Antara Dua Situasi
Posted on May 16th, 2010 in Agama, Fikir
Kebelakangan ini saya diajak oleh sekeliling untuk melihat dengan teliti keadaan yang berlaku. Seorang sahabat datang menceritakan pengalamannya melihat ‘night life’ di sekitar Kuala Lumpur. Sangat mengejutkan. Saking terkejut dengan keadaan itu beliau segera menceritakan pengalamannya kepada saya. Betapa terkejutnya beliau ketika menemankan temannya berwarganegara asing untuk masuk ke salah satu tempat di Jalan Changkat. Temannya yang bukan muslim itu bertanya, “So in this place how many percentage is Malay?” Melihat sekeliling, terpaksa dia mengakui kebenaran yang terasa sangat pahit. “70 t0 80 percent i guess!”. Bagaimana tidak pahit sedang mereka dengan selamba meminum air yang diharamkan Allah.
Kisah dari sahabat ini memberikan saya satu ruang untuk memahami hakikat bahawa masyarakat malaysia berbangsa Melayu sebenarnya sudah pudar keislaman mereka. Walaupun sering kita dengar para pejuang melayu hari ini berseru, “Memperjuangkan Melayu sama dengan memperjuang Islam!”
Ruang untuk merenung ini tidak tertutup begitu sahaja. Saya malah dikejutkan pula dengan satu kelompok Melayu yang lebih kritikal. Mereka ini bukan sekedar tidak mentaati hukum Allah, seperti tidak melakukan rukun Islam dan melakukan maksiat. Lebih dahsyat dari itu, mereka hari ini sudah berani dengan sekuat suara melaungkan slogan-slogan anti Islam bahkan anti Tuhan. Ya, mereka tidak percaya kewujudan tuhan! Apalagi mentaati agama! Semua itu bullshit menurut mereka.
Situasi ini adalah sebuah situasi yang sangat menyedihkan kerana beberapa perkara. Pertama, ia menyedihkan memandangkan masyarakat Malaysia dan Melayu khususnya dianggap sebagai masyarakat yang kuat beragama. Kedua, Malaysia dipandang sebagai negara Islam kerana majoriti masyarakat Muslimnya melebihi 50%. Ketiga, Malaysia berharap menjadi peneraju dan negara yang kehadapan dikalangan negara-negara Islam walhal realitinya sebegini rupa. Keempat, situasi ini memilukan kerana sepatutnya peratusan Melayu Muslim yang tinggi itu memberi kesan dari keislaman mereka kepada masyarakat awam dan masyarakat umum di seluruh negara.
Saya kira, dengan menilai dari satu sudut ini, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat Malaysia Muslim selaku majoriti gagal mempertahankan gagasan Islam pada kehidupan realiti di Malaysia sendiri. Mungkin dalam bahasa inggris dapat kita ungkapkan dengan, “Muslims in Malaysia are failing Islam in their country.” Pedih dan pedas bunyinya, tapi itulah realiti. Islam di Malaysia hari ini tinggal sekedar simbol. Ketika perayaan dan perkahwinan mereka agak peduli perihal Islam, selebihnya, hidup mereka sama dengan orang yang bukan Islam. Itu pun pada perayaan keagamaan itu telah dicemari bid’ah-bid’ah yang menyesatkan.
Situasi satu : Masyarakat muslim sebagai majoriti tetapi kualiti keimanan dan keislaman sangat rendah.
Situasi dua : Masyarakat muslim minoriti dan menjadi gologan tertindas tetapi kualiti keimanan dan keislaman sangat tinggi.
Situasi kedua ini dialami oleh masyarakat muslim di negara-negara bukan Islam khususnya di negara super power seperti Amerika Syarikat dan England.
Muslim di Barat atau Eropa secara menyeluruh menghadapi situasi yang sangat berlainan dengan apa yang dialami di Malaysia. Mereka mendapat layanan yang didouble standardkan. Hak-hak mereka sebagai individu serta merta hilang kerana mereka menganut akidah Islam. Mereka secara tiba-tiba mendapat layanan pendatang asing walau hakikatnya memiliki warna kulit yang sama dengan pribumi lain hanya kerana keislaman mereka. Tudung cukup sebagai bukti yang menunjukkan bahawa mereka ini seorang terorist dan merbahaya. Sungguh tak masuk akal dan sangat memuakan suana itu.
Ketika saya dihidangkan dengan dua situasi ini. Saya bertanya kepada diri saya beberapa soalan :
1. Bagaimanakah nasib golongan minoriti di negara majoriti Islam seperti Malaysia?
2. Apakah yang menyebabkan umat Islam di Barat gagah mengharungi kepedihan hidup di sana?
3. Mengapakah kualiti keislaman masyarakat Malaysia sangat rendah?
4. Apakah kesan yang dirasakan oleh masyarakat bukan Islam dan alam sekitar dari kualiti keislaman masyarakat majoriti Muslim di Malaysia?
5. dan apakah kesan yang dirasakan oleh masyarakat bukan Islam dan alam sekitar dari kualiti keislaman masyarakat minoriti Islam di Barat?
Persoalan-persoalan ini dan yang seumpamanya telah mendorong saya untuk memerhatikan dan membaca pemikiran tokoh Islam di Barat. Untuk saat ini tokoh yang paling terkenal sehingga dianggap mengancam lalu diharamkan kemasukannya ke Amerika Syarikat pada pemerintahan Bush menarik untuk diteliti. Beliau adalah Tariq Ramadhan Buthi. Anak kepada Ramadhan Buthi seorang tokoh ulama Islam Sunni yang terkenal yang berdomisili di Syiria. Ramadhan Buthi merupakan menantu kepada tokoh pencetus dan pendiri harakah Islamiyyah atau gerakan Islam yang muncul dalam alam realiti dengan nama Ikhwanul Muslimin di Mesir iaitu Al-Imam Hasan Al-Banna.
Tariq Ramadhan membawa arus baru dalam masyarakat berbilang kaum dan bangsa di Barat. Beliau sering kali diundang sebagai mewakili suara umat Islam di Barat ke pelbagai forum yang melibatkan pelbagai isu. Tentunya isu yang paling sering diperbicarakan adalah mengenai Hijab, Burqa, Human Rights, Terrorisme dan lain-lain yang berkaitan kepada Islam.
Sungguh tidak mudah untuk Tariq Ramadhan bagi mengajak masyarakat Barat mengubah mindset mereka yang terlebih dahulu sudah mempunyai impression yang buruk terhadap Islam. Namun, Tariq Ramadhan berjaya menyampaikan mesejnya kepada masyarakat barat. Apa mesej Tariq Ramadhan?
Saya sejujurnya tidak dapat menjawap persoalan ini dengan tepat kerana saya tidak pun membaca buku-buku tulisan beliau termasuklah buku terbaru beliau “What I believe” yang saya kira merupakan sebuah buku penting untuk memahami arah dan hala tuju yang ingin beliau seru dalam gerakan beliau di Barat. Namun, dari apa yang saya dengar melalui ucapan-ucapan beliau dan dialog-dialog yang beliau hadiri. Mungkin boleh saya simpulkan bahawa fikrah asas yang ingin beliau seru adalah, “Ayuh lihat sendiri, cari sendiri, pelajari sendiri apa yang Islam kata mengenai Islam!”
Seruan ini memberikan implikasi yang besar. Salah faham terhadap Islam dapat diperbaiki apabila mereka tidak melihat Islam hanya dari apa yang mereka dengar, tetapi malah bergerak untuk usaha mencari mengenai Islam dari pelbagai sumber yang berbicara mengenai Islam. Hasilnya, mereka dapat melihat betapa besarnya Islam, betapa rumitnya permasalahan yang berkait Islam, betapa teruknya fitnah yang dihamburkan kepada Islam dan perkara-perkara lain yang melibatkan Islam.
Masyarakat Barat yang terdedah kepada semangat membaca, terdedah kepada keterbukaan minda, terdedah kepada perbincangan kritikal dan terdedah kepada kepuasan diri (melakukan sesuatu demi kepuasan diri bukan desakan kepentingan) menjadikan seruan Tariq ini mendapat balasan dan disambut dengan meriah. Masyarakat Barat mula melirik Islam dari kaca mata Islam sendiri.
Turut mendapat kesan, masyarakat Muslim di Barat. Mereka mendapat suntikan baru. Mereka mula sungguh-sungguh mempelajari Islam yang diturunkan sebagai rahmat kepada sekelian alam. Mereka mula memahami bahawa walaupun mereka merupakan golongan minoriti tetapi peranan mereka sebagai individu dalam sebuah masyarakat tetap perlu disumbangkan. Akhirnya, mereka yang selama ini memencilkan diri atau lebih tepatnya mengasingkan dari masyarakat mula mencari kekuatan untuk tambil ketengah-tengah masyarakat dan terlibat secara langsung dalam segala isu yang dihadapi masyarakat. Dengan demikian mereka menjadi duta-duta Islam yang memancarkan kilauan keindahan Islam dalam suatu bentuk yang dapat dilihat oleh mata. Bukan lagi keindahan Islam yang sifatnya imajinatif dan tersimpan di dalam kitab-kitab lama.
Namun cabaran tetap ada. Dalam isu ini, cabaran yang paling dahsyat adalah setiap individu melaksanakan Islam yang mereka faham. Lalu bagaimana jika pemahaman mereka salah dan mereka menyandarkan kefahaman yang salah itu kepada Islam. Lalu kelakuan salah itu dikatakan sebagai kehendak Islam. Dan menurut saya, isu inilah juga yang ditakuti oleh pihak berkuasa di negara-negara yang bermajoriti Islam.
Tetapi kekhawatiran terhadap kesalahfahaman itu saya kira dapat diselesaikan. Jika semua individu dipupuk sikap gigih berusaha untuk memahami Islam, maka sebagai masyarakat Muslim, kita mestilah sudi untuk mengadakan perbincangan yang serius terhadap setiap isu dan berusaha bersikap terbuka. Lalu bagaimana untuk berhadapan dengan interpretasi yang salah? Kita hadapi dengan mengemukakan hujah serta dalil bagi pendapat kita. Maka dengan demikian, orang yang memiliki fahaman yang berbeza itu boleh menilai semua fahaman mereka dan jika mereka mahu mereka akan bersetuju dengan kita secara sukarela dan bukan kerana terpaksa.
Budaya sihat yang cuba dipupuk dan dikembangkan di Barat ini akan menghasilkan sebuah perkembangan yang baik. Alhamdulillah, kita sendiri dapat lihat bagaimana cepat dan pesatnya perkembangan Islam di Barat. Kita akan terus melihat dan memperhatikan perkembangan ini. InsyaAllah jika Allah berkehendak kita dapat melihat bagaimana umat Islam di Barat mempersembahkan Islam dengan baik pada 10 atau 20 tahun akan datang.
Membandingkan situasi di Barat dan situasi di Malaysia dan negara-negara yang bermajoriti rakyat muslim. Saya kira ada hal yang sama-sama perlu kita perhatikan. Hal yang paling utama adalah bagaimanakah Islam yang diwarisi dari masa ke masa dan dari generasi ke generasi itu benar-benar memberi kesan kepada seorang individu muslim. Seandainya kita katakan bahawa keadaan masyarakat Muslim Malaysia yang hilang identiti keIslamannya adalah disebabkan oleh kegagalan mendapatkan ‘kesan’ atau ‘pengaruh’ dari Islam dan ajaran Islam kepada individu. Adakah kenyataan yang demikian salah? Apakah mungkin bahawa dakwaan sebahagian pihak yang menyatakan bahawa, “usaha memisahkan Islam dan ajaran Islam dari diri individu muslim sehingga menjadi seorang muslim tetapi tidak langsung Islam pada kelakuan, kefahaman dan keimanan” telah berjaya?
Saya akan meninggalkan pembaca sekalian dengan persoalan ini. Akhir sekali saya simpulkan bahawa kita perlu kepada gerakan, ‘pengislaman’ semula Islam, kefahaman Islam dan keislaman diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita.

May 22nd, 2010 at 9:17 am
tali dah serabut banyak sangat dah.
tapi tak leh menyerah, kerja tetap kena berjalan.
tulis ni pun satu usaha.