Barukah Iman kita di tahun baru?

Posted on January 8th, 2008 in Uncategorized

Setelah seminggu berlalu, kini, tiba pula tahun baru mengikut hitungan kalender Islam. Tahun yang perhitungannya dimulakan dari peristiwa hijrah Rasulullah SAW. Peristiwa yang begitu besar nilai dan kesannya kepada Islam. Peristiwa yang selalu menjadi contoh dan pengajaran bagi seluruh umat manusia hingga ke akhir zaman. Peristiwa yang menjadi bukti dan tanda bahwa perjalanan ini tidak ada enaknya, penuh ranjau dan durinya, cabaran, dugaan dan rintangan adalah ciri-ciri utamanya. Perjalanan perit ini perlu kita tempah.. Pilihlah jalan derita!!

Ya! Perjalanan ini kita yang pilih dan kita yang tentukan. Boleh kita hidup dalam zon selesa penuh kemewahan, akan tetapi akankah kita berpuas dengan yang sedemikian itu? Semewah apakah kehidupan ini? Seselesa manakah dunia ini?

Hari yang berlalu makin mencatatkan ketuaan dan kelelahannya. Seakan dengan jujur hari berkata “Aku sudah semakin tua, usiaku tidak akan berlanjut lama.” Kata-kata itu dapat kita dengar dengan jelas pada rintihan dan tangisan bumi akibat luka dan kesakitan yang dialami akibat ulah tangan-tangan keji manusia. Lihat saja parut akibat Tsunami dan puluhan bahkan ratusan bencana alam lainnya. Bukan itu sahaja, hari tambah tersiksa batin melihat ulah manusia ditahun baru. Maksiat dan jenayah menjadi perkara biasa. Makin bertambah, makin bermaharajalela.

Lucu melihat keadaan manusia hari ini. Pada malam tahun baru semua channel tv dan radio memperlihatkan program-program sambutan yang isinya penuh hiburan dan kelalaian. Keesokan harinya mereka juga yang memperlihatkan kesan dari program-program tersebut yang tentunya semuanya negatif. Bahkan, mereka jugalah yang mengutuk dan menyalahkan. Seakan-akan yang salah itu mutlak mereka yang melakukan, padahal jalan itu mereka yang bentangkan. Mereka yang nyalakan api dan menyediakan minyak-minyak di sana sini, ketika orang ramai menyimbah minyak ke api itu, mereka pula yang berteriak dengan kuat, “Mereka teruk!!! Mereka keji!!!”

Menatapi akhir tahun ini, tiada gunanya terus menerus menuding jari. Pembaharuan selalu bermula dari diri sendiri. Diri sendiri pula sering kali gagal dikuasai. Memang manusia itu diciptakan lemah. Itulah mengapa sholat menjadi tiang. Sholat menjadi tiang penting sebagai sarana manusia untuk selalu memperbaharui iman. Perhatikan sahaja semua gerakan dan bacaan dalam solat. Apakah erti semua itu jika bukan untuk memperbaharui iman?

Iman perlu diperbaharui. Sarana utamanya sudah pun kita ketahui  (solat). Itulah sebabnya mengapa sholat merupakan penghalang utama kepada perkara keji dan munkar. Akan tetapi dengan solat sahaja tidak cukup. Hadis yang lain menyuruh kita untuk memperbaharui Iman dengan ucapan ‘La ilaha illallah’. Dengan demikian kita melihat bahwa adanya perintah tentunya kerana adanya alasan. Hakikat mengatakan bahwa iman itu juga ternyata memiliki sifat tidak stabil. Naik dan turun. Bertambah dan berkurang.

Ketika melihat keadaan pasaran suatu produk yang kita jual di dalam sebuah carta. Kita dapat mengenal pasti hasil jualan kita meningkat dan menurun pada bulan-bulan tertentu. Dengan demikian kita dapat mengubah perfomance dengan mengatur strategi setelah mempelajari hasil statistik jualan produk kita pada tahun-tahun yang lalu. Jika ia dikaji dengan baik dan benar, maka hasil yang bakal kita peroleh adalah peningkatan jualan produk pada setiap tahun walaupun keadaan pasar yang selalu berubah rubah. Begitulah halnya dengan iman kita. Kita perlu lebih detail dalam mempelajari keadaan iman kita, sedetail kita mengkaji keadaan pasaran. Walaupun iman yang bersifat berubah-ubah masih sentiasa dapat kita kawal dan arahkan menuju ke tahap yang lebih baik.

Seseorang yang sentiasa berjemaah di masjid akan meresakan kesan buruk ketika dia tidak melakukan hal tersebut. Begitu juga mereka yang sentiasa solat malam akan merasa janggal dan sedih jika gagal menunaikannya. Lalu bagaimanakah jawapan yang perlu diberi kepada mereka yang bertanya, apa nikmatnya solat? Masalahnya adalah, keindahan solat itu bukan dapat dirasakan dengan paksaan. Juga bukan dapat dirasakan dengan cuba-cuba. Seperti orang yang berusaha untuk kurus. Dia melakukan lari selama 5 jam pada satu hari kemudian dia tidak lagi melakukannya pada hari berikutnya. Akankah dia merasakan perbezaan pada dirinya? Ya. Dia akan merasakan sakit dan terseksa. Lain halnya jika seseorang konsisten berlari satu jam setiap hari berterusan dalam 12 bulan. Tentunya, kesihatannya akan meningkat, berat badannya juga akan menurut. Tanyakan saja padanya apakah nikmat berlari? Jawapannya pasti tidak akan sama dengan orang yang pertama tadi.

Maka, pada setiap tahun baru, marilah kita letakkan tahap yang lebih tinggi untuk target pencapaian iman kita. Pelajari statistik iman kita pada tahun-tahun yang lalu. Perbaiki strateginya dan tingkatkan persembahannya. Hanya itulah cara yang efektif untuk meningkatkan keimanan.

Selamat Tahun Baru semua!!!

Semoga kita dalam terus memelihara iman dalam diri. Semoga ucapan dan kelakuan kita sama, seiring.

Kullu amin wa antum bi khair, taqabbalallahu minna waminkum sholihal a’mal..Â

Jangan lupa tugas kita pada tahun ini untuk menjawab persoalan “Apa erti saya menganut Islam?

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share