Cacatan Perjalanan Bahagian Tiga

Posted on February 3rd, 2008 in Uncategorized

View dari atas sebuah masjid seorang syieikh. Di sebelahnya masjid ayahnya yang juga seorang alim.

Abah tiba ke Kaherah tepat seperti yang dijadwalkan. Kunjungan singkatnya ke German berjalan dengan baik. Dari lapangan terbang kami terus menuju ke City Star sebuah shopping complex. Tujuan kami adalah untuk mencari peta Mesir, khususnya yang menunjukkan jalan di kawasan-kawasan yang ingin kami jelajahi.

Malangnya kami tidak dapatkan apa yang kami cari. Ternyata tidak mudah mencari peta Mesir di Mesir. Peta yang lengkap dengan penunjuk tempat-tempat dan segala kemudahan bagi penjelajah seperti kami adalah penting. Bahkan sangat penting.

Kami segera meniggalkan shopping complex itu setelah mengisi penuh tank-tank kami dan menunaikan hak Tuhan terhadap kami. Kami mengambil bas menuju ke Nadi sikkah untuk menuju ke bookfair.

Malang memang tidak berbau, sekali lagi kami telah tersilap langkah kerana bookfair belum dibuka pada hari pertamanya. Hari pertama hanyalah untuk perasmian. Aku pernah mendengarkan hal itu namun tidak mempercayainya. Sekarang aku begitu yakin bahwa ianya tidak dibuka melainkan untuk perasmian. Dengan hampa kami berjalan menuju kaki hingga ke kubur Anwar Sadat. Kami terus berjalan hinggalah kami mendapat taksi.

Hanya tinggal satu tempat sahaja lagi yang aku ketahui yang mungkin menjual peta yang kami cari. Tidak lain adalah kedai buku Darussalam di Seksyen Tujuh (Hay Sabie’) Madinat Nasr. Alhamdulillah kami menemukan Peta yang kami cari. Syarikat tersebut menerbitkan 6 peta iaitu Mesir, Kota Kaherah, Laut Merah, Sinai, Shram Syeikh dan Oasis. Kami setengah lega dan setengah kecewa. Peta Mesir berjaya kami temukan akan tetapi peta Oasis tidak ada di situ.

Memang kami bercadang untuk menjelajah Oasis yang begitu terkenal bagi dikalangan penjelajah yang meliputi Farafra, Bahria, Dakhla, Kharga dan Siwa.

Keesokkan paginya (24 Januari 2008), dari masjid kami terus mencari sarapan dan bersiap untuk memulakan perjalanan. Rancangan awal kami, mengunjungi beberapa tempat di sekitar Kaherah sambil menunggu Ali selesai peperiksaannya yang terakhir. Akan tetapi tepat jam lapan pagi Fauzi (teman yang menguruskan penyewaan kereta) menghubungi kami dan menyatakan bahwa kereta yang sepatutnya kami sewa terlibat dalam sebuah kemalangan. Dia juga telah berusaha mencari ganti akan tetapi gagal.

Pintu masuk Masjid Ibnu Tulun

Kami memutuskan untuk menunda penjelajahan ke esok hari (25 Januari 2008). Kami segera meninggalkan rumah. Destinasi kami adalah Masjid Ibnu Tulun.

Masjid Ibnu tulun adalah Masjid besar ketiga yang didirikan di Mesir. Masjid pertama adalah Masjid Amru Ibn Ash, kedua Masjid Askar dan ketiga Masjid Ibnu Tulun. Masjid Askar adalah masjid yang kini sudah tiada lagi. Ia dan bandarnya telah lama hilang dari permukaan bumi akibat tangan-tangan kotor orang kafir.

Masjid Ibnu Tulun mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan Masjid Amru Ibnu Ash dan berbeza dengan masjid-masjid yang didirikan pada zaman-zaman setelahnya yang telah banyak diwarnai kesenian luar.

Bersama Mudir Masjid Ibn Tulun

Kami mengelilingi masjid tersebut hinggalah kami menemukan sebuah ruang seperti bilik dibahagian luar masjid. Ada beberapa orang di dalamnya yang sedang menikmati makan tengah hari. Abah menyuruhku untuk menegur mereka. Sambil malu-malu kucing aku mengangkatkan tangan menyapa mesra. Mereka menjemput kami ke dalam bilik tersebut. Salah seorang dari mereka yang berpakaian kemas berjambang memperkenalkan diri sebagai Mudir Masjid Ibnu Tulun. Kami berbincang mengenai sejarah Masjid tersebut.

Halaman yang ditiru dari seni binaan Baghdad

Beliau menerangkan bahawa bahagian luar yang berkerikil hitam merupakan halaman yang biasa ada pada setiap masjid di Baghdad. Halaman itu telah ditiru dan ditambahkan di Masjid Ibnu Tulun.

Aku kemudian menanyakan tentang mihrab. Masjid Ibnu Tulun memiliki enam mihrab. Beliau kemudian menceritakan bahwa mihrab tersebut dibuat pada era yang berlainan. Dua mihrab terakhir telah dibina ketika Fatimiyyah memerintah Mesir. Lembaran sejarah ketika itu mencatatkan hari-hari derita masyarakat Mesir. Masyarakat Mesir yang kebanyakannya merupakan Sunni menjadi mangsa ketika tampuk pemerintahan jatuh ke tangan Fatimiyyah yang Syiah.

Mihrab yang dibina oleh pemerintah Fatimiyyah

Antara peristiwa mengerikan yang terjadi ketika itu adalah pembunuhan keatas ulama-ulama yang menentang Fatimiyyah. Khutbah mereka yang mengutuk dan menafikan kekhalifahan Abu Bakar, Umar dan Uthman radiallahu anhum mengundang kemarahan para ulama dan masyarakat. Lantas salah seorang mereka berdiri dan berkata andai aku memiliki 5 anak panah, akan ku lepaskan satu pada yahudi dan 4 pada kalian. Tentunya ulama yang mengatakan hal itu tidak selamat. Dia disembelih di pintu gerbang masjid.

Menara Masjid Ibnu Tulun

Demi menutupi kemarahan masyarakat, pemerintah ketika itu mendirikan puluhan bahkan ratusan masjid yang begitu indah dan cantik sehingga masyarakat mula memerhatikan masjid kecil mereka dan melupakan masjid jami’ yang besar.

Mudir masjid mengajak kami untuk memperhatikan tulisan yang ada pada mihrab tersebut. Ketika kami keluar terlihat beberapa pelawat yang berpakaian seperti golongan syiah solat di salah satu dari dua mihrab zaman Fatimiyyah itu. Beliau kemudian menunjukkan tulisan La ilaha illallah, muhammadarrasulullah, ali waliyyullah.

Ruang tamu lelaki musim panas

 

Di sebelah Masjid Ibnu Tulun terdapat dua buah rumah yang telah dibeli oleh Geyard, seorang yang berbangsa Inggris. Rumah tersebut begitu cantik dan dijadikan musium. Ia memiliki dua ruang tamu, satu untuk lelaki dan satu untuk perempuan. Keduanya terpisah sehingga tidak terjadi percampuran antara bukan mahram dan memberi lebih keleluasaan bagi masing-masing pihak. Ada pula ruang makan dan santai pada musim panas dan musim sejuk. Ruang musim panas terbuka seperti beranda. Dapat dibayangkan kenyamanan suasana itu. Batu dinding yang tebal tidak akan membuatkan suhu ruangan panas. Udara yang bertiupan tidak akan membuatkan orang bangun meninggalkan ruangan itu.

Penutup tingkap dari kayu

 

Setelah puas melihat koleksi yang dipamerkan, kami menuju ke Masjid Amru Ibn Ash. Sebelum memasuki masjid, kami mencari makanan untuk mendiamkan perut yang sedang berkeroncong. Kami memberi 2 ekor ikan makeral bakar (0.5kg per satu) beberapa buah roti dan menikmatinya di kedai kopi.

Midhoah Masjid Amru Ibn Ash

Setelah solat di Masjid Amru Ibn Ash kami menuju ke kubur kristien terlama dan beberapa buah gereja yang terletak berdekatan Masjid tersebut. Ada yang mengatakan kristian di sini telah pun ada sebelum kedatangan Amru Ibn Ash lagi. Kami mengikuti ke mana saja kerumunan manusia bergerak.

Kubur seorang nasrani

Banyak pengajaran yang kami dapatkan dengan menziarahi tempat tersebut. Kami memperhatikan batu-batu nisan yang banyak terdapat di situ. Sebuah batu nisan berjaya meraih perhatian kami. Tertulis diatasnya Latif. Ya. Latif yang merupakan nama Allah SWT yang telah banyak digunakan oleh umat Islam. Timbul pertanya apa ada pada nama? Pemilik kubur ini juga bernama Latif sedang dia mengaku sebagai seorang kristien.Tidak cukup kita Islam pada nama, Islam pada pakaian, Islam pada rupa, Islam pada kata-kata. Islam perlu ada pada kesemua sekali. Seperti mana firman Allah SWT masuklah kepada Islam secara keseluruhan. Hanyut aku dibawa lamunan. Islamkah diriku ini pada hakikatnya, ataukah sekedar pada nama!!!

Kami terus berjalan memasuki gereja-geraja tersebut. Hatiku turut berdetak kencang. Berada di tempat yang belum pernah aku berada. Ramai orang masuk meratapi gambar-gambar. Tidak sedikit yang mencium gambar-gambar tersebut. Mulut mereka kumat-kamit menyatakan harapan. Aroma lilin kuat tercium tatkala kami melangkah masuk ke dalam gereja. Terpampang dengan begitu besarnya salib di tengah-tengah gereja. Bangunan gereja yang besar itu terasa sangat sempit di dalamnya. Sempit dengan kerusi, meja, tempat lilin dan gambar-gambar paderi mereka. Bertambah sempit lagi dengan kesalahan dan kebodohan mereka yang masih mengikuti kebodohan dan kesesatan nenek moyang mereka. Sempit dan gelap. Sesak dadaku menahan aroma lilin yang memeningkan kepala. Terdapat banyak gua-gua kecil di ruang bawah tanah. Ia seperti tempat orang bertapa. Kami turut memasuki satu per satu.

Ketika kami tiba di gereja kedua st Sergius kami terperanjat melihat seorang perempuan setengah baya yang sedang merenung dan meratapi gambar dan ukiran dari emas. Aku tidak mengerti erti gambar tersebut akan tetapi sangat jelas maksud perempuan itu. Dia memang sedang memohon dan berdoa di gereja itu. Merinding bulu roma ketika melihat perempuan itu. Sangat tidak aku percaya apa yang telah ku lihat. Dia berpenampilan sempurna seperti seorang muslim. Langsung tidak ada satu pun tanda bahwa dia merupakan seorang kristien. Berapa banykkah orang-orang seperti dia?

Kami meneruskan perjalanan dengan hati yang gundah. Kegundahan melihat kekeliruan yang samar. Apakah makna hijab pada perempuan tadi? Apakah yang dia yakini dan apa pula yang dia terima dari semua ini?

Kami mengunjungi ke semua gereja yang ada di kawasan itu kecuali koptik. Gereja koptik mengenakan bayaran untuk memasuki kawasannya.

Setelah mengerjakan solat kami berjalan menuju kubur Salman Al-Faransawi. Nama asalnya adalah Joseph Seves. Menurut penduduk setempat, dia merupakan seorang berbangsa Perancis yang merupakan orang pertama yang melatih ketenteraan di tanah Mesir pada zaman pemerintahan Muhammad Ali.

Kami terus berjalan menuju ke persisir sungai nil. Kami terus berjalan menuju ke nailometer. Alat pengukur paras air sungai Nil. Dari situ kami terus berjalan ke arah Nile Hilton. Setelah melewati pangkalan Cruise Nile Crystal secara kebetulan sebuah kapal layar tiba di pesisir sungai tersebut. Aku segera menarik tangan abah supaya dia melihat bagaimana pengangkutan penduduk di sebuah pulau di tengah-tengah sungai Nil itu. Melihat kapal tersebut abah terus sahaja berkata, “Jom naik!”

Kami menaiki kapal tersebut menikmati tiupan angin Nil yang tenang. Walaupun kapal tersebut mungkin tidak lulus jika di periksa orang jabatan pengangkutan, akan tetapi setiap penumpang kelihatan begitu tenang dan menikmati kenyamanan udara petang itu.

Kami turut merasakan ketenangan seperti mana yang mereka rasakan. Akan tetapi mereka tidak dapat menyembunyikan kepelikkan dan keanehan yang jelas terpancar dari wajah mereka. Tentu mereka tertanya-tanya siapakah makhluk asing ini yang datang ke pulau kami. Pulau sekecil itu. Pasti setiap penduduknya saling mengenal siapa yang tinggal di pulau itu.

Kami berjalan menuju ke masjid yang berada di tengah-tengah pulau tersebut. Azan yang berkumandang bersama tergelincirkan matahari menghilangkan keresahan hati yang dirasakan sejak di gereja tadi.

Kami tiba di masjid tepat ketika azan. Masjib besar itu masih belum siap dibina. Bilik air lelakinya terkunci, kami menuju bilik air perempuan. Tiada air. Setelah berusaha mencari, kami memutuskan untuk menuju ke sungai Nil. Tebing sungai tersebut yang penuh dengan sampah menghilangkan keinginan kami untuk berwudhu’ di situ. Kami sangat mengerti bahwa air tersebut tetap suci walaupun sampah sarap ada di situ. Kami terus berusaha akan tetapi gagal menemukan tebing yang kuat yang mampu menampung berat badan kami. Kami bercadang untuk kembali ke masjid. Ada seorang pakcik duduk di rumahnya. Dengan selambanya kami menanyakan air padanya untuk berwudhu. Dia kemudian bangkit dari duduknya. Dia memakai serban dan jubah yang bersih dan rapi. Dia tidak menjawap pertanyaan kami. Dia malah memberi kami puluhan pertanyaan. Iqamah telah pun berkumandang. Dia malah bangkit dan semakin rancak memberi pertanyaan. Timbul perasaan pelik di hati kami. Mengapa dia tidak bersedia untuk solat. Dia bahkan tak mengerti atau pura-pura tidak mengerti bahwa kami sedang terburu-buru agar tidak ketinggalan solat berjemaah di masjid. Kami terpaksa meninggalkannya tanpa memperdulikan soalan-soalannya.

Tiba di masjid solat telah pun didirikan. Ada beberapa orang budak melintas di hadapan kami memasuki masjid. Segera aku menanyakan dimana mereka berwudhu. Kami hanya sempat mengikuti rakaat terakhir bersama imam. Setelah selesai solat aku meneruskan solat sunat dan abah menjama’ dengan solat isya. Ketika kami selesai masjid telah pun kosong. Ada seorang pak cik yang sedang menunggu kami di pintu masjid. Dia memegang kunci pintu masjid dan menunggu untuk menguncinya. Masjid di sini tidak dibiarkan terbuka setiap masa. Aku tidak sampai hati meninggalkan pak cik begitu sahaja maka aku ajukan beberapa pertanyaan. Aku tanyakan berapa ramai penduduk muslim di pulau kecil ini. Dia kemudian menceritakan bahwa gereja besar yang berdiri di pulau itu bukan kerana ramainya penganut kristien di situ, melainkan mereka mendapat dana dari luar negara untuk menyebarkan dakyah sesat mereka. Sedang kami sibuk berbincang pak cik tadi yang kami temui sebelum solat jalan di hadapan kami. Aku segera melambaikan tangan dan berkata, “Assalamualaikum pak haji” namun, lelaki itu sama sekali tidak mengendahkan sapaan aku. Setelah beberapa langkah meninggalkan kami. Pak cik yang bersama-sama kami memberi tahu yang dia adalah seorang kristen. Alangkah terkejutnya aku mendengarkan perkara itu. Perasaan gundah hadir lagi. Bulu romaku berdiri. Darah mengalir pantas. Kali ini aku gagal membezakan siapa seorang muslim dan siapa seorang kafir.

“Orang kristien rupanya.” Ucapku sekali lagi. Aku menunggu respon dari abah. Abah malah mempercepat langkah mengejar lelaki tadi. “Ambillah gambar dia.” Abah memberi perintah. Aku segera menegur pak cik tadi dan meminta untuk bergambar.

Pulau itu benar-benar memberikan kesan yang mendalam bagi kami. Dua peristiwa yang serupa terjadi pada satu hari. Ianya sangat terkesan dan memaksa kami untuk terus merenung dan mengambil iktibar. Ratusan soalan bermain di minda kami. Aku bertanya kepada diri sendiri, “Apakah bezanya diri ini dengan pak cik dan mak cik tadi?”

Kita jarang tertipu dengan diri kita sendiri. Teringat kisah seorang atok di kampung yang dengan bangganya menceritakan bahwa dia tidak pernah melepaskan kopiahnya semenjak menunaikan haji. Tapi pada masa yang sama dia terlupa yang dia masih lagi tidak kenyang menelan asap rokok. Dia juga terlupa yang dia sering keluar rumah tanpa baju di badan hanya ada kain pelekat dibawah pusat dan kopiah di atas kepala.

Kapal Layar yang kami naiki

Pakaian kita bukan tanda dan bukti keimanan kita. Jangan kita membohongi diri kita dengan serban dan tudung, gelaran ustaz dan ustazah, mana di kad pengenalan kita yang islami. Itu semua tiada nilainya.

Akhirnya kita sama-sama sedar bahwa ramainya mereka yang bertudung dan berkopiah melakukan maksiat di tempat-tempat awam seperti taman dan tandas merupakan hal yang tidak pelik. Iman tidak diukur dengan tebalnya serban atau lebarnya tudung bahkan tidak pada hitamnya dahi.

Kami meneruskan perjalanan ke arah Nile Hilton. Abah menceritakan perkembangan anak-anaknya yang lain. Perkara-perkara yang berkaitan dakwah dan perjuangan turut dibincangkan. Kakiku yang sudah lecet mula meminta untuk direhatkan. Namun bangunan Nile Hilton tidak juga kelihatan. Pelik. Berulang kali aku membuka buku yang di dalamnya terdapat peta, pemandu kami. Aneh, seharusnya kami telah pun tiba di Nile Hilton kerana di peta jaraknya tidaklah jauh. Mengapa setelah berjam-jam kami berjalan tidak kunjung sampai. Kami terus berjalan dan berjalan. Namun hatiku tidak dapat tenang. Akal sihatku juga mendesakku untuk berfikir. Sangat tidak masuk akal jarak sedekat itu kita tempuh dalam masa yang begitu lama. Hati jernihku berbisik hanya ada dua kemungkinan, pertama, peta ini salah. Kedua aku yang salah membaca peta. Aku memutuskan untuk menanyakan buat kali ketiga. Kali pertama aku bertanya kepada seorang lelaki yang sedang berjalan dengan seorang perempuan yang aku duga adalah kekasihnya. Dia menyatakan ketidak tahuannya mengenai Nile Hilton. Kedua, kutanyakan kepada seorang yang sedang memperbaiki keretanya. Dia berjas dan tali leher. Dia mengatakan arah yang ku tuju ini tidak salah. Kali ini aku ingin bertanya kepada seorang penjaga keselamatan di sebuah dewan milik sebuah syarikat di pesisiran sungai Nil. Jawapan yang dia berikan sangat memeranjatkan. Nile Hilton yang kami cari berada jauh di belakang kami. Aku salah melihat peta. Walaupun demikian aku tidak menyesali kesalahan diri. Seandainya kami berada di jalan yang benar kami tidak akan sampai ke pulau tersebut. Kami juga dapat berkongsi banyak hal dalam perjalanan kami berjam-jam tadi. Perkongsian yang bahkan jarang dilakukan oleh mereka yang bahkan duduk sebumbung.

Salahkah aku jika mengiranya seorang muslim???

Kami kemudian sepakat untuk meneruskan perjalanan menuju ke ujung kota kaherah ia itu Helwan. Helwan malam itu penuh dengan manusia. Malam hujung minggu. Kami berputar mengelilingi maidan Helwan yang tidak jauh bezanya dengan alun-alun yang ada di setiap kota di Indonesia. Sesak. Pelbagai barang diperdagangkan di situ. Setelah menikmati makan malam kami mengambil microbus (van@tramko) untuk pulang. Kami tiba di rumah jam sebelas lebih malam.

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share