This is some text prior to the author information. You can change this text from the admin section of WP-Gravatar Final year student, General Studies Faculty of Arabic Language, Al-Azhar Asy-Syarif University, Cairo, Egypt.


Lama sudah sebenarnya memendam keinginan menulis tentang kritikan. Tapi keinginan itu dipendam kerana ingin menjaga hati. Selalu terasa ‘bengang’, kecewa dan tentunya sakit hati ketika membaca kritikan-kritikan yang selalu diberikan oleh mereka-mereka yang tidak ikhlas. Apalagi dunia maya tanpa batas ini sangat membantu dalam hal ni. Nama dapat disamarkan. Tulisan tidak perlu ditapis. Akhirnya, dosa bertambah tanpa kita sedari.

Kunjungan ke blog seorang teman yang menulis tentang kritikan membangkitkan kembali keinginan yang terpendam ini. Tentunya bukan untuk mengkritik. Namun untuk membincangkan cetusannya.

Teringat perkongsian seorang teman yang sedang menyelesaikan risalah megisternya di universiti tempat saya belajar, yang menceritakan bagaimana dia menghabiskan beberapa bulan di Masjidil Haram, membaca buku dan jika berkesempatan dia akan mencari teman berdiskusi dari pelajar-pelajar Ummul Qura’ atau bahkan Jamiah Al Islamiyyah Al Alamiyyah di Madinah yang selalu beri’tikaf di rumah Allah itu. Tentunya perbincangan mereka seringkali “panas” kerana cara dan sisi pandang mereka sering berbeza dalam setiap masalah. Namun keikhlasan mereka berbincang, menegur dan mengkritik menjadikan perbincangan selalu membuahkan hasil yang memuaskan.

Keikhlasan merupakan aspek yang paling utama dalam mencetuskan kritikan. Ikhlas selamanya akan terkait dengan niat dan tujuan yang akan menjadi landasan cetusan itu dibuat. Sering kritikan disampaikan bukan kerana topik perbincangan tetapi kerana orang yang membincangkan.

Tidak sedikit yang salah anggap ketika menjadikan kritikan sebagai salah satu cara mencegah kemungkaran. Betul kita dituntut untuk mencegah dengan tangan lalu dengan mulut dan yang paling rendah tingkat imannya dengan hati. Semangat yang terlebih kadang membuatkan seseorang terlalu ingin mencegah namun dia lupa sisi lainnya. Hikmah disebaliknya adalah yang lebih utama.

Bukanlah perkasa lantang berbicara, tapi bagaimana bicara dapat diterima, dicerna dan dilaksana

Cetusan kritikan yang ikhlas dan jujur akan memberi kesan yang membekas. Resapan yang kemas. Tindak balas yang memuas. Tidakkah kita pelik bagaimana kaum kuffar yang datang dengan kemarahan yang memuncak namun berubah senyum simpul bahagia setelah mendengar respon yang diberikan. Banyak kisah yang menceritakan hal ini.

Kritik-mengkritik antara agamawan hari ini sangat merisaukan. Sedih. Kenapa kita susah sangat menerima perbezaan. Kenapa kritikan kita selalu pedas dan menyakitkan. Kenapa kita susah berlapang dada menerima kritikan. Renungi cetusan. Ubah kritikan.

Leave a Reply