Â
Pagi tadi sekitar jam dua pagi, aku berjaya menamatkan bacaan sebuah Novel Drama karangan penulis terkenal tanah air yang telah begitu sering mendapat penghargaan iaitu Faisal Tehrani. Aku sempat terkejut juga melihat segala pencapaian yang telah beliau raih akhir-akhir ini. Bahkan, beliau turut dinobatkan sebagai the most outstanding Malaysian oleh Majalah faces edisi Ogos 2005. Maklumlah kerana usia remajaku dilalui di Indonesia, maka aku lebih mengenal Helvi Tiana Rosa, Asma Nadia, Golagong dan lain-lain dibanding sasterawan Malaysia.
Novel Drama terbaru beliau ini berjudul Bila Tuhan Berbicara. Sebuah novel drama yang segar. Ini pertamakali aku menjumpai Novel Drama yang begitu Islami.
Novel Drama ini berjaya menyulap pembaca menjadi seorang penonton yang sedang asyik menikmati drama di sebuah gedung seni semewah Istana Budaya.
Mesej yang dibawa juga jelas namun sangat berat. Pembicaraan yang panjang dan melelahkan. Namun ia sangat sesuai dengan motif yang dibawa. Masalah keimanan merupakan perkara serius yang perlu ketegasan dalam membicarakannya. Isu kepercayaan ini berjaya dihidangkan dengan tampilan yang begitu menarik dan indah. Paling tidak sedikit meringankan tekanan berat mesejnya.
Novel Drama ini banyak menyuntik semangat para seniman untuk segera mensiasati hala tuju seni lalu mengarahkannya ke arah yang lebih utama dan penting. Seni hari ini telah kering dari nilai. Entah nilai peradapan, kemanusiaan, sopan santun, kemasyarakatan atau nilai agama sekali pun. Akhirnya ia hanyalah seni, sekadar seni tanpa erti.
Novel Drama Bila Tuhan Berbicara ini, mungkin tidak dapat mengalirkan air mata si penonton (pembaca). Namun, ia berjaya mengajak kita untuk seketika berfikir akan keadaan kita hari ini. Jika selama ini Tuhan telah pun berbicara dengan bahasa Tsunami, gempa bumi dan banjir yang tidak sedikit pun kita dengari. Maka Novel Drama ini berusaha untuk sama-sama mengulang kembali lalu merenungkan segala pembicaraan Tuhan tersebut.
Penulis Novel Drama ini turut juga berhasil menggambarkan perjalanan sebuah kehidupan secara keseluruhan dengan mengaitkan tiga hal utama iaitu 1. lampau, 2. kini dan 3. akan datang. Ketiga hal ini sangat penting agar manusia itu sedar asal usulnya kemudian menentukan tindakkan sesuai dengan panduan dan petanda yang telah diberikan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.Â
Di sisi lain, Novel Drama ini berusaha mengcounter hegemoni barat tentang terorist. Memang tidak ditegaskan disini adakah Razlan itu ditentang atau disetujui. Namun paling tidak, Razlan berjaya memperlihatkan sisi baik seorang muslim walaupun dengan sikap yang ‘mereka’ anggap terorist itu. Memang berat sebelah jika para mujahidin sahaja yang digelar terorist padahal Bush Raja Terorist dipakaikan jas kedamaian. Curang sungguh!!!
Mazlan dan Sahlan pula secara lembut telah terbawa dengan tarikan rasional dan emosional yang keduanya mewakili fitrah lalu akhirnya hanyut dan terdampar di pintu taubat. Kedua Mazlan dan Sahlan yang sebelumnya begitu jauh dengan Islam sejati bahkan mungkin terperosok dalam liberalisasi agama dan jiwa dapat juga berubah jika adanya dorongan keadaan. Ya keadaan bukan hanya yang terjadi tiba-tiba, namun keadaan juga sebenarnya mampu kita cipta. Seandainya saja Sahlan mahu berfikir sejak awal lagi, dan menjadikan segala penyelidikannya dan pekerjaannya sebagai satu ‘keadaan’, tentunya dia akan menemukan hidayah sebelum bertemu Razlan.
Di Novel Drama ini juga terdapat beberapa titik yang perlu sama-sama kita renungkan terutama dalam menilai sebuah peradaban atau tamadun. Perihal Paduka Ratu, Mak Tua dan Memanda Menteri dalam mencari guideline dalam membinaan negara ‘Dunia Baru’ mereka, seharusnya menjadi pengajaran kepada kita yang kini telah bertamadun. Keadaan kita yang mengakui bertamadun, namun hidup umpama haiwan di hutan yang bertindak sewenang-wenang perlu diberi perhatian. Apalah erti bangunan setinggi langit, rumah semewah istana, kereta secepat kilat jika maruah diri digadai bak anjing yang mencuri tulang, harimau yang makan anaknya sendiri, atau itik yang membuang telurnya agar dieram ayam.
Pementasan ini juga dihibur dengan kehadiran pengarang dan pengarah yang seakan mencabar seluruh seniman tanah air untuk kembali menyemarakkan sastera bernilaikan jiwa agama. Umat Islam itu kreatif. Islam itu sendiri sangat menuntut agar kreatif. Bukan syariaat yang hambat kemajuan. Tapi kemajuan tanpa syariaat adalah kemunduran. Ayuh hidupkan kembali seni Islam!!!
Nota : Jika anda telah membaca Novel Drama ini, sila tinggalkan komen anda mengenainya. Terima Kasih..Â






