Bukan masa yang pantas berlalu…
Posted on September 16th, 2007 in Uncategorized
Bukan masa yang patas berlalu akan tetapi kitalah yang lambat mengejarnya…
Syeikh Ratib Annabilusi di dalam bukunya “at-taammulat fil islam” mengkhususkan sebuah subtopik yang membicarakan tentang surah Al’asr di penghujung bab aqo’id . Permasalahan waktu beliau masukkan ke dalam bab kepercayaan. Sebesar itukah keutamaan perkara ini??? Sedarkah kita kepentingan hal ini ???
Â
Surah Al’asr yang begitu pendek namun memiliki penekanan yang jelas dan tepat juga TEGAS.
“…sangatlah rugi mereka yang apabila Ramadhan telah pun pergi dan dosanya masih belum terampuni..” maksud hadis.
Jangan salahkan ramadhan yang cepat berlalu, sedang kini ketika ia masih muda dan segar enggan kau raih dan rangkul. Kejarlah ia, sapalah dengan mesra, raihlah hatinya,tidak perlu malu apalagi segan. Andai saja kau mula dengan senyuman dan teguran mesra, ramadhan pasti akan membalas senyummu, bahkan dia akan melayanmu dengan baik, Ramadhan juga sangat merindukanmu seperti mana kamu merindukannya. Ramadhan akan berlari dengan rahmat, maghfirah dan ‘itqun minan nar seandainya kau mahu menyambutnya hangat penuh kerinduan.
Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali :
1. Orang yang beriman
Beriman adalah orang yang mengetahui dan mempercayai dengan lidah, hati, dan seluruh badan (tingkah laku) akan wujudnya Allah SWT dan keberadaanNya sebagai Tuhan yang layak disembah dan Maha Penguasa yang layak diabdikan diri kepadanya. Secara automatik dia juga akan percaya kewujudan dia sebagai hamba Allah SWT yang mengemban amanat berat dan dahsyat iaitu untuk menjadi khalifah di atas muka bumi.
Seorang yang tahu beratnya tugas, lemahnya keupayaan, sempitnya peluang, akan benar-benar menyusun strategi agar setiap peluang yang datang dimanfaatkan dengan baik.
Perhatikan bagaimana seorang pemain bola yang yakin akan fungsinya sebagai seorang striker sebagai contoh, dia sedar akan peluang yang datang hanya seketika, dan sekali peluang itu datang maka dia harus benar-benar menggunakannya dengan baik. Jika kaki lambat digerakkan setengah detik sahaja, maka bola tidak akan memantul sebagaimana sepatutnya dan mengakibatkan lesapnya peluang.
Orang yang percaya hakikat dan fungsi dirinya tidak pernah mensia-siakan peluang.
2. dan melakukan amalan yang baik (sholihat)
Seorang yang percaya akan fungsi dan hakikat diri tentunya akan menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya. Peluang yang jarang-jarang datang tidak akan disia-siakan dengan kesalahan yang sepele. Dia yakin dengan peluang yang ada, dan kemampuan yang dia punya. Maka dia hanya memfokuskan dirinya untuk mempersembahkan yang terbaik.
Amalan yang baik adalah buah dari ke-Iman-an yang subur.
Mereka tidak pernah akan sia-siakan peluang.
3. Yang berpesan-pesan tentang KEBENARAN (Haq)
Kebenaran adalah hal yang paling susah ditegakkan. Manusia berhadapan dengan hawa nafsu, lingkungan, sahabat-sahabat dan ribuan lagi perkara yang mencabar tercapainya sebuah kebenaran. Mereka yang berpesan kepada kebenaran tentunya mengenal pasti hakikat kebenaran. Bagaimana mungkin dia dapat mengingatkan akan kebenaran jika dia sendiri tidak mengerti mana yang benar.
Pengetahuan akan kebenaran dan cabarannya menuntut kepada pengetahuan akan peluang dan kesempatan. Mana mungkin mereka leka sedang mereka memikul tugas berat mengangkat kebenaran.
Seorang yang berkayakinan (iman) kemudian menindak lanjuti apa yang diyakini dengan amal sholeh (tindakan) telah menjaga dirinya daripada tergelincir ke golongan mereka yang rugi. Ketika mereka melangkah ke tahap berikutnya iaitu berpesan akan kebenaran, maka mereka telah berusaha untuk mencegah diri sendiri dan orang lain dari mensia-siakan peluang.
Interaksi antara sekumpulan individu dalam berpesan-pesan akan kebenaran memelihara setiap satu dari mereka dari bahaya leka dan kerugian.
4. Yang berpesan-pesan tentang SABAR
Manusia merupakan makhluk istimewa yang mempunyai perasaan. Cabaran, tantangan, ujian, bahkan derita yang ditanggung dalam menegakkan kebenaran mempu membuatkan seseorang lemah bahkan berputus asa. Menjadi sunnatullah bahwa dunia ini merupakan tempat ujian, seperti mana yang difirmankan di dalam al-Qur’an, “allazi khalaqal mauta wal hayata liyabluwakum ayyukum ahsanu amala..” yang bermaksud, “..Dialah yang menciptakan kehidupan dan kematian untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya..”. Maka dalam mengharungi kehidupan yang demikian coraknya maka kumpulan yang mahu berpesan-pesan tentang sabar dapat menjaga keutuhan dan kelancaran sebuah perjalanan.
Sabarlah yang dapat menceriakan sebuah derita. Sabarlah penawar yang memaniskan suatu yang pahit. Dan dengan sabarlah peluang tetap ditunggu dan dikejar. Dengan sabar jugalah usaha terbaik dilaksanakan pada setiap peluang yang datang. Maka mereka yang berpesan-pesan tentang sabar tidak pernah akan rugi.
Ayuh kawan, peluang yang lama kita tunggu telah tiba. Ramadhan hadir menyapa kita. Rahmat, maghfirah dan ‘itqun minan nar adalah buah tangannya untuk kita kongsi bersama. Ayuh sama-sama kita nikmatinya. Ayuh sama-sama kita kongsi bersama. Ayuh kita gembirakan Ramdhan dengan usaha meningkatkan TAQWA. Ayuh kita ceriakan Ramadhan dengan menghidupkan malam-malam kita. Ayuh teman… Jangan persiakan…Â
Jangan sampai airmata penyesalan menitis andai ini merupakan Ramadhan kita yang terakhir..

Leave a Comment