This is some text prior to the author information. You can change this text from the admin section of WP-Gravatar Final year student, General Studies Faculty of Arabic Language, Al-Azhar Asy-Syarif University, Cairo, Egypt.


Bicara tentang Al-Quranul Karim tidak akan ada ujungnya. Kitab Agung yang tiada tandingan itu bahkan tidak pernah akan mampu dibahasakan dengan kata-kata. Kalau pun ada, hakikatnya lebih mulia dari apa yang mampu dikata.

Mungkin ramai yang sudah mengetahui bahwa Al-Quran diturunkan secara sekaligus kepada pemegang amanah iaitu Malaikat Jibril AS yang kemudiannya diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW sesuai ketetapan Allah SWT.

Perkara menarik yang mungkin tidak ramai yang mengetahui bahwa Al-Quran dapat dibaca dengan 7 cara bacaan. Perkara ini diketahui dari beberapa hadis Nabi Muhammad SAW seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, dari Ibn Abbas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, Jibril membacakan kepadaku dengan satu cara bacaan, aku masih meminta dan dia menambahkan sehingga dia membacakanku 7 cara bacaan.

7 cara bacaan ini menjadikan Al-Quran dapat diterima pakai oleh seluruh masyarakat Arab ketika itu. Masyarakat Arab yang memiliki beza lahjah (dialect) antara satu kelompok (qabilah) dengan lainnya, dapat menerima kehadiran Al-Quran dengan hati yang lebih terbuka. Ini kerana Al-Quran dapat mereka baca sesuai dengan lahjah mereka. Perlu ditegaskan disini walaupun demikian, bukan berarti Al-Quran dapat dibaca sesuka hati atau dengan kata lain, dibaca dengan cara bacaan mereka sendiri (yang mereka reka sendiri) ini kerana, cara bacaan ini perlulah sesuai seperti mana yang disampaikan oleh Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW.

Menurut pahaman saya, Rasulullah SAW tidaklah mengajarkan secara terperinci cara-cara bacaan ini, maksud saya, bacaan ini tidaklah dipopularkan dengan cara bacaan satu, cara bacaan dua, cara bacaan tiga sebagai contoh. Rasulullah SAW membacakan cara-cara bacaan ini menurut keadaan dan tempat yang sesuai. Ini dapat dibuktikan dengan adanya banyak perselilihan antara sahabat tentang masalah cara bacaan yang ketika dihadirkan kepada Rasulullah SAW, Baginda membenarkan setiap cara bacaan tersebut. Bermakna, hanya orang-orang tertentu sahaja yang benar-benar mengetahui cara-cara bacaan ini (seperti para penulis wahyu).

Seperti mana yang kita sedia maklum bahwa pembacaan Al-Quran dipelajari dengan cara musyafahah atau lisan. Maksudnya, seorang yang ingin belajar Al-Qur’an perlulah untuk mendengarkan dari dan membacakan kepada Muqri’ (orang yang layak mengajar bacaan Al-Quran) sehingga ianya tepat dari segala sisi dan sesuai dengan kaedah bacaan Al-Quran. Ketika masyarakat Islam sudah pun tersebar di serata semenanjung Arab, terjadilah perselisihan dahsyat kerana kejahilan mereka yang mengira bahwa bacaan Al-Quran itu hanya seperti bacaan mereka. Setiap kelompok mengatakan bacaan mereka sahaja yang betul walhal seperti yang kita sedia maklum terdapat 7 cara bacaan.

Walaupun para ulama ketika mengetahui bahwa terdapat 7 cara bacaan akan tetapi hingga ke hari ini tidak ada yang dapat meletakkan garis yang jelas akan bagaimana ketujuh-tujuh bacaan itu. Untungnya, ulama terdahulu sangat memperhatikan sistem pengambilan riwayat dan sanad sehingga setiap cara bacaan yang sampai pada kita hari ini dapat kita yakini kesahihannya.

Akibat perselisihan itu, Sayyidina Ustman RA segera mengambil tindakkan dengan menselaraskan tulisan Al-Quran yang kita kenal hari ini dengan gelaran Rasam Uthmani. Al-Quran Rasm Utsmani ini berpengaruh besar dalam usaha menyusun kembali kecelaruan ketika itu. Barulah setelah itu Ibn Mujahid hadir dengan martabatkan 7 Imam sebagai Imam-Imam cara bacaan Al-Quran tingkatan pertama. Usaha Ibn Mutahid ini merupakan langkah awal bagi menghadapi tuntutan perkembangan masyarakat yang semakin meningkat. Usaha ini juga memberi kesan yang positif sehingga masyarakat memberi tumpuan untuk mengambil cara bacaan dari Imam yang diyakini ke shahihan cara bacaannya.

Di sisi lain, kita melihat betapa Agungnya Al-Quran yang terbukti keunggulannya. Hal ini jelas dengan kepelbagaian cara bacaan namun tidak sedikit pun mengurangi nilai kandungan Al-Quran itu sendiri. Bahkan Al-Quran semakin mendapatkan banyak kesan positif dari kepelbagaian ini yang memberi tafsiran, penerangan dan kemudahan kepada umat Islam.

Sebahagian ulama ada yang mengatakan bahwa kepelbagaian cara bacaan yang sempat menyebabkan perselisihan ini adalah antara penyebab utama adanya penyelarasan tulisan Al-Quran. Sehingga hasil penyelarasan ini dapat kita rasakan pada hari ini.

Leave a Reply