This is some text prior to the author information. You can change this text from the admin section of WP-Gravatar Final year student, General Studies Faculty of Arabic Language, Al-Azhar Asy-Syarif University, Cairo, Egypt.


“Kalian kini umpama berada di puncak pohon kelapa yang tinggi. Anda hanya perlu bertahan agar tidak jatuh dan memetik buah dengan baik. Perlu diingat angin di puncak lebih kencang, maka kaki dan tangan harus sentiasa berpegang teguh pada batang apalagi ketika anda berusaha memetik buah tersebut. Selesaikan tugas ini dengan baik..”

 Demikianlah petikan ucapan yang dulu pernah aku dengar dan kemudian aku sampaikan ketika aku mengabdi sebagai guru di Pondok Modern Darussalam Gontor. Ungkapan yang penuh kenangan ini akan sentiasa mengingatkan kami agar benar-benar berhati-hati melalui sisa-sisa waktu di sekolah tersebut. Berada di tahun akhir merupakan sebuah pencapaian yang sangat hebat yang hanya perlu sedikit kesabaran agar ia berakhir dengan sebuah penghujung yang baik. Akan tetapi disaat-saat akhir inilah ujian yang datang bukan main hebat dan dahsyat umpama angin yang bertiupan dipuncak sebuah gunung, menara atau pohon akan sangat kencang dibanding ketika berada di bawah.

Entah mengapa hari ini kerinduanku terhadap pondokku tercinta menjadi-jadi. Mungkin kerana kesal akan kondisi kuliah di Mesir. Kerinduan pada kehidupan dinamik yang sangat hebat di Gontor membuatkan aku merasa begitu sia-sia dengan keadaan seperti sekarang ini. Hari ini adalah hari pertama aku memunculkan diri ke kampus setelah hampir 3 bulan lebih bercuti. Apa yang menyedihkan adalah kehadiran aku seakan-akan tidak disambut. Kampus seakan-akan sepi dan sayu tanpa nyawa. Itulah yang aku rasakan.

Terkenang kembali, bagaimana Gontor menyambut seluruh pelajar setelah cuti panjang. Penuh kemeriahan dan GAH. Sebelas hari bulan Syawwal setiap tahun merupakan hari permulaan sesi baru. Tepat jam tujuh pagi seluruh pelajar akan berkumpul di jantung sekolah (main chamber). Semua dengan pakaian rapi, baju kemeja berwarna cerah seluar slack berwarna gelap, tali pinggang dan tag nama. Sungguh rapi. Pada masa yang sama juga seluruh guru turut berhimpun dengan pakaian yang tentunya berkali-kali lipat lebih rapi, dengan tali leher dan coat. Loceng jam tujuh berbunyi, maka upacara dimulakan.

Upacara pagi itu akan dimulakan dengan pidota Pimpinan Pondok dan diikuti dengan ucapan Direktur KMI (Kulliyyatul Mualliminal Islamiyyah) kemudian diakhiri dengan membacaan daftar kehadiran pelajar. Upacara ini menjadi sebuah simbol yang sangat bermakna. Upacara ini umpama gerbang yang memisahkan para pelajar dari alam cuti lalu memulakan kehidupan dinamik yang baru di alam pendidikan Gontor. Upacara ini menjadi bukti, para guru telah bersedia untuk menerima para pelajar dan begitu juga sebaliknya. Sebuah suasana yang luar biasa hebat. Sebuah bentuk motivasi yang luar biasa dahsyat. Sebuah permulaan yang sungguh bermakna.

Pidato Pimpinan pondok akan disampaikan dengan begitu tegas dan penuh semangat. Jiwa dan nilai-nilai Gontor kembali dilaung-laungkan sehingga tanpa disedari kenangan bercuti yang penuh keselesaan kabur seperti embun yang terkena sinaran matahari, lalu tumbuh bak cendawan selepas hujan, semangat berjuang. Aku masih ingat getaran yang tercipta ketika mendengar suara Pimpinan Pondok. Bulu romaku pasti akan berdiri. Darah mengalir cepat. Siap berjuang.

Hari ini aku begitu sedih kerana di hari pertama aku menjejakkan kaki ke kampus. Aku tidak mendapatkan satu hal pun yang membuatkan aku semangat memulakan semester baru. “Ya Allah.. ini tahun baru !!!” jerit hatiku, seakan tidak dapat menerima kenyataan.  Lesu hatiku. “Budak tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, semuanya akan disambut baik pada hari pertama mereka bersekolah, tapi kenapa tidak di sini?” tangis hatiku tidak dapat menerima kenyataan.

Aku kembali terbayang betapa indahnya hari pertama bersekolah. Dengan baju baru, buku baru, beg baru, kasut baru, walaupun kadang-kadang aku terpaksa memakai pakaian second hand peninggalan abangku, namun, bagi ku ia tetap baru, baru menjadi milikku. Indahnya saat itu. Penuh semangat.

Hari ini aku berusaha untuk mencipta semangat baru dengan menuju ke kedai buku fakulti di lower ground untuk mendapatkan buku-buku baru, namun aku bertambah kecewa ketika aku mendapatinya belum dibuka. “Alah kalau dah buka pun buku bukannya dah keluar..” Bisik hatiku menghibur.

Dengan langkah yang berat dan malas aku meyusuri tangga hinggalah ke tingkat empat. Ketika tiba di depan papan pengumuman dimana jadwal ditampal, mataku menatap pintu dewan yang tertutup rapat, “Eh takkan dah start kelas kot..” bisik hatiku mencari kepastian. Tanpa berlengah aku mendekati pintu dan hampir saja aku memasuki dewan yang terletak di penjuru utara aras 4 itu, tiba-tiba aku tersedar, “eh inikan dewan pelajar tahun dua..” aku tersenyum sambil memperbodohkan diri yang telah lupa kini berada di tahun tiga. Aku  kembali ke papan pengumuman mencari jadwal untuk tahun tiga fakulti bahasa Arab jurusan AM. Tidak aku temui.

“Tumpang tanya pak cik, kelas tahun tiga di mana?” tanyaku pada tukang sapu sekali gus tukang syai (teh) yang menjadi menguasa aras empat. “Oh.. kamu lulus ke tahun 3 ya, bagi halawah dulu (halawah : hadiah tanda kesyukuran biasanya kita akan bagi duit), pelajar tahun tiga akan belajar di hall aras tiga. dan jadwalnya ada di papan pengumuman aras 3.” Jawabnya sambil tersenyum. Setelah mengucapkan terima kasih aku meninggalkannya dan dia meneruskan kembali bacaan Qurannya.

Tiba di aras tiga aku mengelilingi blok utara aras itu. Sepi tidak ramai orang. Aku melirik ke dewan tempat aku akan menerima ilmu tahun ini, besar dan kosong. Aku terus menuju kelas-kelas lain. Hampir kesemua jurusan di fakulti Bahasa Arab tahun 3 dan 4 berada di aras 3 kecuali jurusan AM tahun 4Â dan beberapa jurusan lagi. Aku sedikit bersemangat kerana tenagaku dapat dijimat, tidak perlu lagi bersusah payah naik ke aras 4. Sebuah kebanggaan berada di aras 3. Namun semangat itu kembali hilang ketika aku melihat jadwal yang ditampal. Seketika aku terpatung di depan jadwal itu.

“Gadwal bita’tak hina bardu? (Jadwal kamu disini juga ke?)” Tanya seorang pelajar Mesir yang dengan selambanya merapat ke papan pengumuman dan membelakangiku. Kesal juga melihat keselambaan dia menghalang pandanganku, untungnya dia menyapaku tanda hormat. ” Aa.. ana fi tsaltsah ‘ammah..(Ye, aku di tahun tiga jurusan AM)” jawabku sambil tersenyum. “Aaa… enta fil ‘ammah?.. Rabbuna yuawwik, wa yu’inuk..(Haa.. engkau ambik jurusan AM ke? semoga Allah menguatkan kamu dan membantumu)” dia memberi semangat. Jurusan yang aku ambil memang terkenal susah. Orang tempatan sendiri pun sebolehnya tidak mahu mengambil jurusan ini. Melelahkan menurut mereka. Bagi mereka jurusan sejarah dan tamadun di fakulti bahasa Arab lebih mudah dibanding jurusan AM. Mereka kuat ingatan dan mampu menghafal fakta-fakta dan mereka suka bercerita.

Untuk semester pertama tahun ini, aku akan dijamu oleh subjek-subjek yang begitu menggerunkan.

1. Al-Quran (diujikan sem 2)

2. Qo’ah bahas

3. Lahajat

4. Lahajat wal qiraat

5. Arabiyyah wal qiraat

6. Tarikh adab arabiy

7. Nusus Adabiyyah

8. Nusus Andalus

9. Nahu (diujikan pada sem 2)

10. Balaghah (diujikan pada sem 2)

Hampir tercabut lutut melihat jadwal ini. Sanggupkah aku menguasainya. Akhir bulan 12 kita akan di hadapkan dengan ujian semester pertama. Hanya 3 bulan lebih peluang yang aku punya. Aku hanya berdoa agar kesemua buku dapat keluar secepatnya. Harap-harap paling lambat pun lepas raya.

Semoga aku kembali diberi kekuatan, semangat dan istiqomah. Belum kelas bermula aku telah rasakan kencangnya angin yang bertiup. Mampukah aku bertahan. Setengah perjalanan telah selamat ku redahi. Tinggal selangkah lagi sebelum tiba saat memetik buah. Allah kuatkanlah hambaMu ini.

Aku sedar, sekarang sudah tidak ada lagi alasan bagiku untuk gagal. Masalah kehidupan, pengangkutan, cuaca, tempat tinggal, makanan, jarak kampus dengan rumah dan seribu satu masalah lainnya sudah tidak lagi layak (relevan) dijadikan alasan untuk gagal. Ini kerana aku telah berada di tahun ke-3. Masa penyesuaian diri (adaptasi) di tempat orang telah pun berlalu.  Saat ini aku hanya perlukan motivator dan strategi.. Sedangkan teman-teman semakin berkurang. Tidak sedikit yang tertinggal di tahun dua. Mampukah aku terus berlari.. Kuatkah tangan dan kakiku memeluk batang kelapa sedang angin semakin lama semakin kencang…

Leave a Reply