Pembuangan Bayi

Posted on April 16th, 2010 in Kritik

Pantai Cenang Langkawi.

Pantai Cenang Langkawi.

Gambar di atas saya ambil pada senja 15 April 2010 dari depan rumah nombor satu milik Tenaga Nasional Berhad di Pantai Cenang, Langkawi. Ia merupakan sebuah sunset yang teramat indah. Matahari terbenam lebih awal. Langit kelihatan cerah walau matahari sudah tiada. Beberapa menit kemudian, kami dipegunkan dengan sebuah sensasi alam hasil karya Rabbul ‘izzah. Bunda yang lagi sibuk di dapur, saya panggil. Pintu sliding yang menghadap ke pantai sememangnya terbuka agar angin mengalir mendinginkan rumah. Bunda segera menoleh ke arahku yang berada diluar sambil memegang kamera Canon 350D. “Subhanallah ma khalaqta haza batila..” Bunda terpekik kerana terpegun. Luar biasa cara Tuhan memperlihatkan sedikit keagunganNya. Betapa beruntung mereka yang sedar dan betapa malang mereka yang alpa.

Puji yang tak terhingga kami ucapkan kepada Allah yang sekali lagi memberi kami ruang untuk meluangkan masa bersama. Destinasinya adalah Langkawi. Kadang-kadang segan untuk bercerita. Sebahagian orang yang gemar berandai-andai akan dengan mudah melabelkan kita hanya kerana beberapa kata yang kita ucapkan. Atau beberapa tindakan yang kita lakukan. Memang sukar untuk memperlihatkan keadaan sebenar dengan kata-kata. Juga tidak mungkin menterjemahkan atau mentafsirkan segala kelakuan kita. Kami bermusafir ke Langkawi dengan kapal terbang. Itu bukan tanda kami kaya-raya. Hari ini tidak perlu kaya untuk sekedar terbang di langit sana. Promosi AirAsia memberikan kami peluang menikmati khidmat mereka secara percuma. Tarikh yang dipilih pula sempena ulang tahun perkahwinan Bunda dan Ayahanda. Penginapan pula disediakan secara murah meriah oleh salah satu syarikat gergasi negara untuk para karyawannya. Puji yang layak hanya untukMu Tuhanku yang mempermudah segalanya.

Bercuti di Langkawi memberikan ruang kepadaku untuk menonton siaran Buliten Utama Tv3 pada 14 April 2010. Menonton Tv bukanlah kebiasaanku. Walau dirumah ada Astro tapi ia hanya ditonton  cartoon-cartoon berguna oleh si kecil. Antara berita yang berjaya mengajak diriku merenung adalah berita mengenai pembuangan bayi yang tidak henti-henti dipaparkan media.

Saya yakin sejumlah besar masyarakat kita sudah muak dengan berita ini. Meluat. Benci. Bahkan, malu melihat maruah bangsa kita yang berkecai. Berserakkan hilang entah kemana.

“Kita perlu ambil tindakkan juga kepada lelaki-lelaki yang menyebabkan mereka hamil. Selalu perempuan saja yang jadi mangsa menanggung..” begitulah lebih kurang komen dari seorang pemimpin negara.

Sebagai seorang yang kadang kala di gelar ustaz oleh beberapa orang kerana dulu pernah sekolah di sekolah agama, saya tentu mempunyai pandangan yang sama dengan kebanyakan asatidz di Malaysia. Isu pembuangan bayi ini tidak boleh ditangani jika kita tidak mahu menyelesaikan dari pucuk pangkal permasalahan. Islam memberi rumusan yang sangat mudah. Tutup segala punca, pasti ‘akibat’ tidak akan terjadi. Jika punca dibiarkan terbuka lalu sibuk untuk menghilangkan ‘akibat’ maka itu adalah umpama mencita-citakan suatu yang mustahil. Seperti mustahilnya pungguk yang ingin bercinta dengan rembulan.

Cara Islam menangani masalah ini :

1. Mendidik anak agar mengerti tata tertib pergaulan yang meliputi (secara ringkas), menjaga pandangan, menjaga pergaulan, berinteraksi sekedar memenuhi keperluan dan seterusnya.

2. Melarang keras aktiviti bercampur lelaki perempuan yang membuka ruang untuk bermesraan. Maknanya, walaupun aktiviti itu bermanfaat, kita juga perlu melihat kepada mudharat. Terlalu mengharapkan manfaat sambil mengabaikan mudharat akan menghantar kepada sebuah kebinasaan.

3. Mengembalikan manusia kepada fitrah. Wanita secara fitrahnya perlu dipelihara dengan sebaiknya. Tugas memelihara adalah tugas ibu bapa dan nantinya akan berpindah kepada suami. Ibu bapa hari ini terlalu sibuk untuk memelihara anak gadis mereka. Akibatnya, anak gadis bebas merayap entah kemana, berpakaian tanpa memperdulikan kesan kepada sekeliling, bersikap, bertingkahlaku dan bersuara yang sengaja mengundang perhatian orang ramai. Andai saja ibu-bapa lebih peduli terhadap anak gadis mereka.

4. Remaja memiliki potensi yang sangat luar biasa. Terlebih lagi lelaki. Potensi itu jika tidak diarahkan kepada hal-hal yang baik maka ia akan mengarah kepada hal-hal yang tidak baik. Potensi jika boleh diibaratkan adalah umpama air yang akan terus mengalir. Hanya perlu diarahkan ke mana salurannya.

5. Perkahwinan perlu dipermudah.

Saya tidak berminat untuk membahas sudut pandang Islam bagi menyelesaikan masalah ini. Ia panjang dan sudah banyak dibahas oleh ramai pihak.

Apa yang ingin saya utarakan adalah mengenai bagaimana penyelesaian yang praktikal bagi masalah ini. Pertanyaan yang ingin saya ajukan adalah :

1. Seandainya seorang telah mengandung anak luar nikah, bagaimanakah penyelesaiannya?

2. Adakah hospital mahu menerima bayi yang dilahirkan tanpa bapa? Prosedurnya bagaimana?

3. Adakah keluarga mahu menerima keadaan itu? Masyarakat bagaimana pula?

4. Sila senaraikan prosedur yang perlu dilalui oleh remaja yang mengandung anak luar nikah jika mahu melahirkan dan menjaganya?

5. Bagaimana mahu mengheret lelaki yang tidak bertanggung jawap padahal dia bukan merogol. Zina itu terjadi suka sama suka. Hal ini bagaimana pula?

Jika persoalan-persoalan di atas diselidiki, kita akan menemukan betapa undang-undang kita tidak akan memberi ruang kepada para pelaku hubungan luar nikah untuk menyambut anak mereka dengan baik. Mereka dihantui prosedur undang-undang yang akan membaham mereka. Mereka akan diheret ke pejabat agama. Pihak keluarga boleh saja membuat laporan polis. Mereka akan dicemuh dan dicaci. Bahkan, keluarga sendiri pun akan sukar menerima hakikat ini. Tekanan prosedur, undang-undang , keluarga dan masyarakat menjadikan pembuangan bayi dan aborsi menjadi satu-satunya penyelesaian yang paling selamat bagi mereka. Solusi yang paling relevan bagi mereka kerena ketersepitan mereka.

Saya masih ingat ketika seorang pegawai dari kementerian kebajikan masyarakat menceritakan tentang bagaimana mereka bakal menerima bayi-bayi yang dilahirkan tanpa perkahwinan yang sah. Beliau berkata bahawa pihaknya akan menerima. Lalu beliau juga berkata bahawa pihaknya memerlukan segala keterangan mengenai ayah dan ibu si bayi. Itu sama saja tidak menyelesaikan masalah kerana itu tidak menghilangkan hantu yang menghantui mereka.

Pada akhirnya, kita menemukan betapa law enforcement bukan penyelesaian yang baik jika tidak tepat sasarannya. Kita yang membuat undang-undang, tetapi pernahkah kita kaji kesan dari undang-undang tersebut. Dapatkah kita bezakan prioriti dan matlamat sebuah penguatkuasaan antara sebelum berlaku zina dan setelah anak dikandung sang ibu. Sebuah homework yang perlu kita fikirkan bersama.

Kita perlu mencegah zina sebelum berlaku. Persoalannya, apabila telah hamil bagaimanakah sikap kita? Bersungguhkah kita ingin melindungi anak luar nikah itu? Atau kita terlalu sibuk ingin menghukum sang ibu dan bapa bayi tanpa perlu memikirkan apa yang bakal mereka lakukan kepada sang bayi tidak berdosa itu? Semoga ini semua menjadi renungan yang bermanfaat..

Published by taqeyyabella

3 Responses to “Pembuangan Bayi”

  1. Izzah Al-Maliziyyah Says:

    Masalah yang keterlaluan. Semakin hari semakin menjadi ikutan. Zina, kandung dan buang. Terfikir juga, apa tujuan mengandung berbulan lamanya. Tiba masa, buang tanpa pertimbangan.

    Persoalannya, kenapa tanaman yang disemai, dibaja dan peringkat dituai tiada pula orang sanggup membuang hasilnya?

  2. taqeyyabella Says:

    Silap bukan Pantai Cenang tapi Pantai Tengah.. ;)

  3. Pembuangan Bayi: Cadangan Mengatasinya | ABIMMesir.org Says:

    [...] selanjutnya di http://taqeyyabella.naemy.net/433.html Artikel ini mungkin memerlukan respon/komentar. Sudilah kiranya memberikan sedikit [...]

Leave a Comment

Share