This is some text prior to the author information. You can change this text from the admin section of WP-Gravatar Final year student, General Studies Faculty of Arabic Language, Al-Azhar Asy-Syarif University, Cairo, Egypt.


Sinaran mentari yang cerah memberi semangat yang tinggi kepada kami untuk memulakan penjelajahan mencabar ini. Penjalajahan yang diketuai oleh Shafruddin Shuib dianggotai oleh tiga orang iaitu saya sendiri Abdul Shahiid Shafruddin, Syed Fuad Syed Othman dan Muhammad Ali Gadhafy Tunggul Wahidin.

Kabus tebal

Perjalanan dimulakan dari rumah kami menuju titik pertama iaitu Iskandariyyah. Kami melalui Ring Road dan keluar di Giza kerana berniat untuk melirik Piramid. Cuaca cerah diawal perjalanan ternyata tidak kekal lama. Kenderaan mulai perlahan ketika kami memasuki daerah Giza. Kabus tebal yang ada di situ benar-benar mengejutkan kami. Pyramid yang besar dan tinggi itu tidak kelihatan. Jarak pandang mungkin hanya sekitar satu meter lebih sahaja. Kenderaan kami merangkak. Kerana kita memang tidak menetapkan timing yang ketat di dalam penjelajahan ini, maka kami tidak terganggu dengan kabus tebal itu. Kami malah menikmati suasana yang jarang ditemukan itu. Ada beberapa buah van dan kereta laju memotong kami. Kelajuan mereka sempat membuatkan kami terkejut. Tiada yang memberi komentar terhadap tindakkan berani pemandu-pemandu tersebut. Akan tetapi setiap orang mengekspresikan wajah yang mengandung pelbagai presepsi.

Gerak perlahan kereta membuatkan kelopak mataku seakan-akan ditarik-tarik. Bahkan seperti ada sesuatu yang menekannya dari atas. Berat sekali. Aku terlena seketika.

Malang tak berbau

Aku bangun kembali sekitar setelah tertidur dua hingga tiga menit. Brek yang mengejut menyedarkan daku dari tidur. Terlihat seorang yang memberi isyarat agar memperlahankan kenderaan. “Awalnya roadblock” bisik hatiku. Kabus yang menghalang pandangan membuatkan kami tertanya-tanya apa yang terjadi dihadapan. Syed Fuad memusing stereng mengelak jalan yang berlubang. Kami semua memperhatikan jalan yang begitu buruk keadaannya. “Ya Allah.. Tengok tu!” kata salah seorang dari kami. “La haula wala quwwata illa billah..” Aku menenangkan hati. Kenderaan yang tadi memecut kami terlibat dalam kemalangan. Bahkan terdapat lebih dari sepuluh buah kenderaan. Ambulans dan kereta polis turut ada di sana. Setelah beberapa meter ada pula kereta yang tersangkut pembahagi jalan dan trela panjang yang berlaga.

Abah selaku ketua penjelajahan menyuruh kami berhenti di tempat perhentian. Kami menikmati minuman panas sambil menunggu hilangnya kabus. Kami meneruskan perjalanan setelah berehat sekitar sejam lebih. Kami kemudian meneruskan perjalanan. Kami berhenti buat kali kedua dia sebuah restoran yang memiliki mini zoo. Sebuah restoran yang berkonsepkan zoo yang memang pernah aku dan abang aku hayalkan.

Kami tiba di iskandariyyah tepat ketika muslimin mendirikan solat jumaat. Waktu solat itu menyulitkan kami untuk mencari makanan tengah hari. Hampir 99% kedai makan dijalankan oleh kaum lelaki. Maka kami tidak dapat berbuat apa melainkan menunggu mereka menyempurnakan kewajipan mereka. Kami membeli dua ekor ayam panggang, empat porsi nasi berlauk hati, pizza, roti dan manisan (baklawah). Kami menikmati juadah di pesisir pantai.

Sambil menikmati keindahan alam

Kami kemudian menuju Masjid Nabi Danial AS dan menunaikan solat jamak di sana. Tempat-tempat lain tidak begitu menarik perhatian abah. Kami meneruskan perjalanan menuju ke alamain. Kami melalui sebuah kawasan yang dinamakan Burgul Arab. Kawasan yang penuh dengan hotel dan tempat penginapan. Namun begitu sunyi. Mungkin kawasan ini hanya hidup pada musim panas.

Masjid Nabi Danial

Kami tiba di Alamain ketika mentari sudah tiada lagi. Kegelapan yang menyelimuti alam menyulitkan kami untuk mengetahui keadaan sebenar tempat di mana kami berada. Kami segera mencari tempat penginapan. Setelah mendapatkan tempat untuk bermalam. Kami sekali lagi mencuba untuk mengenal pasti tempat kami berada. Mengapa? Kerana kami pernah melawat kubur akan tetapi mengapa ianya begitu berbeza dengan keadaan setahun yang lalu. Setelah puas kami berputar baru kami ketahui bahwa terdapat tiga tanah perkuburan peperangan dunia kedua. Tanah perkuburan Italy, German dan Negara-negara komenwel. Rancangan awal kami adalah melalui jalan pintas menuju Siwa (secondary road). Ternyta kami mendapat tahu bahwa kami perlu mendapatkan izin untuk melaluinya. Kami segera menuju ke pejabat petugas tersebut. Permohonan kami buat akan tetapi gagal kerana kami tidak mempunyai surat penyataan dari Kementerian Pertahanan dan Kementerian Perlancongan yang menjadi syarat untuk mendapatkan surat izin tersebut. Mahu tidak mahu kami harus menggunakan jalan utama.

Pemilik kedai kopi yang baik hati

Setelah lelah kami menuju kedai kopi dan membeli kusyari (pasta). Pemilik kedai kopi yang berasal dari Damanhur sangat gembira dengan kehadiran kami. Kegembiraan mereka jelas ketika mereka enggan menerima bayaran minuman kami.

Kami makan malam di hotel berlaukkan seekor ayam panggang sejuk yang belum tersentuh. Setelah kenyang kami segera solat. Mata kami sudah tidak lagi mampu bertahan.

Tempat kami bermalam di alamaen

Setelah solat subuh kami segera bersedia untuk meneruskan perjalanan. Titik berikutnya adalah Matruh. Matruh memang terkenal dengan keindahan pantainya. Namun dengan suhu dingin ini, Matruh hanya dapat dipandang dengan mata. Kami kemudian menemukan sebuah kawasan perumahan bernama ‘Andalus’. Perumahan di pesisir pantai. Sungguh cantik ciptaan Tuhan. Buih ombak yang putih. Angin yang begitu kencang. Pasir yang putih.

Kubur tentera komenwel

Ketika berada di Matruh seharusnya kami berhenti untuk makan tengah hari. Namun tanpa sedar kenderaan kami pantas melaju meninggalkan Matruh. Kami memutuskan untuk makan di Agiba. Ternyata tidak ada satu pun kedai yang kami temukan di Agiba. Abah memutuskan untuk tidak makan sehingga tiba di Siwa.

Kubur tentera German

Perjalanan dari Agiba ke Siwa hampir 350 km. Aku melajukan matrix dengan kelajuan 120km/jam. Akan tetapi jalan lurus yang membelah padang pasir memancing darah mudaku untuk meningkatkan hingga kelajuan 140km/jam. Belum puas dengan kelajuan tersebut aku meningkatkan lagi hingga ke 170km/jam. Abah menyuruh kami untuk berhenti solat. Aku berhenti di tempat yang menakungi air. Keinginan berwudhu hilang ketika jemariku menyentuh air yang keruh itu. Ternyata ianya sangat sejuk sekali. Akhirnya kami sepakat untuk tayamum. Setelah membuka peta dan melihat posisi matahari kami menentukan arah qiblat.

Kubur tentera Italy

Setelah solat aku kembali melajukan matrix hitam yang telah diganti sportrimnya. Kali ini aku ingin mengetahui seberapa lajukah kereta ini dapat berlari. 180km/jam. Pedal minyak telah habis ditekan. Setelah beberapa menit kenderaan kami berlari dengan kelajuan itu, tiba-tiba bunyi sebuah letupan dan aku segera merasakan ketidak seimbangan. Aku tahu apa yang terjadi. Tayar pecah.

Marsa Matruh

 

Sambil memperlahankan kereta dan memposisikannya di tepi jalan hatiku deras berzikir. Ganti tayar bukanlah hal baru bagi kami. Setelah segala peralatan dikeluarkan dari bonet aku segera mencuba untuk membuka mur (screw) yang melekatkan tayar. Betapa terkejutnya aku ketika gagal memasukkan pembuka screw tersebut. Ternyata pembuka itu lebih besar dan bukan ukurannya. Rim baru kereta tersebut memang perlu menggunakan pembuka screw yang berbeza. Puas kami mencari di seluruh penjuru kereta, siapa tahu ia disimpan di tempat lain. Namun, tidak kami temukan.

Agiba

Kami mula menunggu dan menahan setiap kenderaan yang melintas. Ramai dari mereka yang berusaha membantu akan tetapi gagal kerana rim kereta kami bukanlah rim yang standar. Kami juga sempat menanyakan posisi kami ketika itu. 200 km dari Matruh dan 150 km sebelum Siwa. Tiada bengkel melainkan di kedua kota ini.

Pecah

Aku tidak tahu apa yang kawan-kawan fikirkan. Akan tetapi aku sangat lega kerana mereka tidak pun menunjukkan rasa putus asa atau pun panik. Dengan perut yang lapar di tengah padang pasir. Manusia bisa saja marah tak tentu arah. Lidahku tidak henti mengucapkan doa semoga segalanya dipermudah Allah SWT. Saat itu tiada satu pun yang dapat membantu kami melainkan Allah SWT. Bekalan air juga tidak ada. Angin yang deras bertiup tidak mampu menghilangkan kekhawatiran kami. Malah angin tersebut membuat kami semakin risau. Bagaimana kalau kami gagal mendapatkan bantuan. Dengan kata lain, kami terpaksa bermalam di situ pada paras suhu yang rendah.

Aku melihat wajah teman-teman dan abah. Semuanya masih tenang. Aku menjadi yakin dengan pertolongan Allah. Cepat atau lambat itu bukan urusanku. Allah SWT ada ketentuannya sendiri.

Bantuan itu tiba ketika seorang pak cik yang memandu pick-up bersama tiga orang anak memiliki pembuka screw palang yang mempunyai empat ukuran. Kami sangat gembira. Kami bergerak pantas melaksanakan tugas. Tidak mahu mereka menunggu lama kerana kami. Aku mengeluarkan baklawah yang kami beli di Alex dan memberikannya kepada anak-anak pak cik itu. Kurang setengah jam kerja mengganti tayar selesai dilaksanakan.

Kami berhenti di satu-satunya restoran rehat yang ada sepanjang jalan itu. Kami memesan ful, telur goreng dan tuna beserta roti demi mendiamkan keroncongan perut kami.

Shalli

Sejam lebih setelah itu, kami tiba di Siwa. Kami mencari tempat penginapan yang murah. Setelah memindahkan barang ke bilik hotel yusuf, kami melihat kawasan sekitar. Dua bukit yang dekat dengan kota Siwa di hiasi dengan cahaya lampu sorot yang membuatkan bukit itu kelihatan menarik. Kami mendaki Shali perkampungan masyarakat Siwa pada ratusan tahun yang lalu. Kami tidak dapat melihat jelas bagaimana sebenarnya keadaan Siwa kerana kegelapan malam.

Kami kembali ke hotel dengan air minum, ayam panggang dan roti.

27 Januari 2008

Aku bangun beberapa menit setelah azan berkumandang. Abah yang telah berwudhu, pergi ke masjid sendirian. Aku sudah terbiasa menunaikan hajat sebelum subuh. Setelah aku menyelesaikan hajatku dan bersuci. Aku mendengar iqamah berkumandang. Aku baru menyedari perbezaan waktu subuh antara Kaherah dan Siwa. Aku segera berlari menuju masjid yang tidak begitu jauh dari hotel.

Oasis Siwa

Setelah solat kami menikmati dingin pagi dengan berjalan-jalan dan menghirup udara segar. Sehinggalah kami menemukan jalan menuju Jabal Gharbi (West Mountain). Tanpa perlu bertanya aku sudah tahu apa yang akan kami lakukan. Bukit ini harus kami tawan. Tanpa aku sedari, aku telah pun berada di puncak teratas di bukit itu. Alangkah terkejutnya tatkala aku memperhatikan kota Siwa yang begitu padat. Tasik yang begitu luas. Bentuk bangunan yang pelik. Kebun kurma yang tersusun rapi. Padang pasir dan gunung- ganang mengelilingi perlembahan itu. Pemandangan yang luar biasa indah. Segara aku bertasbih mengagungkan ciptaannya yang tiada cela.

Setiap orang yang menuju ke Siwa sepatutnya dapat merasakan betapa hebatnya kuasa dan betapa luasnya rahmat Allah SWT. Tentunya masyarakat Siwa adalah orang yang paling harus sentiasa menyedari dan mensyukuri hal ini. Sepanjang di padang pasir kami langsung tidak menemukan sumber air jernih yang layak digunapakai. Akan tetapi kami menemukan sebuah tasik besar di Siwa. Tasik yang dapat menghidupkan jutaan manusia yang berada di sekitarnya. Bukan hanya manusia, tasik tersebut juga dapat menghidupkan pohon-pohon dan binatang ternak. Maha Agung Allah SWT yang menciptakan pasir dan air agar kita berfikir.

Kolam Air Panas

 

Kami meninggalkan Jabal Garbi dengan hati yang bersinar-sinar secerah mentari pagi. Sinar dengan perasaan syukur yang menghidupkan hati dan diri. Ketika kami melalui belakang Masjid Besar Siwa, seorang pemuda menyapaku dengan berkata, “Apa kabar?” Aku tidak dapat mendengarkan ucapannya pada pertama kali. Namun setelah dia mengulangnya untuk ketiga kali baru aku perasan bahwa dia sedang berusaha bertutur bahasa melayu. Kami berkenalan. Ternyata beliau merupakan lulusan Azhar cawangan Damanhur. Beliau banyak kenalan pelajar-pelajar Malaysia. Beliau kemudian mengatakan bahwa dia perasan bahwa kami telah solat subuh bersamanya. Beliau diamanahkan menjadi Imam di Masjid Besar itu. Setelah bersembang, beliau kemudian menawarkan safari ke padang pasir dengan harga yang agak murah. Abah menyetujuinya. Kami akan menjelajah padang pasir dengan kenderaan 4WD. Setelah disepakati, kami menyerahkan passport dan duit supaya diuruskan surat kebenaran memasuki kawasan larangan tersebut. Adalah sebuah kesalahan jika memasuki padang pasir tanpa surat kebenaran.

Pasir dan Tanah adalah aku

Pagi itu kami menziarahi Tempat ibadat Amun, Iskandar dan mata air cleopatra. Ketiga tempat ini kami tuju dengan kereta keldai. Keldai yang membawa aku dan abah bernama misy-misy (apricot) sedang keldai yang membawa Ali dan Fuad bernama Ali Baba sedang kedua-dua pemandu kereta tersebut bernama Muhammad.

Muhammad dan Muhammad~ nama dan profesi serupa

Setelah selesai menziarahi tiga tempat tadi. Kami segera mempersiapkan hal-hal yang patut kerana waktu yang ada tidak banyak. Kami menggantikan tiub tayar yang pecah, solat dan terus bersedia untuk menjelajah padang pasir.

Perjalanan ke padang pasir di sertai oleh 7 orang, 1. Ammu Ali pemandu terhebat di Siwa. 2. Abah ketua rombongan. 3. Aku. 4. Ali. 5. Fuad. 6. Baha seorang pensyarah berusia 30 tahun. 7. Muhammad seorang designer berusia 27 tahun. Nampaknya kami semua sekepala.

Show time

Memandu di padang pasir bukanlah semudah yang disangka. Apalagi untuk melalui bukit-bukit pasir. Pertama aku hanya mengira bahwa gelaran pemandu terhebat hanyalah gurauan. Akan tetapi setelah berjalan sekitar lima belas menit, kami semua mengakui kepakaran Ammu Ali. Ammu Ali memilih jalan-jalan yang susah dilalui sehingga kami merasa seakan-akan berada di dalam roolercoaster. Ammu Ali turut cekap akan jalan di padang pasir.

Kami diberhentikan di sebuah puncak bukit pasir. Dari situ kami dapat melihat bagaimana indahnya pasir yang begitu halus. Indah terhampar. Rapi terbentang. Angin membentuk aluran yang cantik. Setelah puas bergambar kami kemudian menuju kesebuah telaga mata air panas. Kolam mata air panas itu penuh dengan lelaki Mesir yang dikelilingi gadis-gadis Mesir. Aku mengambil gambar dan beredar setelah bernyapa beberapa orang gadis untuk mengetahui siapakah mereka. Gadis-gadis dan pemuda-pemuda itu adalah siswa-siswi tahun dua fakulti Pharmacy Universiti Iskandariyyah. Aku kemudian melihat bukit yang berada tidak jauh dari kolam air panas tersebut. Aku segera mengajak abah, “Ada yang minta ditawan!” abah membalas singkat, “Jom!”

Baha kemudian meminta kepada Ammu Ali untuk duduk diatap kenderaan. Pertama aku agak risau kerana kenderaan ini tidak dapat dipacu perlahan di padang pasir. Resiko yang ada sangat tinggi. Akan tetapi Ammu Ali menyetujuinya. Pada perhentian berikutnya kami tidak dapat menahan darah muda kami. Kami nekat menanggung resiko. Baha, aku dan fuad menempah maut berada di atas atap tanpa sebarang alat keselamatan. Kami menuju bukit tinggi dimana pengunjung bermain sand ski. Di sini kami menyaksikan dua buah kenderaan yang gagal menaiki bukit tersebut bahkan terpaksa berusaha beberapa kali sebelum berjaya melepasi bukit ini.

Baha and Muhammad in the team

Kami kemudian menuju sebuah tempat yang menyimpan bukti bahwa mungkin suatu saat dahulu tempat tersebut adalah lautan. Kami menemukan beberapa fosil dan puluhan kulit kerang.

Sebelum menuju tempat terakhir dimana kita akan menyaksikan tergelincirnya matahari, Ammu Ali membawa kami ke bukit yang tertinggi antara bukit-bukit yang kami lalui, sehingga ketika kenderaan itu turun dari puncak bukit tersebut seakan-akan kami berada diposisi melebihi paras 90 derajat. Ammu Ali mahir mengawal kelajuan. Seandainya kenderaan kami terlalu perlahan atau terlalu laju boleh mengakibatkan ianya terbalik. Ketika tiba di perhentian terakhir dimana kami akan menyaksikan terbenamnya matahari. Ammu Ali segera menyalakan unggun api kecil dan memanaskan air. Kami menikmati terbenam matahari sambil menghirup teh pekat arab.

Pengalaman beberapa jam di padang pasir ini sangat berharga. Sukar untuk mengungkapkan apa perasaan dan pikiran yang ada pada setiap individu ketika berada di situ. Apa cantiknya pasir? Bagiku sangat cantik. Cantik kerana ianya ciptaan Maha Karya yang sarat dengan pengajaran dan rahmat disebaliknya. Tanpa cacat.

Ammu Muhammad dan Syiekh Idris~kenduri

Kami tiba di Siwa setelah maghrib. Kami minta turun tepat di hadapan Kedai dan hotel Syiekh Idris. Kereta kami memang kami tinggalkan di situ. Syeikh Idris mengajak kami menghadiri jamuan makan malam sempena perkahwinan seorang penduduk di situ. Kebetulan penduduk itu memang telah kami temui pada pagi hari. Ketika mentari belum keluar aku dan abah melihat mereka menaikkan lembu ke atas lori. Maka aku bertanya, “Ingin dijualkah?” mereka kemudian memberi tahu bahwa ianya untuk jamuan makan malam.

Penduduk Siwa sangat berbeza dibanding penduduk Mesir. Bahkan penduduk Siwa enggan disamakan dengan orang Mesir. Mereka memang berbeza. Mereka masih lagi badwi dan mereka bangga dengan kebadwiyan mereka. Kehidupan mereka masih lagi diatur oleh qabilah-qabilah. Mereka tidak menggunakan polis atau mahkamah akan tetapi Syiekh qabilahlah yang akan menyelesaikan segala permasalahan kecil hingga besar.

Kenduri malam itu di jamu dengan nasi kuning, daging dan sup. Ia dihidang dalam talam. Semua penduduk berkongsi makanan. Pemandangan yang sungguh menarik dan jarang lagi di temui. Memang tidak pelik untuk makan di dalam talam bagi golongan tabligh atau bagi pelajar-pelajar agama. Akan tetapi untuk membuat kenduri kahwin dalam talam adalah suatu hal yang pelik bagi masyarakat melayu kita.

Biasanya perkahwinan di Siwa akan dijayakan oleh wakil-wakil dari setiap qabilah. Mereka akan membantu menyediakan tempat dan mendirikan kemah. Tidak ketinggalan kelompok yang menyembelih binatang dan menyulapnya menjadi makanan yang lezat. Pada hari perkahwinan. Tetamu akan dijamu makan malam setelah maghrib. Kemudian para tamu solat di masjid. Setelah Isya ada haflah dimana akan dibacakan khutbah dan qasidah-qasidah Islam. Pada keesokkan paginya, penduduk kampung akan hadir mengucapkan tahniah kepada pengantin dan ibu bapa pengantin.

Leave a Reply