
Lagi-lagi aku kalah dengan godaan setan tambah pula bisikan masin sang hawa nafsu yang akhirnya kuhabiskan waktuku yang berharga untuk menonton siries Nurse Aoi. Series ini menceritakan kisah seorang nurse yang kehilangan ibunya ketika berumur empat belas tahun. Ketika ibunya pengsan dia berlari untuk menemui ibunya yang sekarat namun ketika dia tiba di hospital ibunya telah tiada namun dia sempat melihat kegigihan seorang jururawat yang masih berusaha untuk membantu sang ibu yang sekarat sambil berkata “Kamu tak boleh pergi sebelum anak perempuan mu datang…”
Cerita ini sangat menarik bagaimana seorang Aoi berusaha sedaya upaya melaksanakan tugas sebagai manusia berilmu untuk berbakti kepada masyarakat. Dia dipindahkan ke sebuah Hospital baru yang dipenuhi oleh mereka yang berilmu namun bekerja hanya sebagai robot yang telah ditentukan masa bekerja. Pengalaman buruk si Aoi yang telah dipindahkan kerana pernah melanggar peraturan kejururawatan membuatkan keadaan hospitalnya yang baru sedikit gempak.
Cerita ini mengingatkan kita akan keadaan kita yang bekerja demi apa? Mereka yang bekerja demi Allah SWT akan berusaha sedaya upaya tanpa mengira ganjaran atau bahkan keburukan yang akan di timpanya. Walaupun si Aoi tidak bekerja demi Allah swt namun dia berusaha sedaya upaya. Bahkan Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya Allah swt menyukai hamba yang bersungguh-sungguh ketika bekerja innallaha yuhibbu abdan iza ‘amila atqona. Dalam hadis ini perkataan yang digunakan adalah Atqona yang secara umumnya bermaksudnya bersungguh-sungguh, namun dapat kita ertikan dengan lebih dalam kepada sifat yang penuh dengan ciri-ciri profesionalisme (teliti, rapi, teratur dan seterusnya). Si Aoi membaktikan dirinya dan sanggup menghadapi apa saja kemungkinan buruk demi ingin berusaha menyelamatkan pesakit, harta dan jabatan tidak penting baginya, yang penting adalah bagaimana dia dapat menjadi jururawat yang benar-benar berguna dan banyak orang yang terselamat kerana usahanya.
Pemandangan yang sangat menyakitkan ketika melihat seorang doktor dan jururawat yang enggan merawat pesakit mereka yang tidak memenuhi syarat seperti mereka yang tidak mampu membayar yuran hospital. Lebih menyakitkan lagi apabila kita melihat mereka hanya berpura-pura tidak tahu atau berlakon sebagai orang biasa yang tidak memiliki ilmu medical dan membiarkan orang sakit merana di depan mata mereka hanya kerana waktu tugas mereka telah selesai. Pemandangan mereka yang berlagak sibuk dan menunjuk-nunjukkan seakan-akan mereka yang paling berjasa kepada mereka yang beruang (ber-wang). Ya tidak lain kerana untuk mendapat angpow…
Keadaan ini secara tidak sengaja terkiaskan kepada keadaan manusia sekarang. Tidak sedikit mereka yang rela hidup dengan tenang bergoyang kaki sedang orang di sekelilingnya sengsara padahal mereka mampu untuk mengubah keadaan tersebut. Hanya masalah mahu atau pun tidak. Seperti mereka yang memegang jawatan di pemerintahan, bukannya mereka tidak dapat meringankan beban rakyat, namun mereka lebih rela ribuan orang sengsara asal mereka dapat miliki kapal peribadi jutaan ringgit. Aku juga teringatkan mereka yang hanya akan menghadiri ceramah jika bayarannya sesuai rate mereka. Mereka tidak kesah akan hancurnya masyarakat, kerana bagi mereka tugasnya hanya akan bermula jika sampul sudah berpindah tangan. Tak sedikit sekolah-sekolah yang lebih sesuai dipanggil “kilang wang” dibanding pusat pendidikan. Tak heranlah mengapa dunia sedemikian rupa.
pepatah arab : “man yaku za fadlin fa yabkhalu bi fadhlihi ‘an qaumihi yustaghna ‘anhu wa yuzmam“ maksudnya : “barang siapa yang mempunyai kelebihan namun dia kedekut terhadap kelebihannya, maka dia tidak diperlukan oleh kaumnya bahkan dia akan dicela”
Andai sahaja Allah swt memperlihatkan secara zahir setiap pahala dan dosa yang manusia dapat tiap hari….






