Ayuh Menuntut Di Fakulti Bahasa Arab!

Posted on August 3rd, 2009 in Bahasa dan Sastera

Pada 21/7/2009 saya menerima satu komen dari pembaca blog ini bernama telaga. Beliau menulis begini, “kebetulan sedang lemah semangat. Alhamdulillah,terbaca entri ni.. Sangat menggugah semangat. Ana calon pelajar Lughah di Mesir. Pernah seorang berkata, “kos Lughah, apa sumbangannya untuk islam!?” Kalau boleh tulislah tentang penerangan pembelajaran kos lughah di mesir. Terima kasih banyak.”

Saya memang bercadang untuk menulis lebih banyak artikel mengenai pentingnya Bahasa Arab dan segala yang berkaitan dengannya. Namun untuk kesempatan ini saya harap perkara-perkara yang ingin saya sampaikan nanti dapat menjadi penyebab, pemotivasi dan pendorong untuk adik-adik yang ingin mengambil kuliah ini. Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu adik-adik perhatikan.

1. Kuliah Bahasa Arab mempunyai peranan dan sumbangan yang sangat-sangat besar untuk Islam. Ada ulama yang menyatakan bahawa bahasa Arab wajib dipelajari oleh setiap muslim. Mereka yang berpendapat seperti ini meyakini bahawa seandainya sesuatu yang dengannya sempurna suatu yang wajib maka ia juga adalah wajib. Contohnya solat yang tidak akan sah melainkan setelah wudhu’ maka wudhu’ adalah wajib kerana ia merupakan  syarat  sahnya solat. Seandainya manusia tidak akan kenal Tuhan melainkan dengan memperlajari Bahasa Arab maka Bahasa Arab adalah wajib kerana ia menjadi syarat sampainya aqidah. Namun, kita bersikap sederhana dalam hal ini kerana hari ini tanpa mempelajari bahasa Arab pun manusia dapat beriman dan bertaqwa.

2. Sarjana-sarjana Bahasa Arablah yang telah memainkan peran besar sehingga Islam masih terpelihara hingga hari ini. Lebih 1400 tahun namun tetap terpelihara. Bahkan Allah SWT menciptakan golongan ini khusus demi menjadi musabbab atas terpeliharanya Al-Quran mukjizat sepanjang zaman.

Siapa yang menghadiahkan titik kepada ba’, ta’, tsa’, dzal, zai, jim, dhod, fa’, qaf  dan seterusnya kalau bukan sarjana bahasa Arab? Siapa yang menyusun Nahu menjadi sebuah disiplin ilmu yang kukuh sehingga kita dapat mengenal pasti mana subjek, mana prediket, mana objek dalam sebuah ayat? Siapa yang menyusun Sorof sehingga kita dapat mengenal pasti asal usul sebuah kata dan perubahan makna yang berlaku dalam setiap perubahan bentuk kata?  Siapa yang menyusun Balaghah menjadi sebuah disiplin ilmu yang mengungkap rahsia dan makna disebalik keindahan rupa, bentuk dan bunyi suatu ayat? Siapa yang berjasa mendata dan menyenaraikan perkataan-perkataan yang ‘gharib’ (asing) sehingga kita dapat merujuk makna kata tersebut? Siapa dari masa ke masa mengungkap kandungan Al-Quran yang relevan sepanjang usia bumi?

Hanya mereka yang mempunyai tsaqafah bahasa Arab yang tinggi dan luas sahaja yang mampu terjun ke dalam lautan ilmu Al-Quran dan Sunnah.

3. Manakah yang lebih bermanfaat, memberi segulung ilmu, atau memberi sebuah kunci yang mampu digunakan membuka khazanah ilmu yang tidak terbatas?

Memandaikan umat akan bahasa Arab adalah umpama memberi kunci azimat yang dapat membuka khazanah ilmu Allah.

4. Mengapa umat menjauh atau bahkan meninggalkan Al-Quran? Kerana mereka tidak memahaminya. Mereka tidak menikmatinya. Mereka tidak merasa bahawa ia sesungguhnya diturunkan secara langsung dari Allah kepada dirinya.

Mengapa hari ini mereka bahkan mula mengkritik Al-Quran? Kerana mereka tidak dapat melihat mukjizat yang terkandung di dalamnya. Mereka tidak terkesima dan tidak terbelik kerana keagungan dan kemukjizatan Al-Quran yang tidak tampak di mata mereka akibat tidak memiliki Bahasa Arab.

Mengapa bacaan Al-Quran, zikir harian, solat dan ibadah lain tidak memberi kesan kepada hati, minda dan jiwa? Kerana mantra-mantra Ilahi itu tidak lagi berkesan. Manusia menjadi burung kakak tua yang berbicara tanpa mengetahui apa yang dikata. Mantra-mantra Ilahi itu tidak meresap ke dalam jiwa, tidak bergetar di dalam hati, tidak dicerna di dalam minda dan tidak mengalir di setiap pergerakkan anggota tubuh kerana tidak ada faham mengenainya.

5. Jika ada abang dan kakak senior yang mengatakan “Jangan ambil Fakulti Bahasa Arab sebab ia sangat susah!” maka ketahuilah bahawa abang dan kakak senior itu berbohong. Ramai abang dan kakak yang lambat selesai bukan kerana susahnya Fakulti ini. Faktor yang menyebabkan hal itu terjadi adalah : kurang persiapan, kesalahan teknik belajar, kegagalan mengikuti perkembangan pembelajaran dan kurang usaha.

Lagi pun apakah ada studi yang tidak susah? Jika mudah buat apa studi?

6. Jika anda ingin memasuki Fakulti Perubatan maka anda perlu cemerlang dalam seluruh mata pelajaran asas sains terutama biology. Jika anda ingin memasuki Fakulti Kejuruteraan maka anda perlu cemerlang dalam mata pelajaran seperti Matematik dan Fizik? Maka jika anda ingin memasuki Fakulti Bahasa Arab anda perlu cemerlang semua mata pelajaran asas bahasa Arab kerana apa yang akan dipelajari adalah lebih dalam dan lebih teliti.

Jika berpeluang, datang ke Mesir sekarang juga, untuk mendapatkan kelas bahasa Arab yang mengukuhkan segala maklumat yang telah kita pelajari sejak sekolah rendah hingga menengah. Barulah asas Bahasa Arab itu mengalir dalam diri kita.

7. Terjun ke Fakulti Bahasa Arab bererti menjadikan Bahasa Arab sebagai kepakaran utama kita, maka kepakaran itu perlu digunakan dan diiringi dengan pembelajaran dan pembacaan hal-hal lain terutama demi membedah khazanah ilmu Islam dan alam. Jika ia tidak, ia umpama memiliki harta yang dahsyat namun tidak dimanfaatkan.

8. Bahasa adalah kemahiran maka ia mengandung paling sedikit tiga aspek. Kemahiran berbicara, kemahiran menulis serta kemahiran membaca dan memahami. Setiap yang berbentuk kemahiran maka memerlukan latihan. Proses transaksi ilmu di meja kuliah sahaja tidak cukup jika tidak diiringi dengan proses menajaman keterampilan di dalam kehidupan sehari-hari.

9. Graduan Fakulti Bahasa Arab tidak hanya diharapkan untuk mampu memahami Khazanah Turast akan tetapi memiliki tugas yang lebih besar iaitu mewarnai masyarakat dengan tsaqafah bahasa Arab yang tinggi. Semakin ramai masyarakat menguasai bahasa Arab semakin ramai agen pemelihara Al-Quran dan semakin ramailah pemacu aspirasi dan tamadun umat bercorakkan nilai-nilai Al-Quran.

10. Hanya suatu yang gagah, perkasa dan besar sahaja yang mampu menampung dan menaungi sesuatu yang besar perkasa dan gagah. Umpama sebuah gunung yang tinggi dan gagah tegap berdiri kerana akarnya yang kukuh dan perkasa. Hanya bahasa yang besar, agung, gagah, luas dan perkasa sahaja yang mampu menaungi, mengandung, menampung dan menyimpan kalam Allah yang Maha Dahsyat, Maha Gagah, Maha Luas, Maha Perkasa, Maha Indah, Maha Halus, Maha Jelas dan maha segala maha.

Published by taqeyyabella

10 Responses to “Ayuh Menuntut Di Fakulti Bahasa Arab!”

  1. anasxz Says:

    betul2.. rasa teringin pulak nak belajar bahasa arab…

    byk ilmu lain tak boleh nak kuasai sebabnya lemah bahasa arab.

  2. fateenfalah Says:

    “Hanya suatu yang gagah, perkasa dan besar sahaja yang mampu menampung dan menaungi sesuatu yang besar perkasa dan gagah.”

    بسم الله الرحمن الرحيم

    Makanya untuk memberi sebuah impak yang besar dan gagah kepada masyarakat dalam menyalurkan kesedaran, seterusnya merangsang kecintaan, membangkitkan keinginan dan akhirnya menjadikan masyarakt tercari-cari untuk menguasai Bahasa Arab itu memerlukan sebuah team yang juga besar dan gagah, yang bergerak dari segala penjuru untuk berusaha fokus ke arah mencapai matlamat tsebut. Ayuh, mari berwacana untuk seluruh graduan bahasa arab se-malaysia!!!:) ( G.A.S??)

    menurut laporan BBC juga, 3 bahasa yang akan mendominasi dunia akan datang-sepanyol, mandarin dan ARAB!! click here:http://news.bbc.co.uk/2/hi/uk_news/education/4715742.stm

    Salam dari Morocco.

  3. Anonymous Says:

    jazaakallahukhairan,blog yg sngat bermanfaat.ana tlah smpi di bumi msir.blom mndpt kos dn tempat.tapi realitinya di sini ramai juga yg mengambil kos lughah,usuluddin pula yg ketandusan penuntutnya.tidak sperti yg diceritakn di malaysia.apakah sbnrnya yg diinginkan….arjuukum li du’ali.

  4. telaga Says:

    jazaakallahukhairan,blog yg sangat bermanfaat.ana tlh berada di bumi mesir.blom mndpt kos dan tempat.realitinya rmi juga yg mengambil kos lughah,usuluddin pula yg ketandusan penuntutnya.apakah yg sebenarnya  diharapkan….arjuukum li du’ali.

  5. taqeyyabella Says:

    Selamat Datang ke Mesir. Semoga anda dapat menempuh hari-hari penuh cabaran dengan Kecemerlangan dan Kejayaan Amin.

    Benarkah ramai yang mengambil kos lughah di Azhar? Jika benar itu merupakan sebuah berita gembira.

    Kita perlukan lebih ramai mereka yang mendalami bahasa Arab agar mampu melahirkan masyarakat yang mampu berbahasa Arab dan seterusnya menjadi tenaga yang kuat dan banyak untuk mengkaji khazanah Islam.

    Dulu memang saya sendiri dan beberapa sahabat sering mempromote Kuliah Lughah agar mendapat sambutan yang lebih meriah memandangkan keperluan yang kritikal di Malaysia khususnya. Apalagi setelah melihat bahawa kegagalan sebahagian besar pelajar kita di timur tengah adalah berpunca dari faktor bahasa.

    Mengenai kurangnya pelajar usulluddin saya sendiri tidak mendapat apa-apa maklumat mengenai itu.

  6. Muhammad Saufi Says:

    Salaam…boleh tahu Fakulti Bahasa Arab di Al-Azhar berapa lama duration , dan kos kesuluruhannya berapa? sila reply ke email muhdsaufi@hotmail.com…jazaakillahu khairan..

  7. eman.. Says:

    slm..
    nak tanya ckit ae..
    yg blaja lughah tok org ‘ajam ada kan?
    leh citer ckit x masa n silibus n kos sume 2 baper???

  8. taqeyyabella Says:

    Walaikumussalam..

    Di Mesir ada banyak markaz lughah. Markaz lughah ini memang menyediakan kelas bahasa Arab untuk bukan orang arab.

    Majoriti markaz-markaz lughah ni menyediakan 12 mustawa atau level. Setiap satu level tu boleh diselesaikan dalam masa sebulan atau mungkin lebih dan mungkin juga kurang tergantung keupayaan pelajar.

    Untuk kos tentunya sangat pelbagai bergantung kepada markaz itu sendiri. Kalau ada aircond dan lcd sebagai contoh mestilah lebih mahal dari yang tak ada aircond. Dulu saya pernah mengikuti kelas seperti ini pada tahun 2005 dan ketika itu yuran per bulannya hanya 100 paun mesir. Sekarang saya agak mungkin dalam 200 atau 300 kot.

    Biasanya pelajar eropah dan barat mereka buat kelas khusus untuk mereka. Satu kelas seorang murid atau 5 orang murid. Bahkan satu kelas boleh sampai 20 murid. Harga yuran boleh dipengaruhi juga oleh jumlah murid.

    Biasanya markaz lughah seperti ini menyediakan placement test sehingga kita dapat diletakan ke dalam kelas yang sesuai dengan tahap kita. Ini memudahkan orang-orang barat dan eropah yang kaya untuk mengikuti kelas pada musim panas. Tahun ini mereka blajar 3 bulan. Tahun berikutnya mereka ambil test dan meneruskan pembelajaran tanpa perlu mengulang dari awal.

  9. abdul hadi Says:

    salam. bagaimanakah lepasan spm boleh mengikuti kelas intensif bahasa arab di mesir. harap ustaz dapat memberi penjelasan dan no yang boleh dihubungi

  10. taqeyyabella Says:

    W’salam..

    Jika saudara ingin belajar disana untuk masa yang singkat bolehlah terus sahaja ke sana menggunakan visa tourist.
    Namun jika ingin belajar untuk masa yang lama seperti setahun, dua tahun atau seterusnya. Anta perlu mencari institut bahasa yang boleh memberikan anda surat untuk mendapatkan visa belajar.
    Basicly, mengenai visa boleh anda dapatkannya di kedutaan Mesir di KL atau untuk kita (warganegara Malaysia – Kalau tak ada perubahanla) boleh diambil di airport ketika tiba di sana. Pastikan anda mengatakan bahawa anda ingin melawat bukan belajar kerana visa belajar tidak boleh di ambil di airport.
    Disana nanti jika sudah memiliki surat dari institut bolehlah menukar visa kunjungan kepada visa pelajar.
    Untuk tempat saya tak pasti mana yang masih available. Biasanya pelajar akan ke sana terlebih dahulu dan kemudian membuat pilihan sendiri.

Leave a Comment

Share