung bersosial. 15 menti sudah pun berlalu. Natasya masih berpaut dalam pelukan ayahnya tercinta. Ayahnya pula masih berusaha menenangkan anaknya yang seperti tiada lelah menangis. Setelah setengah jam barulah Natasya rela melepaskan pelukannya. Ada sinar bahagia di wajah Natasya. Senyumnya terukir. Pertama kali di taska itu.
“Cikgu, sebenarnya saya sudah lama tidak bertemu Natasya. Ini pun saya baru dapat kabar yang Natasya ditinggalkan di sini. Setelah kami berpisah inilah kali pertama saya bertemu dengan Natasya.” Lelaki itu hanya mampu menunduk ketika menceritakan keadaannya.
Memang egois benar orang dewasa. Mereka terjebak dalam masalah peribadi mereka. Perpisahan seakan-akan satu-satunya jalan keluar yang melegakan kedua-dua pihak. Malangnya mereka terlupa. Perpisahan itu begitu zalim dan kejam bagi seorang kanak-kanak sekecil Natasya.
Natasya terpaksa melinangkan air matanya lagi ketika ayahnya terpaksa pergi. Tetapi kehadiran itu telah menjadikan Natasya seorang yang baru. Seperti memiliki kehidupan setelah selama ini mati.
Andai saja mereka melihat keadaan sebenar Natasya ketika mereka tiada..
Sebuah kisah nyata sebagai pengajaran semua. Nama adalah samaran.



Leave a Comment