Berikan Apa Yang Diperlukan!!

Posted on May 20th, 2008 in Kritik, Peribadi

Masalah kita adalah tidak memberikan apa yang sebenarnya yang diperlukan. Itulah yang bermain di mindaku ketika melangkah keluar dari hotel berbintang enam beberapa hari lalu. Perut yang kenyang, mata yang mengantuk dan angin yang sepoi-sepoi membuatkan aku pulang dalam keadaan selesa padahal sebenarnya aku sangat sedih kerana tidak mendapatkan apa yang sebenarnya yang aku perlukan. Keadaan seperti ini jika berterusan bakal menghilangkan deria rasa kita. Hilang kepekaan adalah suatu yang bahaya!

Wajarkah aku mempertikaikan?

Kadang memang tidak perlu diambil peduli. Sudah baik beliau ingin bertemu pelajar. Bahkan beliau sanggup belanja makan lagi. Hak mutlak ada pada beliau untuk menyampaikan dan memberikan apa saja yang beliau mahu. Melihat dari sisi ini tentunya tidak wajar sekali bagi kita untuk mempertikaikan.

Namun kadang kala kita perlu ingat bahawa peluang sebegini adalah suatu yang jarang-jarang dimiliki. Seorang pemimpin nasional yang berjawatan paling tinggi bertatap mesra bersama para pelajar. Setidaknya kesempatan seperti ini perlu digunakan dengan sebaiknya. Bukan untuk mempengaruhi pelajar tetapi untuk mendidik. Peluang sebeginilah seharusnya seorang pemimpin menunjukkan dan memperlihatkan apa yang tidak diketahui dari media. Waktu-waktu inilah sepatutnya digunakan untuk sekedar memberikan rasa bangga memiliki pemimpin seperti dia. Malangnya itu semua tidak digunakan malah disia-siakan.

Bukan sekali dua aku menghadiri majilis ramah mesra yang sebegini. Mungkin jika disenaraikan majlis umpama yang aku hadiri malam tadi adalah yang kesekian puluh kalinya. Seawal usia 14 tahun aku sudah pun menghadiri majlis ramah mesra bersama PM Malaysia ketika itu. Majlis yang hampir sama dengan apa yang aku hadiri beberapa hari lalu hanya bezanya, waktu itu tempatnya di Jakarta dan kali ini di Kaherah. Dulu, PM menyampaikan perkara-perkara yang sedikit ber’isi’ dibandingkan kali ini.

Pada keadaan yang sebegini aku teringat akan sebuah buku yang berjudul, “Agar Kita Tidak Lari Jauh Dari Keperluan Masyarakat”. Sebuah buku panduan kepada para pendakwah.

Seorang pemimpin yang cemerlang adalah seorang yang mampu mencipta pemimpin-pemimpin lain dan bukan sebaliknya. Untuk mampu mencipta pemimpin-pemimpin kecil, sang pemimpin perlu mendidik mereka agar mampu menjadi seperti dia. Semua yang didengar, dilihat, dirasakan dan dilaksanakan adalah pendidikan. Maka, seorang pemimpin yang bijak tidak pernah sama sekali mensia-siakan peluang mendidik walaupun hanya dalam masa pertemuan sejam dua. Sejam dua itu besar dan agung nilainya jika benar-benar dimanfaatkan.

Aku terkenang pengalaman dikunjungi seorang Presiden yang hanya memegang tampuk pemerintahan dalam masa yang amat singkat. Namun, dengan masa yang singkat itu beliau berjaya mengurangi sedikit keterpurukkan negeri itu. Walaupun pada akhirnya dia terpaksa memikul tanggung jawap atas terlepasnya tanah Timor Laste dari negaranya. Beliau yang saya maksud adalah BJ. Habibi. Aku sempat mendapat kunjungan beliau ke sekolahku. Ketika itu bulu-bulu halus dibawah daguku baru sahaja mahu keluar. Aku masih di sekolah menengah. BJ Habibi ketika itu menyampaikan pidato beliau yang tidak berapi-api akan tetapi sarat dengan maklumat yang tidak dapat aku pahami ketika itu. Beliau menyebut istilah ‘super power’ berulang kali. Aku hanya mampu mendengar dengan teliti dan merakam seberapa banyak yang aku mampu. Seiring dengan berlarinya waktu, aku pada kemudian harinya sedikit mengerti apa yang disampaikan BJ Habibi kepada kami. Beliau sebenarnya menceritakan bagaimana kuasa besar dunia (Amerika) mempengaruhi atau kata yang lebih tepat menghancurkan polisi politik dalam negeri.

Hari ini aku berkata pada diriku, BJ Habibi membahas isu sebesar itu dihadapan kami yang masih hingusan. Entah berapa peratus dari 4500 pelajar ketika itu yang paham. Sia-sia bukan ucapan demikian! Eh, tidak saudara! Sesungguhnya tidak! Setelah beliau dilengserkan kerana beliau merupakan kroni Suharto. Kami yang pernah mendengar ucapan dia buka mata. Kata-kata beliau ketika itu meninggalkan kesan mendalam pada hati-hati kami untuk mempertahankan dan memperjuangkan tanah ini dari dipermainkan pihak musuh. Beliau berjaya menyuntik kepedulian ilmu, kerja keras dan semangat patriotik. Beliau berjaya membuatkan sebahagian besar dari kami berkata kepada diri kami, “Aku harus bangkit!”

Sudah saatnya pemimpin-pemimpin kita merubah cara berfikir dan bertindak. Pelajar yang mungkin masih mentah perlu diberikan didikan dan peluang yang sewajarnya. Kekritisan perlu dipupuk sehingga menjadi pencetus kemajuan menyeluruh. Kita tidak mahu yang maju hanya segolongan seperti negara-negara yang masyarakatnya berkasta-kasta. Pemimpin bertemu masyarakat dengan memberikan sedikit manisan lalu masyarakat ditipu.

Salahkah aku kecewa?

Salahkah aku kecewa ketika melihat negaraku diserang dari segenap penjurunya namun, pemimpin tidak sedikit pun mahu berkongsi kesusahannya bersama kita. Mengapa tidak beliau kongsikan kepayahannya menurunkan harga minyak, harga beras dan harga barangan lain yang kian hari meninggi? Mengapa tidak beliau kongsikan dilema menghadapi masalah sosial dan jenayah yang semakin teruk? Mengapa beliau tidak menceritakan susahnya meraih kesepekatan negara-negara Islam untuk sekedar membantu Palestin?

Atau mungkin…

Ooh.. Aku sangat tidak berharap kabar angin yang mengatakan kesemua ini disebabkan pemimpin-pemimpin kita sendiri adalah suatu yang benar. Malangnya keadaan ini seakan mengiyakannya.

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share