Aspek Kemanusiaan Rasulullah SAW

Posted on February 21st, 2011 in Agama, Motivasi

Maha suci Allah SWT yang telah mengutusakan para rasul dan nabi yang merupakan manusia. Tak terkecuali rasul terakhir yang amat dicinta, juga seorang manusia. Ketika semarak sambutan maulidurrasul, minda tertumpu pada sebuah kata iaitu “maulid” atau “kelahiran”. Bagi manusia maulid adalah proses yang telah kita ketahui. Al-Quran turut memperjelaskannya dengan terperinci dimana ia bermula dengan setitis benih kemudian menjadi segumpal darah lalu membentuk tulang barulah ditumbuhi daging dan seterusnya. Proses lazim yang pasti dilalui setiap individu kecuali dua orang, Nabi Adam selaku manusia pertama dan Nabi Isa selaku anak tanpa bapa. Maha suci Allah yang telah memperlihatkan kuasaNya kepada kita.

Memperingati maulid nabi membawa kita untuk merenung aspek kemanusiaan sang utusan Allah SAW itu. Manusia pada dasarnya berkongsi keadaan yang sama. Jika tidak makan akan lapar. Jika tidak tidur akan mengantuk. Itu adalah antara aspek kemanusiaan yang dikongsi bersama oleh kesemua manusia. Lalu manusia juga berkongsi Qada’ dan Qadar Allah. Segala usaha manusia tidak mutlak dari manusia kerana sentiasa terkait ketetapan Allah dan segala ketetapan Allah pasti akan seiring dengan usaha yang manusia kerahkan. Ini terbukti dengan apa yang terjadi kepada kita hingga hari ini. Kegigihan, kesungguhan dan kesabaran kita telah menyebabkan kita mencapai apa yang telah kita capai. Walaupun begitu kita juga tidak dapat menafikan peluang, kesempatan dan seribu satu faktor ‘ketetapan Allah’ lain yang memungkin semua ini terjadi.

Melihat dari aspek ini, sedarlah kita bahawa apabila Muhammad Bin Abdullah diangkat menjadi nabi dan rasul, maka telah terbeban ke atas bahunya sebuah amanah yang teramat berat. Amanah itu tidak akan terlaksana tanpa pengorbanan yang luar biasa. Lebih dahsyat lagi amanah yang dapat menggegarkan gunung yang kukuh kerana keberatannya itu dipikul oleh seorang manusia biasa. Inilah yang menjadikan baginda seorang yang luar biasa.

Menyedari hal ini, kita perlu mengajak diri merenung keadaan baginda selaku manusia ketika membaca setiap lembaran sirahnya. Barulah dengan demikian kita dapat melihat sudut yang sama iaitu sisi kemanusiaan. Tidak timbul lagi ungkapan, “itukan nabi.. kita mana nak mampu..” sebagai alasan melepaskan diri kerana malas berkorban dan berjuang. Runtuh jugalah tembok yang memisahkan kita antara cara hidup baginda dan cara hidup kita.

Mengajak diri berfikir dan melihat dari aspek ini bukan bererti kita mahu menyamakan diri dengan para nabi dan para rasul. Maha suci Allah yang telah berselawat keatas nabi sebagai pengiktirafan akan ketinggian baginda dalam segala aspek maka hanya kebodohanlah yang akan – dengan tidak malunya- menyamakan diri dengan para nabi dan rasul khususnya Muhammad SAW. Apa sepatutnya diperoleh dari adalah sebuah kesedaran bahawa pengutusan nabi dan rasul itu merupakan sebuah sebab untuk suatu akibat. Pengutusan rasul menjadi satu sebab yang kukuh mengapa kita perlu taat dan patuh hanya kepada Allah. Akibatnya, setelah pengutusan rasul tiada lagi alasan yang akan diterima oleh Allah untuk tidak taat dan tidak patuh kepadaNya. Utusan Allah yang kepadanya diutuskan juga Al-Quran adalah hujah yang terkuat. Tiada lagi dalih. Tiada lagi alasan. Apa yang tinggal hanyalah, “kami dengar dan kami taat!”.

Ramai pengkaji yang berminat untuk melihat lebih dekat sosok Muhammad bin Abdullah. Hasilnya, mereka menjadi sangat terkesima. Sama ada suka atau pun tidak, mereka yang jujur dan telus dalam kajian akan mengaku akan keluarbiasaan dan kehebatan tingkat tinggi pada segala aspek kemanusiaan bagi sosok Muhammad bin Abdullah itu. Ya, mereka memuji dan mengakui kehebatan sosok kemanusiaan Muhammad walau pun mereka bukan beragama Islam! Namun bagi kita yang merupakan seorang muslim, kehebatan sosok kemanusiaan pada baginda tidak cukup sekedar diakui dan dipuji. Ia mengandung nilai yang lebih iaitu nilai keimanan, nilai ketauladanan dan nilai-nilai sumber hukum.

Nilai keimanan ini sangat penting bagi seorang muslim. Ia adalah kayu ukur keimanan. Seorang muslim melihat Muhammad Bin Abdullah sebagai seorang rasul (utusan Allah). Allah SWT telah merestui segala yang ditampilkan baginda, entah ia berupa perbuatan, perkataan  mahu pun keputusan. Istilah yang digunakan adalah ma’shum. Seandainya Muhammad Bin Abdullah melakukan kesilapan, maka ia akan mendapat teguran dari Allah serta-merta. Itulah konsep keimanan yang perlu ada dalam diri seorang muslim.

Nilai ketauladanan pula tidak kalah pentingnya. Mengimani kerasulan Muhammad bin Abdullah tidak cukup jika belum disusuli dengan ketauladanan. Seorang muslim hendaklah meniru satu per satu sifat dan tingkah laku baginda tanpa terkecuali. Sosok kemanusiaan yang dibawa baginda adalah yang paling cemerlang dan yang paling sempurna. Kesopanan tingkah laku, keindahan tutur kata, keluhuran budi kesemuanya perlu ditiru. Malahan perlu ditegaskan bahawa menjadikan baginda sebagai tauladan adalah prasyarat mendapatkan cinta Allah. Allah SWT berfirman, “Katakanlah, “jika kalian menyintai Allah maka ikutilah aku nescaya Allah akan mencintai kalian”!”. Surah Ali-Imran.

Aspek terakhir yang perlu kita tegaskan adalah aspek sumber hukum. Banyak perkara yang dibiarkan ringkas tanpa penjelasan mendalam di dalam Al-Quran. Keringkasan tersebut dijelaskan dengan terperinci melalui tindakan atau kelakuan Rasulullah SAW. Contoh mudah mengenai solat.  Allah SWT menegaskan di dalam kitabNya akan kewajipan mendirikan solat. Kemudian mengenai kewajipan untuk menunaikan solat pada waktu-waktu yang telah ditetapkan. Ada pun cara melakukan solat dan waktu-waktu solat tidak dijelaskan. Di sinilah utusan Allah memainkan peranan bagi memperlihatkan kepada kita bagaimana solat yang benar dan bila ia sepatutnya dilakukan. Dengan demikian baginda menjadi sumber hukum yang terpenting.

Sudah sewajarnya kita mengajak diri kita untuk mengenang dan merenungkan bagaimana Rasulullah SAW selaku manusia biasa melalui episod-episod yang getir dalam melaksanakan amanah Allah ini. Sudahlah berat menerima pangkat kenabian dan kerasulan, baginda kemudian berhadapan dengan tentangan yang dahysat. Bermula dengan hinaan dan perlecehan, lalu berkembang menjadi menentangan fisik, berkembang lagi menjadi permusuhan kelompok dan akhirnya menjadi sasaran pembunuhan. Betul, pada hakikatnya Allah SWT telah pun memelihara baginda dari segala keburukan dan kecelakaan namun lihat aspek kemanusiaan baginda dan bayangkan betapa getirnya saat-saat itu serta betapa gigihnya baginda melaluinya dengan penuh kesabaran!

Bayangkan bagaimana para pembesar dan pengikut mereka memperlekahkan baginda di depan Ka’bah. Kotoran unta dituangkan ke atas baginda yang sedang sujud. Bahkan sekecil Fatimah RA menangis melihat penghinaan terhadap bapanya itu. Mereka kemudian mengancam dan merekayasa pelbagai perkara buruk demi menyakiti baginda. Desakkan para pembesar itu menyebabkan bapa saudara baginda sendiri memohon agar baginda menghentikan seruan itu. Baginda kemudian berkata, “Kalaulah mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku nescaya itu teramatlah mudah bagiku jika mahu dibandingkan dengan amanah yang perlu dilaksanakan ini” (Aw kama qal). Begitulah baginda melihat tanggungjawab yang dipikulnya sebagai Rasul. Baginda mempertaruhkan segala-galanya demi untuk melaksanakan dengan sebaik mungkin.

Mengapa baginda sanggup mengorbankan segalanya dan mengharungi segala yang penuh derita?

Dua perkara. 1. Kerana ketakutan dan kecintaan yang teramat tinggi kepada Allah, Tuhannya. 2. Kerana kecintaan yang teramat tinggi kepada umatnya.

Baginda merupakan utusan Allah, maka baginda tentunya lebih tahu mengenai Allah dari kita. Baginda pernah diangkat bertemu Allah pada penyerahan perintah solat (israk mi’raj). Diperlihatkan syurga (jannah) dan nereka (narr). Sudah tentulah ketakutan dan kecintaan itu memenuhi hati baginda.

Baginda juga sangat mencintai umatnya. Beliau tahu apa yang bakal berlaku dan teramat risau. Kerisauan itu dizahirkan dengan jelas. Malahan, baginda tidak segan silu mengistiharkan kecintaannya. Suatu hari baginda menziarahi kubur lalu berkata, “Assalam ke atas penduduk kampung orang yang beriman. Kalian telah mendahului dan kami pasti akan menyusul kalian. Aku amat menginginkan untuk bertemu dengan saudara-saudaraku.” Para sahabat bertanya, “bukankah kami saudaramu ya Rasulallah!?” Baginda menjawab, “Tidak, kalian adalah sahabat-sahabatku, sedang saudara-saudaraku adalah mereka yang tidak pernah menemuiku tetapi mereka beriman denganku..”

Sungguh luar biasa! Ungkapan cinta yang sangat dalam. Jika demikian perasaan kasih yang baginda simpan untuk mereka yang tidak berpeluang bertemu baginda di dunia, cuba kita bayangkan bagaimana kasih baginda kepada para sahabat yang sempat bersama-sama baginda di dunia. Maka tidak menghairankan para sahabat memperlihatkan rasa cinta yang luar biasa terhadap baginda. Baik lelaki mahu pun wanita semua dari mereka mencara peluang dan kesempatan untuk mendapat keberkatan baginda. Tak kira sama ada dengan cara menggadai nyawa. Menjadi perisai di medan perang. Membiarkan diri disengat kala jengking. Meminta untuk dikuburkan berdekatan baginda. Bahkan dengan cara yang sangat unik seperti yang dilakukan oleh Sawad. Beliau sengaja keluar dari barisan (saf) ketika sebelum sebuah peperangan. Setelah beberapa kali ditegur maka beliau disebat dengan cemeti oleh Rasulullah SAW kerana gagal mematuhi arahan. Sawad mengadu sakit dan meminta agar Rasulullah SAW bertanggungjawab. Maka Rasulullah SAW membuka bagian perutnya dan menyuruh Sawad untuk melakukan seperti mana yang telah diperlakukan kepadanya. Sawad kemudian terus mencium bahagian badan Rasulullah SAW tersebut. Dia mengharap akan gugur bertemu Allah pada peperangan itu maka dia sangat ingin agar kulitnya menyentuh kulit Rasulullah SAW dengan harapan agar dengan keberkatan baginda SAW kulitnya tidak akan diazab oleh Allah..

Percintaan yang mencuit hati, berteraskan kecintaan kepada Allah. Meski pun begitu, mengungkapkan rasa cinta tiada erti jika ia hanya diterjemahkan dalam bentuk kata-kata semata. Cinta perlu dizahirkan dalam bentuk usaha sehabis baik seperti mana Rasulullah SAW berusaha semampu baginda untuk menyebarkan risalah Islam ke penjuru dunia. Mengucap dibibir cuma tanpa usaha adalah umpama menipu diri sendiri. Bahkan itu hanyalah hipokrasi dan bukan cinta sejati. Justeru menterjemahkan cinta dalam mencontohi gaya hidup baginda SAW merupakan sebuah cabaran yang luar biasa hebat. Tidak semudah membalikkan tangan. Ia perlulah bermula dengan berhadapan kehendak hati yang selalu cenderung kepada nafsu dan syahwat. Harta, pengakat, wanita dan segala keindahan dunia lainnya bersifat materil yang mampu dilihat mata sedang Rasulullah SAW, syurga, neraka bahkan Allah SWT tidak mampu dilihat oleh mata kasar. Itulah cabarannya, pada iman dan taqwa.

Ya Rasulallah! Kami memperingatimu, kami berselawat ke atasmu, kami memohon syafaatmu. Kami bersaksi engkau telah melaksanakan tugasmu, menasihatkan umatmu, membuka segala yang sebelum ini tersingkap dan menyingkirkan keraguan. Allahumma salli ala muhammad.. Allahumma barik ala muhammad. Allahummaj’alna min ummati muhammad. Ya Allah kuatkanlah kami untuk sentiasa mencontohi sunnah RasulMu ya Allah..

Published by taqeyyabella

2 Responses to “Aspek Kemanusiaan Rasulullah SAW”

  1. Yusman Nasir Says:

    Assalamualaikum Wr. W.

    Alhamdulillah wassolaatu wassalaamu ‘alaa rasuulillaah SAW……
    Allaahumma baarik lanaa wa baarik ‘alainaa……, Allaahumma adimnaa ‘alaa diini nabiyyinaa Muhammadin SAW wa ‘alaa millati abiinaa Ibroohim A.S.

    Akhii, izinkan ana “cut n paste” dari mana-mana tulisan antum yang sangat diperlukan untuk keperluan penyempurnaan bahan-bahan tazkirah ana…., jazaakumullaahu khoiroljazaaak…

    Wassalamualaikum Wr. Wb.

  2. taqeyyabella Says:

    Waalaikumussalam..

     

    Tafaddhal ya ustazil karim.. Barakallahu lakum wa iyyana jami’an.. Allahummaftah alaina hikmataka wansyur alaina min khozaini rahmatik ya arhamarrahimin..

    La syukra alal wajib.. Hafizakumullah..

Leave a Comment

Share