Air Mata Di Tahun Baru
Posted on December 29th, 2008 in Uncategorized
Ramai yang mengirim pesanan ringkas mengucapkan selamat atas kehadiran tahun baru hijriyyah ke telefon bimbitku. Hampir semua mengexpresikan semangat dan gembira. Azam, harapan dan cita-cita dilaungkan. Bersemangat dan gembira.
Tanpa kita sedari peristiwa penuh bersejarah “Hijrah” telah berlalu 1430 tahun yang lalu. Subhanallah sebuah tempoh yang panjang. Kehadiran permulaan hitungan tahun hijriyyah yang biasanya disambut dengan penuh kegembiraan atas kegemilangan Islam yang mencerahkan bumi yang gelap kini telah berubah.
Senyuman begitu payah terukir. Kaki begitu berat melangkah. Minda begitu lelah berfikir. Hati tidak tenteram. Sayu pilu dan hampa. Bagaimana tidak!? Ratusan sahabat-sahabat kita menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel yang teramat kejam!
Terkejut aku membaca informasi terkini di laman web info palestina dot com. Gundah gelana jiwa ini. Mengapa tidak ada yang memperkatakannya di jalan-jalan? Mengapa kematian ratusan saudara kita itu tidak menjadi topik utama perbualan kita semua? Mengapa aku tidak dengar keluhan umat Islam yang jumlahnya beribu-ribu di sekitar diriku? Tidak adakah antara kita yang mahu marah? Tidak ada lagikah mereka yang sekedar peduli atas nyawa yang hilang begitu sahaja tanpa pembelaan bahkan penuh kezaliman? Apa sudah jadi kepada umat ini?
Mahu tidak mahu, suka tidak suka, aku terpaksa mengakui keadaan kita yang begitu lemah saat ini. Air mataku sendiri tidak tertitis. Jelas menandakan hatiku juga sudah bertambah keras dari sebelumnya. Syukurlah Imam Masjid Syarbini mengingatkan umat Islam yang hadir malaksanakan ibadah maghrib dan isya agar peduli dan sentiasa berdoa. Bergetar jiwa dan hatiku mendengarkan ucapan beliau. Meremang bulu romaku. Ya Allah begitu lemahkah kami ini sekarang? Dalam keadaan sebak dan pilu itu aku menjadi bertambah sedih bilamana satu persatu hadirin bangkit dan meninggalkan masjid. Padahal bagi aku topik yang sedang diucapkan Imam adalah topik yang amat sangat utama dan penting. Paling tidak lebih penting dari segala urusan harian kita. Lupakah mereka bahawa nyawa umat Islam adalah lebih penting di sisi Allah dibanding bumi dan segala isinya!? Lalu mengapakah kita menganggap remeh nyawa saudara-saudara kita yang hilang dibunuh dengan zalim? Mendengar ulasan dan taujih dari Imam yang hanya beberapa menit sahaja pun kita enggan! Seremeh itukah isu ini di hati kita?
Tidak ada apa yang dapat aku lakukan melainkan menatapi kelemahan diri dan kelemahan umat Islam yang kini telah cecah ke tahap yang paling hina. Berhentilah berangan! Perjuangan ini memang tidak semudah yang dibayangkan. Kita perlu berdiri walau kaki telah pun pincang. Berjalanlah walau tempang. Jangan berhenti dan putus asa. Biar sedikit usaha tetap diteruskan. Doa senjata yang perlu dipertajam.
Dengan segala kerendahan hati aku menghulurkan tangan memohon kepadaMu ya Allah. Berikanlah kami kekuatan menghadapi keterpurukkan ini. Ya Allah berikanlah kami kemampuan mengemban beban ini ya Allah. Sungguh begitu berat tanggung jawab membawa kalimahMu ya Allah. Namun, aku yakin bahwa Engkau Maha Berkuasa, Antal Azizul Qahhar, ya Rabb A’izzana bil islam, wa a’izzal islam bina ya Allah! Ya Allah wahhid shufufana. Ijma’ furqatana. Tsabbit qulubana. Allahumma ahlikil kafarata wal musyrikin a’da’aka a’daaddin..
Air mata di awal tahun ini tidak berguna jika hanya kering dan lenyap entah kemana. Air mata ini perlu menjadi saksi sebuah permulaan intifadah yang baru. Langkah ini perlu semakin mantap. Hati ini perlu semakin yakin. Jiwa ini perlu semakin tegar. Kurangkan tidur. Terus bekerja. Liwajhika ya Rabb. Ayuh singsing lengan, bangkit berjuang!!

December 30th, 2008 at 11:48 pm
Azam tahun baru, moga itu bukan peruntuh semangat, tetapi membina lagi semangat, bukan sahaja semangat, tetapi sentiasa hangat daripada biasa.