Catatan Ramadhan 2

Posted on September 21st, 2008 in Agama, Motivasi

Langkahku damai meninggalkan perkarangan Masjid Assalam. Masjid yang aku harap menjadi tempat aku bertarawih pada  akhir sepuluh yang berbaki ini. Bulan yang sentiasa ku tatap sepanjang perjalanan pulang kini hanya tinggal 1/3 sahaja. Ya, hanya sepertiga!

Hari ini aku tidak buka puasa di rumah. Aku ingin menjadi tetamu Allah di Masjid kesayanganku Assyarbini. Hidangan semangkuk nasi fattah (nasi yang dimasak dengan air rebusan daging yang didasar bekasnya diletakkan roti dan bahagian atasnya diletakkan sos tomato) bersama beberapa ketul daging kambing merupakan menu tetap Maidatul (Meja makan) Rahman di masjid ini. Usai makan aku segera ke Masjid Salam demi merebut kesempatan iktikaf dan membaca Quran. Usai solat sunat tahiyyatul masjid seorang arab datang dan duduk di sebelahku. Temannya yang berada di saf di depanku berpaling dan membicarakan sesuatu kepadanya setelah menyedari kehadirannya. Mereka hanya berbual beberapa patah saja lalu segera arab itu memotong pembicaraan mereka dan berkata, “Cukuplah tu kita sembang kemudian, kita nak khatam sepuluh kali dalam sepuluh hari yang tertinggal ni!”. Kawannya pun terus menghadap Al-Quran yang semamangnya sudah ditangannya. Sedu aku mendengar ucapan itu. Di mana aku? Sehebat itukah cita-citaku dan usahaku dalam melayani ramadhan yang bakal pergi tidak lama lagi? Aku begitu jauh!!

Mungkin ramai yang bertanya atau berkata, “apalah diorang ni, bulan Ramadhan je nak tunjuk rajin baca Quran. Bulan lain buat tak kesah je!” ada juga yang mungkin lebih kasar berkata, “hipokrit gile derang ni baca quran time ramadhan je!” atau mungkin masih ada yang memang langsung tak tahu, “kenapa ramai yang baca Quran di bulan Ramadhan ye? Apa faedahnya?”.

Ramai sudah yang membahas topik ini. Apalagi diawal ramadhan dulu. Sengaja ingin aku coretkan lagi disini agar menjadi motivasi buat diriku sendiri dan syukur-syukur dapat bermanfaat bagi para pembaca yang lain.

Ramadhan adalah sebuah bulan mulia yang mendapat kehormatan sehingga disebutkan di dalam Al-Quran. Apa yang istimewa dengan ramadhan? Apa rahsia yang menyebabkan ramadhan begitu tinggi nilai dan kesuciannya? Al-Quran!! Tidak lain adalah kerana dia mendapat sebuah kehormatan agung dimana ia telah dipilih menjadi bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran. Sahru ramadhanallazi unzila fihil quranu hudan linnasi wa bayyinatim minal huda wal furqan.. Ia mulia tatkala dipilih menjadi bulan yang diturunnya sebuah Mukjizat yang kekal hingga ke hari Qiamat.

Sehebat apakah Al-Quran sehingga turunnya saja menyebabkan sebuah bulan menjadi mulia? Barangkali ada yang berfikir begitu. 

Kemuliaan Al-Quran sungguh tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Allah SWT sendiri mencabar manusia dan jin yang sombong untuk menghadirkan sesuatu yang sama dengan Al-Quran, namun tidak ada seorang pun yang mampu. Allah turunkan cabaran dengan menghadirkan sebuah surah sahaja umpama Al-Quran, namun manusia dan jin tetap tidak mampu. Lalu Allah turunkan lagi cabaran dengan menghadirkan sepotong ayat sahaja umpama ayat yang terkandung dalam Al-Quran, tetap manusia dan jin tidak pernah akan mampu. Bagaimana mungkin sedangkan Al-Quran merupakan kalamullah (kata-kata Allah)!!

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang merupakan hidayah, Inna hazal Qurana yahdi lillati hiya aqwam wa yubassyiril mu’mininallazi na ya’malunash sholihati binnalahum ajran hasana!

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang merupakan syifa (penawar), wanunazzil minal qurani ma huwa syifa wa rahmat lilmu’minin..

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang merupakan nur (cahaya), wa anzalna ilaika nuran mubina..

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang ketika kita membacanya ia memberikan dan menghadirkan ruh baru kepada kita,  wa kazalika awhaina ilaika ruhan min amrina.. Inginkan semangat baru? Inginkan kekuatan baru? Inginkan keteguhan keyakinan? Baca Al-Quran!!!

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang telah mengubah seorang yang mengembala kambing kepada yang memimpin umam (kata jamak bagi umat).

Bukan itu saja Allah SWT bahkan menggambarkan betapa hebatnya Al-Quran dengan mengatakan, seandainya Al-Quran digunakan untuk menggerakkan gunung nescaya akan bergerak, seandainya digunakan untuk membelah bumi nescaya akan terbelah, dan seandainya digunakan bagi membicarakan sang mati nescaya dia akan berbicara tapi ditangan Allahlah urusan segala perkara.  Walau anna Quranan suyyirat bihil jibal aw qutti’at bihil ardh aw kullima bihil mauta ballillhi amru jamia.. Ya!! Sebegitu hebat kekuasaan dan kelebihan yang dimiliki Al-Quran!! 

Dalam ayat lain Allah SWT mengatakan, laqad anzalna ilaikum kitaban fihi zikrukum.. yang maknanya, telah kami turunkan kepada kalian kitab yang di dalamnya terdapat zikrukum. Zikrukum dari segi bahasa adalah sebutan kalian yang memberi maksud masa depan kalian, keadaan kalian, nasib kalian, cabaran kalian, ganjaran kalian dan semua yang berkaitan dengan kalian (kita) terkandung di dalam Al-Quran.  

Mari sama-sama kita renungkan seketika. Kita melihat langit yang terhampar tanpa tiang adalah suatu keajaiban. Suatu yang tidak mampu difikirkan oleh manusia. Demikian halnya dengan bumi, lautan, bintang dan sebagainya. Ketika kita merenung kepadanya kita berkata, “Subhanallah.. Maha Suci Engkau yang menciptakan kesemua ini yang tidak mampu dicapai oleh pemikiran manusia..”  

Allah SWT berfirman, tabarakallazi biyadihil mulk wa huwa ala kulli syaiin qadir, sebuah ayat yang menceritakan kekuasaan Allah atas segala sesuatu dan di tanganNyalah kerajaan langit dan bumi, Allah juga berfirman dalam bentuk yang sama, tabarakallazi nazzalal furqana ala abdihi liyakuna lil ‘alamina nazira..

Allah SWT berfirman dalam mengungkapkan perihal ciptaan, Alhamdulillahillazi khalaqassamawati wal ardhi waja’alazzulumati wannur… Allah SWT juga menggunakan bentuk yang sama dalam mengungkapkan perihal Al-Quran, Alhamdulillahillazi anzala ala abdihil kitaba wa lam yaj’allahu ‘iwaja..

Allash SWT kemudian bersumpah, Fala uqsimu bi mawaqi’innujum  Allah SWT juga bersumpah, Innahu la quranun karim..

Apa yang dapat kita simpulkan dari keenam-enam ayat ini adalah, Allah SWT ketika mengungkapkan dan menceritakan atau bersumpah dengan langit, bumi, laut, bintang yang merupakan mukjizat-mukjizat atau keajaiban-keajaiban yang diluar kemampuan manusia, Allah SWT juga menggunakan frasa yang sama, bentuk yang sama dalam mengungkapkan, menceritakan dan bersumpah dengan Al-Quran.

Jika langit itu mampu membuatkan kita terpegun maka Al-Quran juga demikian. Jika lautan yang luas dan kaya itu membuatkan kita tercengang maka Al-Quran juga demikian. Jika bumi yang tiap lapisannya mempunyai jutaan rahsia maka Al-Quran juga demikian. Jika kita sudah melihat dan menyedari bahawa bintang, gunung dan ciptaan-ciptaan yang lain adalah mukjizat maka tanyalah diri anda sudahkah anda merasakan Quran ini juga mukjizat?

Sudahkah Al-Quran mengubah hidup kita? Sudahkah Al-Quran masuk mengalir di darah kita? Sudahkah Al-Quran menjadi nafas kita? Sudahkah Al-Quran menjadi keajaiban dalam hari-hari kita? Sudahkah Al-Quran menjadi pelita hidup kita? Sudahkah Al-Quran mendatangkan membaharuan dalam diri kita?

Imam Syafii mengulang (khatam) Al-Quran dalam bulan Ramadhan sebanyak 10 kali. 

Sayyidah Aisyah RA ditanya akan apa yang diperbuat sepanjang ramadhan.. Beliau berkata bahawa dia membaca Al-Quran dari Subuh hingga syuruk (tergelincirnya matahari), asar hingga maghrib, setelah tarawih (tengah malam) hingga terbit matahari.  Ramadhan bagi beliau adalah seperti itu.

Imam Abu Hanifah ketika tiba ramadhan berkata, “Aku tidak akan mengajar apa-apa ilmu melainkan Quran”.

Imam Ahmad berkata, “Junjungan Rasulullah SAW akhlaknya adalah Quran, maka aku tekuni kandungan Al-Quran sepanjang Ramadhan agar akhlakku juga adalah Al-Quran”

Catatan lepas telah dijelaskan bagaimana Rasulullah SAW ketika diutus membacakan Al-Quran kepada umatnya. Yatlu alaihim ayatihi.. yang kita letakkan sebagai langkah pertama Baginda dalam dakwah. Membaca Al-Quran membuktikan keyakinan kita kepada Al-Quran. Keyakinan kita kepada Al-Quran menunjukkan keyakinan kita kepada penyampainya iaitu Rasulullah. Keyakinan kepada Rasulullah SAW menunjukkan kepercayaan kita kepada perantaranya iaitu Jibril AS. Keyakinan kepada Al-Quran, Rasul, Malaikat tentunya membuktikan keyakinan dan kepercayaan kepada Allah SWT. Maka kita juga akan yakin dan percaya akan hari kiamat dan qada’ qadar yang terkandung di dalam Al-Quran. Sempurna rukun iman!

Syeikh Ibrahim Amin, seorang ulama’ Azhar yang ketika berkhutbah tidak memulakan dengan ucapan salam menceritakan betapa Al-Quran perlu dibaca dan ditekuni. Kita perlu percaya bahawa kita mampu membaca Al-Quran. Mampu memahaminya. Mampu menekuni kandungannya. Mampu menghafalnya. Beliau kemudian menceritakan betapa antara orang yang soleh sengsara selama 20 tahun untuk hidup bersama Al-Quran (sengsara dalam usaha menghafal dan bangun malam membaca Al-Quran dalam solat) akan tetapi setelah itu dia menikmati kenikmatan Al-Quran hingga akhir hayatnya. Yakinlah bahawa kita juga mampu. Jika kita mampu meraih jutaan pound dalam aspek duniawi mengapa kita tidak yakin bahawa kita juga mampu menekuni aspek bukan duniawi? Mengapa kita selalu berpendapat bahawa kita tidak mampu menghafal Al-Quran? Membaca Al-Quran pun seakan-akan begitu payah bagi kita? Kita perlu ada keyakinan diri bahawa kita juga mampu membaca Quran dengan baik. Mampu menghafal dengan baik. Di mana ada usaha di situ ada jalan!

Tidak bakal habis jika kita ingin membicarakan tentang Al-Quran yang sungguh merupakan rahmat terbesar yang dikaruniakan bagi kita ummat akhir zaman.

Di penghujung ramadhan ini marilah sama-sama kita usaha dan luangkan masa untuk mengejar kesempatan-kesempatan yang ada. Jangan kita lengahkan. Malam-malam sepuluh akhir inilah terdapat malam lailatul qadar. Dikisahkan bahawa manusia dahulu mempunyai umur yang panjang. Mereka beribadah 500 tahun tanpa henti. Saidina Nuh AS menyeru kaumnya selama 950 tahun. Lalu kemudian hadir umat akhir zaman yang memiliki umur yang begitu pendek. Allah SWT kemudian mengaruniakan umat akhir zaman ini peluang untuk meraih ganjaran pahala lebih baik dari ibadah 1000 tahun. Para manusia terdahulu tidak berpuas hati dan mempertanyakan perihal tersebut kepada Allah. Allah berkata, “Adakah aku menzolimi kalian? (Adakah Allah memberikan ganjaran yang tidak setimpal dengan ibadah mereka?)” mereka menjawab, “Tidak!” Allah berfirman lagi, “maka apa yang Aku berikan kepada umat akhir zaman adalah rahmat dan keutamaanKu yang diberikan kepada mereka.”

Kita ummat yang paling pendek usia akan tetapi dijanjikan paling besar ganjaran, tidakkah kita ingin mendapatkannya? Tidakkah kita merasa beruntung dibandingkan ummat terdahulu yang diberi umur panjang tetapi ganjarannya tidak setanding ganjaran yang dijanjikan kepada kita? Tidakkah kita akan berlumba-lumba demi meraihnya?

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

adv3
Feel free to share you opinion with me
  • Calendar

    March 2010
    M T W T F S S
    « Feb    
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  
  • Tentang Penulis

    Graduan dari Fakulti Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Asy-Syarif Mesir (2005-2009). Pernah mengabdi sebagai guru di Darussalam Gontor selama setahaun (2004). Mendapatkan pendidikan menengah di Kulliyyatul Mu'allimin Al-Islamiyyah, Darussalam Gontor Ponorogo Indonesia (1998-2003). Pendidikan rendah di Sekolah Islam Al-Amin Serdang dan Bangi (1991-1997). Pelajar Tadika An-Nur Serdang (1990). Kini bergiat dalam usaha pertanian fertigasi dan berusaha menulis buku. Bercadang untuk meneruskan pengajian di Bidang Bahasa Al-Quran. Semoga segalanya dipermudahkan. Amin.
  • Taqeyyabella’s heartbeat

    Berjalan menuju ABADI berbekalkan TAQWA, menciptakan TAKUT pada yang MAHA KUASA, menimbulkan MALU sesama MANUSIA, menghadirkan KASIH pada ALAM SEMESTA.
  • ME IN FACEBOOK

  • Sapaan Mesra

  • Archives