2 Perkara Utama
Posted on December 17th, 2009 in Agama
Ada dua perkara yang paling utama yang perlu dikenal pasti oleh seorang yang mahu mengaku muslim. Perkara pertama adalah ‘ta’arruf’ atau perkenalan dengan Tuhan (Allah). Perkara kedua pula berkenalan dengan diri sendiri.
Kedua perkara ini merupakan perkara paling utama dan asas. Ramai orang mengaku diri mereka muslim tetapi masih terjebak dengan persoalan remeh mengenai dua perkara tadi.
Mengenali Allah SWT sebagai Tuhan yang Esa dan Maha segala maha melahirkan kepercayaan kepadaNya. Kepercayaan ini kemudian dijadikan asas dalam tauhid. Mereka yang percaya kepada Allah selaku tuhan, perlu mempercayai malaikat yang sentiasa patuh melaksanakan tugas yang Allah arahkan. Percaya kepada Allah dan pesuruhnya malaikat kemudian akan membawa seseorang kepada mempercayai kitab Allah yang diturunkan. Mempercayai kitab yang diturunkan adalah hasil dari mempercayai Allah sebagai pencipta dan pemberi kitab juga mempercayai malaikat sebagai petugas yang menghantar kitab. Tidak cukup dengan itu mempercayai kitab akan menyebabkan seorang muslim percaya adanya para nabi dan rasul yang merupakan utusan Allah sebagai penerima kitab. Mempercayai kitab bererti mempercayai kandungannya. Kandungan kitab adalah cerita perihal mereka yang terdahulu, cara (syariat, panduan dan hikmah) menghidupi kehidupan sekarang, dan pengkabaran tentang hal yang akan terjadi pada masa akan datang yang bersifat ghaib. Ia melahirkan kepercayaan baru iaitu mempercayai hari pembalasan, hari perhitungan, hari yang dijanjikan, hari kiamat. Pengenalan dengan Allah menghasilkan kepercayaan yang berkait. Akhir sekali kita mempercayai dan mengimani bahawa segala ketetapan dan ketentuan yang terjadi ke atas diri kita dan ke atas alam ini semuanya di dalam ilmu Allah. Semuanya merupakan kehendak Allah. Bukan semula jadi dan bukan juga kebetulan. Maka suatu yang buruk bukan sekedar suatu yang malang atau sial tetapi ia lebih dari itu. Ia sebuah ketetapan. Ketetapan yang perlu disyukuri atau bersabar menghadapinya.
Mengetahui perkara pertama ini dengan teliti lalu diikuti dengan keimanan yang kukuh belum sempurna jika seorang muslim itu tidak mengenal siapa dirinya. Mengenali diri dan batas-batas diri adalah penting. Ia bagi menjaga agar kita sentiasa berada di dalam saluran yang benar dan tidak termakan oleh bisikan syaitan yang sangat mahir bertipu daya. Manusia pada hakikatnya tetap akan menjadi manusia walau apa yang terjadi. Manusia tidak akan lucut darinya segala bentuk kemanusiaan entah yang berupa tugas mahupun berupa ciri-ciri kemanusiaan itu sendiri. Manusia sesekali tidak pernah akan berubah menjadi malaikat. Manusia juga tidak pernah sekali-kali berubah menjadi apa saja yang bermain di imajinasi seorang manusia.
Manusia adalah makhluk yang Allah SWT ciptakan dengan tujuan tertentu seperti mana makhluk-makhluk yang lain. Manusia diciptakan untuk mempersembahkan ibadah hanya kepada Allah. Manusia juga diciptakan untuk menjadi penyemarak bumi, pemelihara kelestariannya, pembaik pulih segala kerosakannya dan pelindung dari segala ancaman yang mengancamnya. Ibadah yang bersifat ritual menjadi input yang membentuk pribadi sehingga seorang muslim mampu mengeluarkan output yang baik dalam menjalankan tugas sebagai khalifah Allah, sebagai penduduk bumi.
Tugas ibadah yang dibebankan ke atas manusia dirumuskan dalam rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Tugas khilafah pula merupakan seluruh kehidupan manusia itu sendiri bermula dari membentuk diri yang muslim, keluarga yang muslim kemudian masyarakat yang muslim. Menegakan kebenaran. Menyeru manusia kepada Allah. Membela yang lemah dan melawan yang batil. Meneraju ketamaduanan dan kemajuan. Mencurahkan bakti kepada alam semesta dan segala yang seumpamanya.
Tidak ada pengecualian dalam perihal yang berkaitan dengan tugas yang diemban manusia. Tiada manusia yang dapat melepaskan diri dari beban-beban ini. Al-Quran menceritakan kisah sebahagian manusia yang merasa diri mereka dekat dengan Allah lalu meninggalkan tugas yang dibebankan kepada mereka. Perkara ini pernah dilakukan kaum yahudi. Bahkan mereka berkata, walaupun kami nanti dicampakan ke dalam neraka, kami pasti akan dimasukkan ke dalam neraka untuk masa yang singkat! Anggapan mereka ini mendapat teguran Allah. Teguran itu bahkan diabadikan di dalam Al-Quran.
Mengenal Allah merupakan Iman sedang mengenal diri sendiri merupakan Islam. Iman dan Islam tidak dapat dipisah. Seorang yang beriman pasti akan memenuhi rukun Islamnya dan seorang yang Islam pasti melandaskan pekerjaannya di atas tiang-tiang iman. Kesatuan yang tidak dapat dipisahkan. Demikianlah dua perkara yang begitu penting untuk kita ketahui. Usahalah untuk mengetahui tentang Allah, sungguh ia bakal menebalkan keimanan kita. Usalah untuk mengenal diri sendiri, sungguh ia bakal mempergigih usaha kita menyelam di dalam jiwa hamba.
Wahai mereka yang mengaku mengenal Allah, mencintai Allah tetapi meninggalkan ibadah kepadanya, meninggalkan segala perintahnya, meredah segala larangannya, wahai semua yang telah menzalimi diri mereka ketahuilah bahawasanya anda masih dan selama-lamanya akan menjadi manusia. Jika para nabi dan rasul yang jelas kedekatan mereka dengan Allah masih terus menjalankan tugas selaku manusia dan hamba kepada Allah. Mengapa anda yang tidak setaraf para nabi dan rasul berani meninggalkan syariat? Mengapa anda berani melanggar perintah dan meredah larangan?
Ketahuilah Nabi Nuh AS masih gigih menyeru anak dan isterinya menyembah Allah hingga ke saat akhir. Nabi Ibrahim mewasiatkan kepada anak-anaknya agar tetap berada di dalam agama yang lurus. Nabi Zakaria berkata kepada anaknya Nabi Yahya, “ambillah kitab ini dengan kuat (sungguh-sungguh)!”. Nabi Isa AS berpesan kepada pengikutnya yang sedikit, berpegang teguhlah kepada Injil dan berhati-hatilah dengan apa yang bakal berlaku. Nabi Muhammad SAW sebelum pemergiannya masih risau perihal solat bagi umatnya yang menjadi kayu ukur keseluruhan hidup seorang manusia. Nabi Muhammad SAW yang merupakan kekasih Allah dan imam para rasul yang juga mendapat penghormatan sujud, solawat dan salam dari seluruh ciptaan Allah, masih berdiri (solat) di hadapan Allah menangis memohon ampun dan rahmat sehingga air mata membasahi janggut. Adakah kita lebih dekat kepadaNya sehingga berani meninggalkan tugas kita sebagai hamba dan sebagai manusia?
Ayuh sama-sama kita selami penghayatan dan renungan tentang diri sendiri dan tentang Sang Maha Esa. Dua perkara penting untuk sama-sama kita fikirkan bersama. Wallahu a’lam..



Leave a Comment