Berani Mati!
Posted on May 2nd, 2010 in Bahasa dan Sastera
“Ayah, tentera Jepun mai!” Pekik Melati yang ketakutan. Semua jadi kelam kabut. Mak yang di dapur pun berlari masuk ke bilik. Beras simpanan sudah lama ditaburkan disetiap inci lantai rumah. Berlapis-lapis tikar menutupinya. Itulah barang yang paling berharga saat itu.

Melati melihat ayahnya sedang kalut. Ternyata ayah sedang risau. Senapang miliknya itu boleh menjadi penyebab salah sangka. Tentera Jepun pasti akan menyangka yang ayah merupakan seorang tentera. Ayah tidak kehabisan akal. Senapang patahnya itu diambil lalu dilemparkan dengan sangat kuat melalui lubang aliran angin. Senapang itu sepatutnya mendarat di kawasan kebun pisang sebelah rumah.
Tentera Jepun baru sahaja memasuki kampung kami. Menurut berita dari kampung-kampung sebelah yang lebih dulu ditawan Jepun. Tentera Jepun akan memeriksa setiap rumah bagi memastikan mereka benar-benar rakyat jelata. Bagi mereka, tentera yang menyamar sebagai rakyat adalah ancaman besar kerana mereka ini berpotensi mempengaruhi rakyat menentang Jepun. Seperti biasa, ketika mereka membuat rondaan, mereka akan berkelakuan sesuka mereka. Beras dan keperluan asas dengan sewenang-wenangnya dirampas. Jika bernasib malang, anak dara turut dibawa bersama mereka.
“Hang pa semua duduk ja dalam rumah. Jangan buat apa-apa!” Pesan terakhir ayah sebelum bertindak. Baginya, lebih baik berdepan dengan Jepun dan membuatkan mereka yakin untuk tidak memeriksa rumah ini.
Nama sebenar ayah adalah Haji Amad Tok Liat. Liat itu sesuai dengan dirinya yang keras hati. Pernah suatu ketika dia terjangkit kudis buta di hujung jari telunjuknya. Kudis itu sangat teruk dan sangat menyakitkan. Kerana terlampau keras hati Tok Liat ini, dia mengambil sebilah parang dan memotong sebahagian jarinya yang terkena kudis itu. Bayangkah sahaja betapa liatnya hati Tok Liat!
Tok Liat keluar dan cuba berbicara dengan Tentera Jepun. Tentunya mereka saling memahami dengan isyarat. Usaha memahamkan satu sama lain dengan bahasa gagal walau mereka tetap saling bicara. Melati yang meneropong semua itu dari celah dinding kayu rumahnya terkejut melihat ‘drama’ itu. Ayahnya membongkokkan badan dan menyodorkan kepala ke arah Jepun. Hampir sama dengan posisi seorang yang sedang rukuk dalam solat cuma kepala agak ditinggikan. Ayah memberi isyarat kepada Jepun untuk memenggal kepalanya. Seakan-akan ayah cuba berkata, “Kalau kalian tak percaya bahawa kami ini rakyat jelata dan bukan tentera, penggal saja kepala ini!”
Tok Liat tidak banyak berfikir ketika itu. Keberaniannya membuatkan dia berani mencabar jepun-jepun keparat ini. Setelah agak lama menyodorkan kepala, tiba-tiba diri Tok Liat diselubungi ketakutan yang dahsyat. Kakinya terketar-ketar. Wajahnya mulai pucat. Mungkin jika tidak kuat, dia pasti sudah terkencing. Bagaimana Tok Liat tidak takut, senapang yang tadi dilemparnya terlihat berada di beberapa meter di belakangnya . Senapang itu terlihat kerana dia membungkukkan badan sehingga matanya berleluasa melihat pemandangan terbalik antara kedua kakinya. Tak disangka senapang itu jelas kelihatan dari tempat dia berdiri saat ini.
Komando Tentera Jepun itu memang terpengaruh dengan tindakan Tok Liat. ‘Drama’ lakonan Tok Liat itu berjaya menguburkan niat Jepun untuk memeriksa rumah. Bahkan kawasan pokok pisang di tepi rumah pun tidak mereka dekati. Sambil memberi isyarat, Komando itu berlalu meninggalkan Tok Liat yang masih terpaku dan membatu dalam ketakutan yang dahysat. Tentera Jepun telah meninggalkan kawasan rumahnya. “Gedebukk!!” Tok Liat rebah ke bumi. Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaannya ketika itu. Andai saja salah seorang dari mereka melihat senapang itu. Ah! Tak taulah apa yang terjadi..
*Kisah warisan keluarga. Diceritakan kepada generasi cucu-cicit agar mengerti susahnya kehidupan dan perjuangan.



Leave a Comment