Aku Seorang Khalifah!

Posted on March 28th, 2009 in Agama, Motivasi

Pendahuluan

Manusia lahir dari rahim ibunya dalam keadaan lemah dan tidak tahu apa-apa. Berbekalkan instinct manusiawi yang dikaruniakan oleh Allah Sang Maha Pencipta, si manusia kecil itu dengan sendirinya menangis bila kelaparan. Ketika perutnya sudah pun terisi dengan susu dia diam seribu bahasa tanpa menyedari sedikit pun perubahan yang berlaku pada dirinya atau pada alam di sekitarnya.

Si manusia kecil kemudian mula belajar untuk menggunakan anggota badannya. Bermula dengan mata yang diarahkan kepada objek-objek yang dilihatnya namun belum dikenalnya. Berkembang dengan menggunakan segala organ di kepala untuk sekedar mengukir kepada dua orang yang nantinya baru dikenali sebagai ibu dan bapa. Jemari kecilnya mula dilepaskan lalu mengembang. Jari telunjuk si ibu digenggam sebagai latihan menggunakan fungsi tangan. Kaki belum mampu menanggung berat tubuh si kecil maka dengan cukuplah berusaha mengfungsikan kedua tangan dan kedua lutut. Merangkak menguatkan otot. Tiba masanya si manusia kecil mula gagah untuk sekedar berdiri di atas kaki sendiri.

Peringkat berikutnya setelah si manusia kecil diperkenalkan dengan anggota tubuhnya, manusia mula dikenalkan dengan perkara-perkara lain yang dirasakan dan dapat dilihat kesannya. Kita kenal dengan istilah perasaan atau emosi. Si kecil yang telah mampu menggunakan seluruh anggota tubuhnya mula memiliki perasaan suka atau benci, puas atau tidak, sayang, kasih dan seterusnya. Seiring dengan berkembangnya aspek emosi, si kecil juga mula mengenal satu lagi aset penting yang dianugerahkan kepadanya iaitu akal. Akal yang mula berkembang pada minda si manusia kecil mula memberikan kesan kepada keinginan dan tindakkan. Si manusia kecil itu mula bijak menarik perhatian manusia. Di saat bersendirian si manusia kecil itu menggunakan imajinasinya dan akal yang dimilikinya untuk menyusun apa-apa yang dapat disusun seperti bantal, kain atau bahkan lego dan duplo. Si manusia kecil mula memperhatikan dan meniru apa yang dilakukan manusia lain disekelilingnya. Bahkan, tiba masanya manusia kecil ini mula mengerti bagaimana untuk menyenangkan ibu-bapa dan dirinya.

Mumayyiz (مميز)

Tahap berikutnya adalah mumayyiz. Mumayyiz adalah sebuah pepatah bahasa Arab yang bererti mampu membezakan. Istilah ini digunakan bagi mengkategorikan tahap seorang manusia yang mula mampu untuk membezakan antara dua keadaan seperti kemampuan membezakan yang baik dan yang buruk.

Si manusia kecil yang telah mampu menggunakan keseluruh anggota tubuh badannya, waras akal fikirannya dan mempunyai emosi dan perasaan seperti manusia normal lainnya dikategorikan sebagai manusia yang mumayyiz. Manusia yang tidak waras fikirannya keluar dari kategori ini walaupun dia seorang yang sudah berumur belasan atau puluhan tahun.

Ibu dan bapa kepada si kecil yang mula mumayyiz diperintahkan untuk mendidik anak mereka bagaimana melakukan solat. Ini kerana pada tahap ini, si kecil sudah mula dapat memahami konsep ketuhanan. Solat yang merupakan ritual (ibadah) yang melibatkan pergerakkan badan, bacaan lidah dan hati serta renungan minda akan membuat si kecil belajar mengenal diri sendiri dan mengenal Allah SWT selaku pencipta.

Peranan ibu bapa muslim ini merupakan rahmat terbesar bagi si kecil itu. Namun bagi mereka yang tidak dilahirkan dari keluarga yang muslim tidak berasalan untuk menafikan pemberian agung Allah SWT iaitu akal. Dalam kata lain, peranan yang paling utama dalam tahap ini adalah akal.

Akal pada tahap ini memainkan peranan yang begitu besar bagi menentukan tingkah laku si manusia kecil itu. Panca indera dan anggota tubuh dapat membantu merangsang akal untuk memikirkan suatu yang lebih penting dari sekedar apa yang dilihat, didengar, dirasakan dan dialami.

Al-Quran yang merupakan kalam Ilahi jelas menganjurkan mereka yang mumayyiz untuk mula serius menggunakan akal. Surah Al-Alaq sebagai contoh, menyeru manusia untuk membaca. Tidak kita nafikan bahawa membaca merupakan aktiviti yang menggunakan akal. Ayat 53 dari Surah Fusshilat menyebutkan, “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kebesaran) Kami disegenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar. Tidak cukupkah bagi kamu bahwa tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu!?” Ayat ini jelas menunjukkan bahawa akal yang dikaruniakan oleh Allah SWT kepada manusia mampu membuatkan manusia yakin akan kebesaran Allah SWT yang terkandung di dalam Al-Quran, tanda-tanda kebesaran berupa langit, bumi, gunung, matahai, hujan sebagai contoh dan yang terkandung di dalam diri manusia itu sendiri.

Manusia hari ini sering menganggap usia sebagai kayu ukur dalam menentukan tahap kedewasaan. Seorang yang baru lima atau enam tahun dianggap kecil dan tidak dididik untuk berfikir. Menginjak usia tujuh tahun manusia zaman ini masih lagi dianggap belum matang dan tidak patut berfikir dan bertindak secara serius. Lebih menyedihkan lagi, keadaan masyarakat dengan segala kemajuan teknologi memalingkan minda waras si kecil yang mumayyiz kepada perkara-perkara yang tidak penting seperti yang banyak ditayangkan di dalam televisen dan diperdengarkan di dalam radio. Ransangan berfikir dengan serius dan kritis dimatikan dengan menghidangkan jutaan bentuk permainan (game) yang hanya membuatkan si manusia kecil itu hidup di dalam alam fantasi.

Allah SWT mendokumentasikan kisah abadi yang relevan diperbincangkan dan dijadikan teladan sehingga ke akhir usia bumi. Kisah yang dimaksud adalah kisah Nabi Ibrahim AS. Nabi Ibrahim adalah seorang yang dilahirkan ditengah-tengah komuniti yang menyembah berhala. Namun, si Ibrahim kecil yang mula mumayyiz tidak dapat menerima kejahilan yang diwarisi oleh seluruh penduduk kampungnya itu dari nenek moyang mereka. Akal si Ibrahim kecil tidak menerima keadaan itu dan mengejak dirinya kepada sebuah pengembaraan minda. Si Ibrahim yang tidak dapat menerima hakikat berhala sebagai benda yang layak disembah, maka Ibrahim perlu mencari siapa selain berhala yang layak disembah. Berbekalkan akal yang waras itu si kecil Ibrahim mengajak dirinya untuk memperhatikan gugusan bintang dan memikirkan kelayakkannya menjadi zat yang layak disembah. Malangnya akal sihat si Ibrahim kecil tidak juga dapat menerima gugusan bintang tersebut sebagai zat yang layak disembah kerana gugusan bintang itu tidak lagi wujud ketika pagi tiba. Malam berikutnya si Ibrahim mengajak dirinya merenung dan memperhatikan bulan yang indah. Sama seperti gugusan bintang yang hilang ketika pagi hari menyebabkan minda jernih Ibrahim gagal menerimanya sebagai zat yang layak disembah. Berikutnya matahari yang lebih besar dan lebih terang. Namun, tatkala tiba malam ia juga hilang disebalik kepekatan malam.

Pengembaraan minda Ibrahim itu menghantarnya kepada sebuah kesimpulan bahawa zat yang layak disembah bukanlah berhala, gugusan bintang, bulan atau matahari melainkan zat yang lebih agung yang mengatur kesemua ciptaan yang ada di muka bumi ini dan di langit sana. Si kecil Ibrahim yang mumayyiz mula yakin pada keesaan Zat yang Maha Mencipta dan Maha Kuasa.

Sejarah turut menceritakan hal sama tentang junjungan Rasulullah SAW dan sahabatnya Abu Bakar As-Syiddiq yang tidak pernah sekali pun sujud menyembah berhala yang hina. Bahkan, si kecil Ali RA meminta agar diberikan masa berfikir ketika ditawarkan untuk memeluk ajaran baru yang dibawa Muhammad Rasulullah SAW sepupunya.

Ini semua jelas menunjukkan betapa usia muda atau tua bukan ukuran dalam hal kedewasaan akan tetapi, peranan akal waras yang bijaklah yang sebenarnya menentukan kedewasaan seseorang. Arakian, manusia yang menginjak tahap mumayyiz perlu mendorong diri sendiri untuk mula kritis dan maksimum dalam menggunakan akal.

Akil Baligh (عاقل بالغ)

Manusia kecil yang sudah mumayyiz akan merentasi masa yang membawanya ke tahap berikutnya yang kita kenal dengan Akil Baligh.

Akil adalah kematangan berfikir sedangkan baligh adalah sampai. Akil baligh adalah istilah yang digunakan pada tahap manusia yang telah melampaui tahap mumayyiz. Bahasa lainnya dikenal juga dengan istilah cukup umur.

Akil baligh berbeza dengan mumayyiz pada kesempurnaan sistem badan. Hal ini terbukti apabila si manusia kecil yang mumayyiz berubah menjadi seorang akil baligh apabila diperlihatkan petanda-petanda kedewasaan. Petanda-tetanda kedewasaan itu berupa perubahan pada fizikal masing-masing individu ntah ia bermula dengan mimpi atau pun petanda fizikal lain yang lebih zahir.

Perlu menjadi perhatian disini adalah kesempurnaan sistem tubuh pada manusia bermula dengan kemampuan manusia untuk menghasilkan keturunan tidak kira pada lelaki atau perempuan. Maha Suci Allah Pencipta manusia yang akan menikmati suatu kenikmatan istimewa ketika melalui proses penghasilan keturunan. Dalam ketika itu jugalah Allah SWT meletakkan beban (taklif) ke atas bahu setiap individu.

Maka rumusannya, seorang yang menginjak tahap akil baligh, selain mula mampu mendapatkan zuriat juga dipertanggungjawabkan segala tindakkan dan kelakukan.

Seorang individu yang tidak dibekali dengan wawasan dan pandangan kehidupan (view) yang jelas pada tahap mumayyiz akan mengalami masalah ketika dia menginjak ke tahap akil baligh. Masalah yang dimaksud adalah ketika beban pertanggungjawaban dipikul oleh bahu setiap individu itu padahal tindakkan dan cara hidupnya belum berlandasakan apa-apa pegangan atau prinsip yang betul. Hal inilah yang nantinya menghantar manusia kepada kerosakkan dan segala permasalahan sosial dalam masyarakat.

Mengapa hari ini, manusia terkejut dengan banyaknya kasus sex bebas, buang anak dan yang seumpamanya padahal institusi keluarga, sekolah dan kerajaan tidak pernah serius memanfaatkan tahap mumayyiz bagi benar-benar menggunakan akal untuk merenung dan berfikir. Tanpa fikrah yang kukuh akan lahirlah generasi yang tidak bertanggungjawab dan perosak.

Manhaj Islam dalam pembentukan individu adalah dengan memaksimumkan penggunaan panca indera agar dapat meransang akal. Perhatikan ayat-ayat berikut :

1. Dan katakanlah (wahai Muhammad), “segala puji bagi Allah SWT, Dia akan memperlihatkan kepadamu tanda-tanda kebesaranNya, maka kamu akan mengetahuinya. Dan Tuhanmu tidak lengah terhadap apa yang kamu kerjakan.”

2. Katakanlah, “Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi!”

3. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi mereka yang berakal.

Ilmuan telah mengkaji dan merumuskan bahawa manusia akan menginjak ke tahap akil baligh pada usia 9 hingga 12 tahun bagi perempuan dan 12 hingga 15 tahun bagi lelaki. Maka tidaklah heran jika ada kajian yang menemukan bahawa Nabi Ibrahim AS mula berdiskusi tentang Zat yang layak disembah bersama ayahnya pada usianya 16 tahun. Nabi Ibrahim AS kemudian berhadapan pula dengan kaumnya dengan cara yang berbeza dengan apa yang digunakan terhadap ayahnya. Nabi Ibrahim memilih untuk berlaku tegas ketika berhadapan dengan kaum yang suka melekehkan yang lemah itu. Akibatnya, Nabi Ibrahim dibakar ketika ia berusia 19 tahun.

Si manusia kecil itu tidak lagi kecil ketika ia menginjak tahap akil baligh. Walaupun dia bersikap sebagai seorang anak kecil tetapi beban yang ditanggungnya sebagai manusia adalah berat.

Akal Petunjuk Jalan

Beruntung manusia yang dilahirkan di dalam keluarga yang muslim. Keluarga yang muslim sentiasa berfikir kehadapan. Mereka ketika menerima kehadiran manusia baru ke dalam keluarga, kehadiran itu disambut dengan sebuah pengenalan kepada Tuhan yang Maha Kuasa. Laungan azan yang kandungannya tentang Allah, Rasulullah dan kejayaan hakiki dunia dan akhirat adalah hal pertama yang disampaikan kepada.

Keluarga muslim menjadikan Al-Quran sebagai pegangan. Manhaj Islam seperti yang kita senaraikan secara ringkas benar-benar diperhatikan.

Ibu bapa menuntut anak mereka yang baru mumayyiz itu agar berfikir akan beberapa perkara utama iaitu : 1. Siapa diri kita? 2. Siapa pencipta kita? 3. Siapa contoh teladan kita? 4. Apa panduan hidup kita?

Berbekalkan akal yang waras dan berpandukan Al-Quran Al-Karim lalu dibuktikan dengan petanda-petanda zahir dan batin dari segala yang wujud, manusia mumayyiz tadi dapat menjawab semua persoalan diatas.

Aku sebagai hamba dan Allah SWT sebagai pencipta yang Maha Kuasa dan yang layak disembah. Muhammad SAW utusan Allah dan teladan hidupnya. Al-Quran pula panduan hidup.

Manusia : Khalifah

Al-Quran menceritakan dengan sengat detail bagaimana Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Diiringi pula dengan sabda-sabda Rasulullah SAW yang tidak mengatakan melainkan kebenaran yang datangnya dari Allah SWT, mengisahkan bagaimana bermulanya penciptaan. Makhluk pertama yang diciptakan Allah adalah Qalam yang mula menulis di lauhin mahfuz. Lalu diikuti dengan diciptanya segala sesuatu hinggalah tersedia bumi dan langit-langit dan segala isinya. Akhir sekali barulah Allah SWT menciptakan manusia pertama, Adam AS. Lalu diciptakanlah dari Adam pasangannya iaitu Hawa. Lalu diaturkanlah rekayasa Allah sehingga Adam AS dan isterinya Hawa diturunkan ke bumi sebagai Khalifah.

Turunnya Adam AS dan Hawa ke muka bumi adalah sebuah permulaan baru. Mereka yang dibebani perasaan bersalah atas dosa yang dilakukan di Jannah ingin mempersembahkan yang terbaik dengan menjalankan tugas sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Khalifah mempunyai dua tugas; pertama, beribadah kepada Allah SWT dan kedua menyemarakkan bumi ini.

Tugas menyemarakkan bumi yang luas ini amatlah berat. Kehadiran anak-anak Adam AS dan Hawa menjadikan bumi semakin semarak. Semarak dengan jumlah keturunan yang semakin bertambah. Bertambah ramai manusia, bertambah ramai yang beribadat kepada Allah dan bertambah ramai jugalah yang menyemarakkan bumi dengan binaan dan inovasi.

Namun, sebagaimana Adam AS dan Hawa yang diancam dengan permusuhan yang diistiharkan oleh Iblis di Jannah, keturunan Adam dan Hawa juga menghadapi ancaman dan permusuhan yang lebih dahsyat di bumi oleh iblis dan keturunannya.

Asal-usul, Tugas dan Matlamat

Al-Quran telah menjelaskan kepada generasi manusia yang kini telah memenuhi sebahagian besar daratan bumi akan asal-usul manusia dari sumber yang sama iaitu Adam AS dan Hawa. Manusia juga telah dikenalkan kembali kepada tugas yang diwarisi.

Jarak rentasan masa yang memisahkan antara Adam dan kita yang hidup pada hari ini membuatkan kita bingung. Apalagi percambahan manusia yang begitu banyak sehingga tidak mampu kita bayangkan. Akhirnya pada hari ini lahirlah masyarakat manusia yang kehilangan identiti. Allah SWT kemudian merahmati kita yang hidup dipenghujung usia bumi dengan diutusnya seorang Rasul yang merupakan Imam kepada seluruh rasul-rasul. Lalu dikarunikan pula kitab Al-Quran yang mengandung seluruh catatan penting yang telah berlaku kepada generasi-generasi manusia sebelum kita. Kisah mereka yang berjaya dan mereka yang binasa. Semuanya sebagai panduan bagi kita yang hidup dihari ini. Tidak cukup dengan itu, ditambahkan pula dengan pelbagai ilmu dan syariat agar kehidupan kita terjamin dan terlindung dari segala binasa dan keburukan.

Setelah kita mengenal diri kita dan asal-usul kita. Mengiktiraf ketuhanan Allah SWT dan kerasulan Muhammad SAW lalu dengan mantap mengetahui tugasan kita. Maka, kita juga perlu ada matlamat yang ril untuk dicapai. Matlamat jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Aku Seorang Khalifah, Seorang Anak, Seorang Pelajar, Seorang Bakal Ibu dan Seorang Bakal Dokter!

Apa yang ada di dalam minda kita ketika menyedari peranan yang sepatutnya kita mainkan selaku seorang khalifah?

Aku seorang anak, seorang pelajar tetapi di dalam masa yang sama seorang khalifah yang sepatutnya taat beribadah dan memainkan peranan menyemarakkan bumi ini. Namun, aku juga bakal ibu dan bakal dokter, bagaimana seharusnya aku corak masaku yang akan datang?

Aku ingin hidup di dalam lingkungan kawan-kawan yang menghidupkan hatiku dengan zikrullah. Pergerakkanku setiap hari perlulah berlandasakan tuntutan Allah. Tindak-tandukku mestilah menghampirkan aku kepada Allah. Larangan-larangan Allah perlulah jauh dari hidupku. Tidak cukup dengan itu, aku mahu segala yang ada disekelilingku turut tunduk kepada Allah. Aku ingin menampilkan cirri-ciri muslimah sejati agar semua disekelilingku turut membantuku menghampiri Allah, menjadi kebanggaan Rasulullah. Aku ingin tumbuh-tumbuhan, binatang, sungai, udara, bukit-bukau, laut, padang pasir dan semua yang ada disekelilingku dalam keadaan yang terbaik dan selamat dengan kehadiranku. Aku sangat ini menjadi seorang yang dapat dibanggakan oleh kedua ibu dan bapaku serta sanak saudaraku. Aku ingin mepersembahkan kepada mereka seorang anak yang berbakti dan berbudi kepada kedua mereka dan kepada semua. Bukankah dengan berbakti kepada mereka aku akan semakin dekat dengan yang Maha Esa?

Untuk berhadapan dengan masa yang akan datang sebagai seorang bakal ibu dan bakal doctor, aku perlukan bekal. Bukankah aku yang bakal mencorak keadaan ketika itu? Bukankah aku telah melalui cabaran yang sangat dahsyat untuk kekal sebagai seorang muslim multazim, tidakkah aku ingin mengubah keadaan itu? Tidakkah sepatutnya aku menyumbang kepada ketamadunan Islam yang gemilang? Tidakkah sepatutnya aku membina diri, keluarga dan masyarakat yang makmur, maju dan multazim?

Untuk merealisasikan semua itu, aku perlu pertambah ilmu dan wawasan. Taqwa dihati perlu ditingkatkan. Keimanan dan keyakinan perlu meresap di dalam minda dan badan. Ikhlas, sabar dan doa adalah senjata handal. Semoga Allah merahmati aku dengan segala azamku. Islam akan membuatku gemilang. Islam akan mencorak hidupku dan menjadikanku yang gemilang. Islam adalah jiwa ragaku.


Lego dan Duplo merupakan jenis permainan kanak-kanak modern.

Surah An-Naml 93

Surah Yunus : 101

Surah Ali-Imran : 90

Ramai ulama’ sepakat bahawa Nabi Ibrahim masih muda ketika mula berhadapan dengan bapanya dan kaumnya. Sedangkan usia yang penulis tuliskan diatas adalah berdasarkan apa yang dicatat Amru Khaled dalam dua bukunya : Inni ja’ilun fil ardhi khalifah dan bukunya : Qisasul Anbiya’.

**Akan dibentangkan besok (28 Mac 2009) Jam 9.00 pagi di sebuah TAMRIN anjuran AQ Kaherah (Akhwat)

Published by taqeyyabella

One Response to “Aku Seorang Khalifah!”

  1. musykil Says:

    bakal ibu??bakal doktor??…sastra arab??? hemm mcm ada connection kan..hemmm i wonder what it is?let me figure it out, selepas mrnung alam n memikirkan i think i know what is bakal ibu’s connection with bakal doktor n bakal sastrawan hahah huhuhuhu hehehehe

Leave a Comment

adv3
Feel free to share you opinion with me
  • Calendar

    March 2010
    M T W T F S S
    « Feb    
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  
  • Tentang Penulis

    Graduan dari Fakulti Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Asy-Syarif Mesir (2005-2009). Pernah mengabdi sebagai guru di Darussalam Gontor selama setahaun (2004). Mendapatkan pendidikan menengah di Kulliyyatul Mu'allimin Al-Islamiyyah, Darussalam Gontor Ponorogo Indonesia (1998-2003). Pendidikan rendah di Sekolah Islam Al-Amin Serdang dan Bangi (1991-1997). Pelajar Tadika An-Nur Serdang (1990). Kini bergiat dalam usaha pertanian fertigasi dan berusaha menulis buku. Bercadang untuk meneruskan pengajian di Bidang Bahasa Al-Quran. Semoga segalanya dipermudahkan. Amin.
  • Taqeyyabella’s heartbeat

    Berjalan menuju ABADI berbekalkan TAQWA, menciptakan TAKUT pada yang MAHA KUASA, menimbulkan MALU sesama MANUSIA, menghadirkan KASIH pada ALAM SEMESTA.
  • ME IN FACEBOOK

  • Sapaan Mesra

  • Archives